Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parlimen akan bahas kes Parti Liyani 'sepenuhnya' meski usul Sylvia Lim tidak dipilih, tegas Tan Chuan-Jin

Kes mahkamah berprofil tinggi melibatkan bekas pembantu rumah mantan pengerusi Changi Airport Group, Liew Mun Leong, akan dibahaskan dengan penuh di Parlimen. 

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen akan bahas kes Parti Liyani 'sepenuhnya' meski usul Sylvia Lim tidak dipilih, tegas Tan Chuan-Jin

Cik Parti Liyani tiba di Mahkamah Negara bersama peguam bela Anil Balchandani pada 8 September. (Gambar: TODAY/Raj Nadarajan)

Diterbitkan : 30 Sep 2020 04:29PM Dikemas Kini : 30 Sep 2020 04:34PM

SINGAPURA: Kes mahkamah berprofil tinggi melibatkan bekas pembantu rumah mantan pengerusi Changi Airport Group, Liew Mun Leong, akan dibahaskan dengan penuh di Parlimen. Ini meskipun penangguhan usul yang disarankan berhubung isu itu tidak dipilih bagi sesi parlimen akan datang, kata Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin.

Dalam satu catatan Facebook pada Selasa (29 Sep), Encik Chan meyakinkan rakyat Singapura bahawa dalam kes itu - yang berakhir dengan bekas pembantu rumah bernama Parti Liyani dibebaskan daripada tuduhan mencuri daripada keluarga Encik Liew - akan menerima perbahasan penuh kerana Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam akan menyampaikan kenyataan menteri mengenai perkara tersebut.

Encik Tan memberi respons kepada apa yang disifatkannya sebagai "naratif palsu" yang timbul mengenai proses parlimen. Ini berikutan pengumuman pada Selasa bahawa usul Pengerusi Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim untuk berucap mengenai kesaksamaan dalam sistem keadilan jenayah di Singapura apabila Parlimen bersidang pada minggu depan tidak dipilih dalam undian rambang.

Undian itu harus dijalankan kerana Encik Tan perlu memilih daripada lima usul penangguhan bagi sidang Parlimen akan datang.

"Usul yang tidak dipilih dalam giliran kali ini tidak bermakna ia tidak akan dipilih lagi. Tetapi apa yang lebih penting, bagaimana ini adalah yang paling lengkap dan diingini?" tulis Encik Tan pada lewat Selasa sebagai tambahan kepada satu catatan Facebook mengenai keputusan undian.

"Sebagai contoh, tidak memilih usul mengenai sistem keadilan jenayah tidak bermakna ia tidak akan ditangani sama sekali. Bahkan soalan-soalan parlimen sudahpun difailkan dan Menteri K Shanmugam sudah mengatakan bahawa isu itu akan ditangani sepenuhnya melalui kenyataan menteri yang pastinya termasuk satu perbahasan lengkap."

Usul penangguhan yang dipilih daripada undian itu adalah daripada Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) Louis Ng yang akan berucap tentang perlindungan daripada asap rokok yang dihembus orang lain di dalam rumah.

Usul penangguhan membolehkan Anggota Parlimen mengemukakan perkara tambahan yang menjadi keprihatinan umum di akhir sidang parlimen. Sekiranya lebih daripada satu Anggota Parlimen ingin mengemukakan usul penangguhan untuk sidang parlimen, usul tersebut akan diputuskan melalui undian.

Sejak Encik Tan mengumumkan keputusan undian pada Selasa, sesetengah warganet menggesa Encik Ng supaya melepaskan slotnya kepada Cik Lim.

Encik Ng memberitahu Mediacorp pada Rabu bahawa perkara itu tidak mungkin di bawah prosedur parlimen.

Menurutnya beliau juga sudah memfailkan soalan parlimen untuk bertanya sama ada Kementerian Ehwal Dalam Negeri akan mempertimbangkan untuk membenarkan pembantu rumah asing dan pemegang permit kerja lain untuk ditemani oleh kakitangan bukan perundangan dalam temu duga polis bagi menyediakan penterjemahan serta sokongan emosi kepada suspek.

Encik Ng menulis di Facebook pada 12 September akan hasratnya untuk membangkitkan di Parlimen tentang isu asap rokok yang dihembuskan orang lain kerana jumlah kes pergaduhan angkara asap rokok di HDB naik empat kali kepada lapan kes setiap bulan semasa dan selepas tempoh pemutus rantaian jangkitan awal tahun ini ketika kebanyakan penduduk duduk di rumah.

Beliau juga menarik perhatian dalam satu catatan Facebook pada 6 September bahawa asap rokok yang dihembuskan orang lain membunuh lebih satu orang di Singapura setiap hari, berdasarkan perangkaan yang menunjukkan seramai 383 orang meninggal dunia akibatnya pada 2016.

Sesetengah netizen agak keterlaluan untuk menyatakan bahawa keputusan undian bagi usul penangguhan adalah bukti proses parlimen memihak kepada PAP yang memerintah lantas mendorong Encik Tan untuk menyelar kenyataan tersebut.

Encik Tan menambah dalam komen di Facebook: “Sesetengah orang yang mendakwa peduli tentang proses ini tidak berminat untuk memeriksa fakta atau untuk mengetahui lebih lanjut… Masalah ini akan dibahaskan dan ditangani sepenuhnya dalam masa terdekat tetapi ada yang memilih untuk melihatnya sebagai isu yang dielakkan. Menakjubkan." 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan