Images
  • scoot cancelled flights
    Penumpang Scoot terkandas di Lapangan Terbang Changi. (Gambar: Lianne Chia)

Para penumpang terkandas di Lapangan Terbang Changi selepas penerbangan ke Bali dibatalkan

SINGAPURA: Para penumpang yang menuju ke Bali terkandas di Lapangan Terbang Changi hari ini (27 Nov) selepas penerbangan yang dijadualkan berlepas ke pulau peranginan di Indonesia itu dibatalkan dan lapangan terbang Denpasar ditutup.

Ia susulan langkah Indonesia meningkatkan amaran letusan Gunung Agung ke paras tertinggi.

Para penumpang yang ditemui Mediacorp mengatakan terdapat barisan panjang di kaunter daftar Scoot di Terminal 2 awal pagi tadi (27 Nov). Syarikat penerbangan tambang murah tersebut mempunyai tiga penerbangan yang dijadual berlepas ke Bali pada hari ini (27 Nov).

Pada 11.30 pagi, masih lagi ada beberapa penumpang di kaunter Scoot. Papan-papan tanda di kaunter memaparkan maklumat mengenai penerbangan yang dibatalkan, dan dua kakitangan Lapangan Terbang Changi dilihat memberi minuman ringan kepada penumpang yang terjejas.


Kakitangan Changi memberi minuman kepada penumpang yang terjejas. (Gambar: Lianne Chia)

Beberapa penumpang yang sudahpun menaiki pesawat, terpaksa turun kembali. Salah seorang daripada mereka, yang hanya ingin dikenali sebagai Dickson, menaiki pesawat yang dijadualkan berlepas pada 7.15 pagi apabila dimaklumkan tentang pembatalan itu.

"Pada mulanya, kapten pesawat memberitahu kami penerbangan tertangguh. Kemudian mereka berkata sedang menunggu maklumat," katanya. "Pada saat itu, ia masih sekitar 8.00 pagi"

Pada jam 8.30 pagi, para penumpang diberitahu tentang pembatalan itu.

"Kami perlu menulis kepada pihak pengurusan untuk mendapatkan semula bayaran balik tiket pesawat. Setidak-tidaknya, kami mempunyai insurans, jadi kami boleh mendapatkan wang kami semula."

Dickson bersama tiga temannya merancang untuk bercuti ke Bali yang menelan belanja sekitar S$1,500 seorang. Tetapi mereka terpaksa menukar rancangan mereka, dan menempah penerbangan lain ke Taiwan yang akan berlepas esok (28 Nov).

"Scoot pada mulanya memberitahu kami bahawa kami boleh terbang ke tempat lain tanpa sebarang bayaran tambahan, tetapi apabila tiba di hadapan barisan, kami mendapati bahawa mereka menghadkan negara-negara yang boleh kami lawati kepada negara-negara serantau," katanya.

Bagi perjalanan ke Taiwan itu mereka dikenakan biaya kira-kira S$2,000 seorang.

Cik Crystal Loh pula sepatutnya berlepas pada 7.15 pagi bersama teman-teman dan keluarga beliau. Cik Loh dimaklumkan tentang pembatalan itu ketika berada di kawasan transit.

"Kami hanya mengetahui tentang pembatalan itu pada jam 9.30 pagi, dan kemudian kami terpaksa keluar dari kawasan transit dan beratur lagi."

"Mereka berkata kami boleh mendapatkan bayaran kembali sepenuhnya atau memilih penerbangan ke destinasi lain," katanya. "Jadi kami memutuskan untuk pergi ke Phuket."

"Kami tidak begitu kecewa. Kami faham ini berada di luar kawalan kami. Dan kami diberi peluang ke destinasi yang lebih baik. Pantai-pantai di Bali kadang kala sesak. "

"Sudah pasti ada masalah, tetapi kami berfikiran positif. Kami ingin bercuti, jadi kami tidak mahu membiarkan perkara ini merosakkan rancangan kami," kata Cik Angeline Tan, seorang lagi anggota rombong Cik Loh.

"Baik juga Scoot membenarkan kami untuk membuat tempahan penerbangan ke destinasi yang berbeza tanpa bayaran tambahan." 

- CNA/AQ/aq

Top