Images

Para pengunjung ke JEM, Westgate masih luah rasa bimbang tentang risiko COVID-19

SINGAPURA: Jika anda ke pusat beli-belah Westgate di Jurong East hari ini (6 Jun), anda akan perlu berjalan di atas alas-alas kaki pembasmi kuman untuk masuk ke dalam bangunan itu.

Itulah antara langkah-langkah keselamatan anti-COVID-19 yang diterapkan Westgate. Ia juga giat menyapu lapisan antikuman di permukaan-permukaan yang lazim disentuh orang ramai. Malah setiap hari, Westgate 'memaksa' keluar udara lembap atau udara tidak bergerak di kawasan-kawasan berhawa dingin, sebelum pusat itu dibuka.

Westgate dan pusat beli-belah bersebelahannya, JEM, baru dibuka semula hari ini setelah dua minggu ditutup sejak 23 Mei ekoran wujudnya kelompok COVID-19 di situ.

HARI AHAD NAMUN JEM DAN WESTGATE SUNYI SEPI

Namun demikian, semasa BERITAmediacorp berada di sana siang tadi, JEM dan Westgate masih cukup lengang walaupun sudah dibuka semula seperti sediakala. Pada 12.00 tengah hari, suasana boleh dikatakan sebagai sunyi dan sepi, walaupun ia menempatkan gedung popular seperti Ikea. Hari Ahad lazimnya menyaksikan bilangan pengunjung yang rancak di kedua-dua pusat beli-belah kejiranan itu.

Orang ramai jelas masih mengambil pendekatan cukup berhati-hati untuk datang ke sini, jika sentimen mereka yang masih ke sini dijadikan ukuran. Ini dapat difahami kerana sehingga semalam (5 Jun), sebanyak 63 kes COVID-19 sudah dikaitkan dengan kelompok JEM dan Westgate.

Salah seorang pengunjung, Cik Rosei Ali, 57 tahun berkata kepada BERITAmediacorp: "Nak ikutkan memang risau juga lah. Tetapi apa nak buat, kita nak hilangkan tekanan jadi kita keluar sekejap sajalah. Jalan sekejap cari barang terus balik. Tak lama lah, sekejap saja sebab kita pun takut sebab ini baru buka kan."

Cik Amira Ahmad, 25 tahun, yang datang bersama rakannya juga mengaku memang ada "rasa takut" berkunjung ke sana dan ada "rasa risau". Tetapi dia tetap berkunjung kerana itulah pusat beli-belah paling dekat dengan rumahnya, "jadi tak ada pilihan lagi lah", kongsinya.

Bagi Cik Siti Zulaikha Abdul Kader, 26 tahun, yang turut meluahkan sentimen yang sama, keinginan untuk keluar membeli barang dan berjumpa kawan di pusat beli-belah itu tetap ada.

"Tetapi tetap patuhi jarak selamat dan pakai pelitup untuk lindungi daripada COVID-19," ujarnya.

PARA PENIAGA JUGA KURANG SIAP BAGI GSS

Kekontangan pengunjung cukup terasa meskipun pembukaan semula JEM dan Westgate berlaku pada hari pertama Jualan Raksasa Singapura (GSS) bermula.

Malah pemerhatian BERITAmediacorp ke atas kedua-dua pusat beli-belah itu turut mendapati bahawa para peniaga juga nampaknya kurang bersedia untuk GSS dengan papan-papan tanda jualan murah umumnya belum kelihatan di kebanyakan kedai.

Menurut seorang pekerja di kedai cermin mata, Glimpse, Encik Jason Cheah, jumlah pengunjung yang datang boleh seolah-olah sama dengan sebelum Westgate ditutup dua minggu - iaitu "sudah sangat kosong". Namun dia masih melahirkan sekelumit harapan bahawa "keadaan akan menjadi lebih baik".

KERJA PEMBASMIAN DITINGKATKAN

Namun yang pasti, di Westgate misalnya kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman terus giat dijalankan di situ demi memastikan keselamatan pengunjung, demi terus memikat kedatangan pelanggan.

"Untuk langkah-langkah yang sudah dilaksanakan, sejauh ini kesemua pusat beli-belah termasuk Westgate, contohnya gunakan sistem pembasmian kuman udara PhotoPlasma di lif-lif," kata Ketua Operasi Capitaland Singapore, Encik Jason Loy.

"Di Westgate, kami sedang menguji. Contohnya bilik-bilik menyusu akan menggunakan peralatan pembasmian kuman udara UV. Selepas ia berjaya diuji di Westgate, kami akan laksanakannya di kesemua pusat beli-belah (Capitaland)," ujar beliau lagi.

Proses tersebut akan dilaksanakan sepanjang beberapa minggu ini menurut Capitaland. 

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAmediacorp/tq

Top