Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para pengetua ini tawar nasihat kepada ibu bapa berhubung skor baru PSLE

Para pengetua sekolah rendah dan menengah menyatakan sistem penskoran baru bagi murid Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini, dijangka mendorong para ibu bapa memilih sekolah menengah bukan berdasarkan prestasi akademiknya semata-mata.

Anggaran Waktu Membaca:
Para pengetua ini tawar nasihat kepada ibu bapa berhubung skor baru PSLE

Pengetua Sekolah Rendah Radin Mas, Encik Muhd Farizal Umar Effendi dan pengetua Sekolah Perempuan Raffles, Cik Haslinda Zamani.

SINGAPURA: Para pengetua sekolah rendah dan menengah menyatakan sistem penskoran baru bagi murid Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini, dijangka mendorong para ibu bapa memilih sekolah menengah bukan berdasarkan prestasi akademiknya semata-mata.

Ini kerana lebih banyak sekolah akan berkongsi julat mata potongan yang serupa di bawah sistem baru itu.

Lantaran itu, pemadanan minat murid dengan program-program di sekolah menengah, diharap akan lebih diutamakan, menurut mereka.

SISTEM PENSKORAN BARU KURANGKAN TEKANAN, PERSAINGAN

Berbanding lebih 200 agregat yang boleh dicapai dalam PSLE sebelum ini, kini hanya terdapat 29 skor yang boleh diraih seorang murid.

Murid-murid Darjah 6 menunggu keputusan PSLE mereka.

Ini bermakna jurang skor antara murid-murid Darjah 6 juga akan lebih rapat. Ia sekali gus diharap mengurangkan tekanan dan persaingan antara mereka.

Langkah ini penting, kata pengetua Sekolah Rendah Radin Mas, Encik Muhammad Farizal Umar Effendi, kerana murid-murid perlu dipupuk dengan kemahiran dan nilai supaya menjadi pelajar sepanjang hayat, dan bukan sekadar fokus terhadap PSLE.

"Satu cara adalah dengan memilih sekolah menengah yang boleh mengembangkan dan mengasuh minat, bakat dan kecenderungan mereka kerana ini penting.

"Membuat pilihan sekolah menengah yang tepat penting kerana ia boleh membina keyakinan diri dan membentuk sikap positif untuk mereka mengembangkan potensi mereka sepenuhnya," kata Encik Farizal.

PEMADANAN BAIK BERI KESAN POSITIF

Sekolah Perempuan Raffles, mempunyai julat anggaran skor antara 4 hingga 6.

Namun pengetuanya Cik Haslinda Zamani menekankan, faktor seperti budaya sesebuah sekolah atau kegiatan ko-korikular (CCA) juga penting.

Menurut Cik Haslinda, beliau akan berbincang dengan murid yang memohon untuk mengetahui lebih banyak dahulu tentang minatnya atau kekuatannya.

Barulah beliau akan padankan murid berkenaan dengan program-program yang ditawarkan pihak sekolah.

"Pemadanan yang baik akan memberi kesan yang positif kepada pengalaman pembelajaran untuk anak kita di sekolah menengah kerana anak kita itu akan merasakan minat dan kekuatannya itu disokong dan boleh terus berkembang melalui program sekolah. Dengan sistem pemarkahan baru ini, saya rasa pelajar akan mendapat lebih banyak pilihan.

"Jadi jika saya boleh beri pesanan, isikanlah borang pilihan dengan lengkap iaitu keenam-enam pilihan dan senaraikan pilihan dengan cermat," ujar beliau.

PILIH LOKASI DEKAT DENGAN RUMAH

Bagi Sekolah Tinggi Nan Chiau yang terletak di estet kejiranan Sengkang, julat anggaran skornya ialah antara 4 hingga 11.

Oleh itu pengetuanya Cik Siau Fong Fui berharap julat tersebut sedikit sebanyak membantu ibu bapa dengan pilihan mereka.

"Saya harap ini memberi mesej jelas kepada ibu bapa bahawa sekolah ini dapat memenuhi keupayaan berbeza murid-murid. Jadi bagi murid dengan prestasi cemerlang sekali pun, ada pilihan sekolah baik di kejiranan mereka, dan mereka tidak perlu melakukan perjalanan jauh dari rumah mereka," kata beliau.

Cik Siau juga berharap ibu bapa akan lebih mempertimbangkan lokasi sekolah berbanding gred yang diraih anak mereka.

Ini kerana, kongsi beliau, ada ibu bapa yang memohon untuk memindahkan anak-anak mereka ke sekolahnya yang lebih dekat dengan rumah mereka, selepas berfikir dua kali.

"Akhirnya, anak itu tidak dapat menahan perjalanan yang jauh sehinggalah selepas beberapa minggu di sekolah menengah, anak itu memberitahu ibu bapanya dia sukar bangun terlalu awal dan mengekalkan tenaga sepanjang hari dan akhirnya hilang minat, sehingga tidak mahu menyambung di sekolah tersebut," dedah Cik Siau.

Cik Haslinda pula selanjutnya menekankan pentingnya etos sekolah dalam pemilihan sekolah menengah bagi membangunkan keperibadian murid-murid.

Para pengetua menyarankan ibu bapa supaya mengunjungi rumah terbuka sekolah-sekolah bersama anak mereka bagi mendapat gambaran lebih jelas program-program, kegiatan luar darjah serta budaya sekolah yang sesuai dengan anak mereka.

Encik Farizal menawarkan nasihat berikut: "Nasihat saya yang pertama ialah untuk ibu bapa untuk membuat pilihan ini bersama anak mereka, bukan untuk anak-anak mereka.

"Bincanglah dengan anak-anak mereka dan ketahuilah apakah minat, apakah bakat, apakah kecenderungan mereka dan juga apakah keperluan pelajaran mereka. Padankanlah minat ini dengan keunikan-keunikan yang ada di sekolah menengah." 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan