Images

Para pemandu, pekerja pentadbiran alu-alu struktur tangga kerjaya, gaji di bawah PWM

SINGAPURA: Menyertakan para pekerja pentadbiran dan pemandu ke dalam Model Gaji Progresif (PWM), akan memudahkan mereka meningkatkan kemahiran, sekali gus mempunyai tangga kerjaya lebih tersusun.

Demikian pandangan pekerja pentadbiran dan pemandu sebagai mengulas langkah Pemerintah mahu menyertakan kedua-dua pekerjaan itu ke dalam PWM. Para pekerja pentadbiran dan pemandu yang BERITAmediacorp temui juga mengalu-alukan saranan Kumpulan Kerja Tiga Pihak bagi pekerja bergaji rendah baru-baru ini.

Di bawah saranan itu kedua-dua bidang pekerjaan itu disertakan ke dalam Model Gaji Progresif (PWM) bermula 1 Mac 2023.

Antara lain ia bermakna para pekerja pentadbiran dijangka mendapat gaji kasar bulanan antara $1,500 hingga $2,800 bergantung kepada pangkat, manakala para pemandu pula mendapat sekurang-kurangnya $1,750 hingga $1,850 sebulan.

PWM juga memastikan para pekerja seperti ini mendapat gaji lebih tinggi sejajar dengan kemahiran dan latihan mandatori yang perlu mereka jalani.

TERAPKAN LATIHAN KEMAHIRAN SEMASA KERJA MUDAHKAN PEKERJA

Pekerja pentadbiran seperti Cik Fauziah Ya'kub berkata ia idea yang baik kerana membolehkannya meningkatkan kemahiran semasa waktu kerja- sesuatu yang agak sukar dilakukan sekarang ini.


"Saya tak rasa saya ada cukup masa untuk pergi kursus sekarang kerana kadangkala kerja agak santai, kadangkala kerja sangat sibuk.

"Kalau itu memang seharusnya ataupun pemerintah akan buat sesuatu, macam anda perlu lakukannya, saya akan pergi... kursus dan pada masa yang sama mendapat gaji lebih tinggi," kata Cik Fauziah.

Beliau juga berminat mengambil kursus perhubungan atau komunikasi jika disediakan bagi terus meningkatkan diri semasa bertemu dengan klien dalam bidang pentadbiran.

BANTU PEMANDU NAIK TANGGA KERJAYA, GAJI

Bagi pemandu seperti Encik Muhammad Rozaily Aswadi pula, dia teruja dengan prospek peningkatan tangga kerjaya dan gaji di bawah PWM bagi kelompok pemandu.


(Gambar: Muhammad Rozaily Aswadi)

Kini sudah 13 tahun dia menjadi pemandu kontena dengan keadaan kerja memaksanya "terlari sana sini" untuk mengejar insentif bagi mendapat gaji lebih tinggi.

Jadi, jika struktur PWM diterapkan kepada para pemandu, ini lebih menguntungkan Encik Rozaily.


(Gambar: Muhammad Rozaily Aswadi)

"Sekarang pun kebanyakan kita berada di sini saja. Jadi kalau kita dapat tingkatkan, ada pemandu daripada Kelas 3 hendak naik Kelas 4, ada yang Kelas 4 nak naik Kelas 5.

"Mungkin saya sebagai pemandu lori saja, mungkin kalau kursus saya, saya akan cuba ambil kren, yang lagi besar daripada apa yang saya bawa ini, pasti gajinya akan lebih besar, itu yang kita alu-alukan," jelas Encik Rozaily.


Secara keseluruhannya, seramai 55,000 pekerja pentadbiran dan pemandu bakal meraih manfaat daripada PWM, khususnya golongan bergaji rendah. 

- BERITAmediacorp/im

Top