Images
  • hdb property
    (Gambar: TODAY)

Para pemain industri hartanah harus kekal berhemat: Indranee Rajah

SINGAPURA: Para pemain industri mesti terus "bersikap profesional, bertanggungjawab, dan berhemat, dan tidak membangkitkan sentimen berlebih-lebihan" dalam pasaran hartanah, menurut Menteri Kedua Pembangunan Negara Indranee Rajah pada Selasa (23 Feb).

Berucap di satu acara yang dianjurkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah Singapura (REDAS), Cik Indranee berkata bahawa dalam jangka masa panjang, memilki pasaran hartanah yang stabil akan memanfaatkan semua pihak berkepentingan.

Sektor hartanah kekal kukuh meskipun di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Harga rumah privet naik 2.2 peratus tahun lalu meskipun ekonomi mengalami kemelesetan, manakala harga jualan semula bagi flat HDB meningkat pada tahap tertinggi sejak 2012, di tengah-tengah kenaikan kegiatan pembelian.

Cik Indranee memberi amaran bahawa pemulihan dalam kegiatan ekonomi global dijangka "tidak sama rata, tidak menentu dan berlarutan", dengan negara-negara lain sedang menangani gelombang jangkitan semula dan varian baru koronavirus.

"Bagaimana keadaan ekonomi dan pandemik di peringkat global berubah dan ketidaktentuan yang berterusan mungkin menjejas ekonomi Singapura, termasuk pasaran tenaga kerja dan hartanah. Oleh itu kami mesti kekal berwaspada," katanya.

"Para pemaju mesti kekal berhemat dalam bidaan tanah mereka dan tidak memikul beban kewangan secara berlebih-lebihan.

"Para bakal pembeli hartanah patut menimbangkan keupayaan mereka untuk memenuhi gadai janji memandangkan masa depan ekonomi yang tidak menentu dan proses pemulihan berpanjangan dalam pasaran buruh domestik, sebelum membuat komitmen kewangan jangka panjang.

- CNA/NA/na

Top