Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para pekerja digesa rancang kewangan sebelum bersara

Para pekerja dinasihati agar membuat perancangan kewangan yang bijak dan lebih awal supaya lebih bersedia menghadapi alam persaraan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pekerja dinasihati agar membuat perancangan kewangan yang bijak dan lebih awal supaya lebih bersedia menghadapi alam persaraan.

Demikian antara nasihat yang dikongsi Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin dan Penolong Setiausaha Agung NTUC Zainal Sapari dengan para peserta sesi dialog pasca Rapat Umum Hari Kebangsaan yang kedua anjuran gerakan M³ di Wisma Geylang Serai malam semalam.

Kira-kira 200 peserta terdiri daripada relawan M³@Bandar, pemimpin akar umbi dan wakil badan Melayu/Islam hadir di sesi tersebut.

Antara isu utama yang dibangkitkan dalam sesi selama satu setengah jam itu adalah langkah pemerintah untuk menaikkan usia persaraan kepada 65 tahun menjelang 2030.

"Semasa interaksi saya bersama penduduk di kawasan undi Pasir Ris East, saya pernah diutarakan dengan soalan kenapa pegawai-pegawai beruniform sekarang seperti polis dan askar dikecualikan daripada usia persaraan 62 tahun," kata Cik Suzalinah, wakil MAEC Pasir Ris East.

Seorang lagi peserta, Encik Anuar Selamat, melahirkan kebimbangan tentang perbelanjaan yang masih perlu ditanggung selepas bersara.

"Bila kita bersara awal dan kita masih sihat lagi, kita ada banyak komitmen dari segi kewangan perumahan, persekolahan anak-anak dan sebagainya. Oleh itu kita masih boleh bekerja, masih sihat, jadi mengapa tidak?", kata beliau.

Encik Amrin mengambil perhatian bahawa sebahagian pekerja ingin terus bekerja dan ini dapat dilakukan selepas pemerintah meningkatkan usia persaraan.

"Ia adalah satu isyarat atau petanda di mana pemerintah menghargai pengalaman dan kebolehan pekerja lanjut usia untuk terus bekerja jika mereka mahu," kata beliau.

Penolong Setiausaha Agung NTUC Zainal Sapari pula berkata, pihak kesatuan telah mengusulkan satu cadangan iaitu memberi peluang kepada pekerja untuk bekerja selama mungkin dan juga membenarkan majikan terus dapat bersaing di dalam keadaan ekonomi yang berdaya saing.

Namun, salah satu cara untuk meyakinkan para majikan adalah dengan memastikan para pekerja lanjut usia mempunyai kemahiran yang relevan.

Turut ditimbulkan, soal pakej gaji serta manfaat yang dianggap "kurang" apabila pekerja ditawarkan bekerja semula.

Encik Amrin berkata pelbagai program termasuk skim perubatan sudah disediakan pemerintah untuk membantu rakyat mengurangkan beban perbelanjaan di hari tua.

Namun, beliau mengingatkan setiap individu bertanggungjawab untuk membuat perancangan kewangan yang baik sebelum bersara.

"Yang penting yang ingin saya tegaskan sekarang adalah kita mesti membuat perancangan sekarang, kita mesti mengatur perbelanjaan kita," nasihat beliau.

Isu-isu lain yang turut diketengahkan termasuk cabaran perubahan iklim serta subsidi bagi pendidikan prasekolah.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan