Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para peguam Melayu M³ tawar khidmat percuma bagi daftarkan diri untuk LPA

Satu khidmat secara percuma akan dijalankan bagi membantu anda yang ingin membuat permohonan bagi Surat Kuasa Berkekalan atau 'Lasting Power of Attorney'. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu khidmat secara percuma akan dijalankan bagi membantu anda yang ingin membuat permohonan bagi Surat Kuasa Berkekalan atau 'Lasting Power of Attorney'.

Dianjurkan Ahad ini (22 Nov), di Wisma Geylang Serai, usaha tersebut akan dikendalikan sekumpulan peguam Melayu/Islam di bawah rangkaian M³ iaitu MUIS, MESRA dan MENDAKI.

Gambar fail warga tua melintasi jalan raya (Gambar: Monica Kotwani)

SETIAP 1 DALAM 10 AKAN ALAMI DEMENSIA

Di Singapura, dianggarkan 1 dalam setiap 10 warga emas berusia lebih 60 tahun menghidap demensia atau penyakit nyanyuk.

Laman Healthhub.sg menyatakan, menjelang tahun 2030, sekitar 152,000 warga Singapura dijangka mengalami demensia.

Dengan semakin ramai rakyat Singapura diramal dibelenggu penyakit nyanyuk, Pemerintah menggalakkan rakyat supaya membuat permohonan Surat Kuasa Berkekalan (LPA).

LPA adalah dokumen yang membolehkan seseorang melantik orang lain untuk membuat keputusan bagi mereka bagi soal kebajikan peribadi dan urusan kewangan, sekiranya mereka hilang upaya mental suatu hari nanti.

Pemerintah baru-baru ini melanjutkan mengecualikan yuran permohonan $75 bagi LPA sehingga 31 Mac tahun depan.

TIDAK RAMAI MASYARAKAT MELAYU DAFTAR BAGI LPA

Namun para peguam Melayu/Islam di bawah M³ mendapati masih tidak ramai anggota masyarakat Melayu tampil berdaftar, berbanding kaum lain.

"Mereka kurang faham bahawa pendaftaran LPA dapat mengelakkan situasi-situasi kurang manis di mana ahli-ahli semua merebut untuk mendapatkan kuasa untuk mengendalikan harta benda.

"Ramai juga berdasarkan pengalaman kami tidak memahami perbezaan Surat Kuasa Berkekalan dan wasiat. Bagi LPA ia berkuat kuasa apabila seseorang kehilangan keupayaan mentalnya, tetapi wasiat pula berkuasa apabila seseorang itu meninggal dunia," kata peguam Imran Rahim.

Sedar akan kepentingan ini, lapan orang peguam dan enam sukarelawan lain yang terlatih dalam bidang guaman di bawah M³, melakarkan inisiatif untuk memberi khidmat secara percuma bagi membantu individu-individu yang ingin mengisi borang LPA.

"Visi kami adalah untuk menggalak lebih ramai orang untuk mendaftarkan LPA ini dan menimbang berat masa depan kita kerana kita tidak tahu bila keupayaan mental kita akan terjejas atau apa-apa yang akan terjadi kepada kita

"Jadi, apa yang kami ingin lakukan adalah untuk membantu mereka yang memerlukan untuk melengkapkan Borang 1 Surat Kuasa Berkekalan ini dan menolong mereka membuat permohonan Surat Kuasa Berkekalan ini," kongsi beliau lagi kepada BERITAmediacorp.

KHIDMAT PERCUMA M³

Encik Imran berkongsi khidmat guaman bagi urusan LPA biasanya boleh menjangkau ratusan dolar.

Bagi anda yang mahu memanfaatkan khidmat mengisi borang LPA secara percuma, ia dianjurkan di Wisma Geylang Serai (WGS) dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang.

Pemohon yang berminat berbuat demikian perlu membawa sama wakil yang akan dilantik dan kad pengenalan masing-masing.

Wakil yang dilantik pula perlu berusia 21 tahun ke atas.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan