Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para jemaah S'pura berpeluang tunaikan umrah bulan Syawal tahun ini

Buat pertama kalinya, para jemaah Singapura berpeluang menunaikan umrah pada bulan Syawal tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buat pertama kalinya, para jemaah Singapura berpeluang menunaikan umrah pada bulan Syawal tahun ini.

Ini sejajar dengan matlamat kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan jumlah orang yang boleh menunaikan umrah dengan proses permohonan E-visa lebih mudah dan ringkas.

Untuk memberikan kelainan juga, ada GSA tempatan yang menawarkan program umrah yang lain daripada yang lain, sempena sambutan Aidilfitri.

Kalau dulu musim umrah berakhir pada bulan Ramadan, sekarang para jemaah boleh pergi umrah juga sepanjang bulan Syawal.

Lazimnya para jemaah umrah akan berangkat dalam hari-hari terakhir bulan Ramadan dan menyambut Aidilfitri di tanah suci, sebelum berangkat pulang beberapa hari selepas itu.

Tetapi kini, ada pakej umrah yang berangkat mungkin seminggu selepas Aidilfitri dan pulang sebelum berakhirnya bulan Syawal.

"Kalau berumrah bulan Syawal lebih mudah dan senang kerana Ramadan puncak ibadah umrah tapi selepas Ramadan semua jemaah dah pulang dan para jemaah haji belum lagi tiba.

Para jemaah haji mula tiba bulan Zulka'dah. Jadi bulan Syawal ini merupakan kekosongan.

Tidaklah makna kosong langsung tetapi kekosongan dan jemaah pun mudah menjalankan ibadah tawaf, sai dan amalan-amalan yang lain," kata Presiden AMTAS, Ustaz Tengku Mohd Fouzy.

Mentelah lagi bulan Syawal tahun ini jatuh sempena cuti sekolah bulan Jun di Singapura.

"Umrah Syawal ini satu kegiatan yang kami nanti-nantikan. Aktiviti kanak-kanak, kegiatan untuk kita alami kegiatan safari gurun, bagaimana hijrah Rasul Allah, cara makanan Saudi di padang pasir," menurut Pengarah Urusan Shahidah Travel, Ayoob Angullia.

Ini bermakna selain ibadah umrah di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah, para jemaah umrah Syawal berpeluang mengikuti program-program yang sebelum ini tidak pernah dilakukan para jemaah umrah.

Ia sejajar dengan matlamat kerajaan Saudi untuk berkongsi juga pengalaman kehidupan di negara padang pasir ini.

Selain program menjejaki hijrah Nabi Muhammad ke Madinah, Kementerian Haji Saudi juga berura-ura untuk menawarkan program menginap dengan keluarga Saudi, tidak lama lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan