Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para AP sambut baik peruntukan $900 juta bantu keluarga dalam ekonomi gawat

Sokongan bagi keluarga-keluarga memerlukan, terutama sekali mereka dengan anak berkeperluan khas, disambut baik para Anggota Parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:
Para AP sambut baik peruntukan $900 juta bantu keluarga dalam ekonomi gawat

(Gambar fail: Raj Nadarajan/TODAY)

SINGAPURA: Sokongan bagi keluarga-keluarga memerlukan, terutama sekali mereka dengan anak berkeperluan khas, disambut baik para Anggota Parlimen.

Dalam 'Belanjawan 2021: Bangkit Lebih Kukuh Bersama', Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat memperkenalkan Pakej Bantuan Tambahan Keluarga bernilai S$900 juta yang akan membantu memperkukuh rangkaian sosial Singapura.

"Kita harus memahami konteks di balik pembentangan ini. Ia dilakukan selepas lima belanjawan sepanjang tahun lalu, dan di dalam situasi di mana kita masih berdepan dengan sebuah pandemik," kata Anggota Parlimen GRC Jurong Rahayu Mahzam yang juga merupakan Setiausaha Parlimen Kesihatan.

Beliau menambah, bantuan seperti Bayaran Khas Baucar GST U-Save bernilai antara S$120 hingga S$200 serta tokokan tambahan sekali ke dalam akaun pendidikan kanak-kanak, menunjukkan Pemerintah "faham tentang tanggungan seperti perbelajaan rumah tangga dan perbelanjaan untuk anak-anak".

(Gambar fail: Rahayu Mahzam/Facebook)

"Sudah ada skim-skim sedia ada bagi golongan lemah dan mereka yang memerlukan. Jadi saya rasa semua ini melengkapi (bantuan sedia ada). Saya berharap ia akan memperhebat sokongan untuk mereka yang sedang berdepan masa-masa sukar," kata Cik Rahayu lagi.

BELANJAWAN YANG 'INKLUSIF'

Satu perkara yang menarik perhatian Cik Rahayu adalah sokongan lebih baik bagi para penjaga golongan kurang upaya.

DPM Heng semasa pembentangannya mengumumkan bahawa Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan dan SG Enable akan membentuk sebuah perikatan bagi menyokong kumpulan sasaran itu.

"Saya gembira apabila mendengar tentang perkara ini. Ini satu perkembangan baik. Pastinya, saya berharap lebih banyak dapat dilakukan tetapi saya bersyukur ia sesuatu yang diberi perhatian," ulas Cik Rahayu.

Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang Encik Zhulkarnain Abdul Rahim pula mengalu-alukan usaha Pemerintah yang sedang meninjau Program Perintis Bantuan Inklusif. Program itu akan menyepadukan khidmat intervensi dan pendidikan awal kanak-kanak berkeperluan khas.

"Bagi saya, ciri-ciri yang harus ditekankan adalah ia akan melibatkan semua pihak seperti sekolah, ibu bapa dan juga agensi pemerintah. Kedua harus adakan sumber yang khusus supaya program-program akan dilancarkan dapat dilanjutkan secara amnya," kata Encik Zhulkarnain.

Beliau turut menyambut baik tentang langkah memperluaskan ComLink pada peringkat nasional. Usaha Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) itu menyediakan sokongan holistik kepada keluarga-keluarga yang tinggal di rumah sewa.

Inisiatif itu juga diselaraskan dengan program lain seperti UPLIFT dan KidStart.

"Dahulunya ianya boleh membantu 1,000 keluarga berpendapatan rendah tetapi dengan perluasan ini, ia akan dapat memanfaatkan lebih 14,000 keluarga yang berpendapatan rendah," tambahnya lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan