Images
  • TraceTogether
    Token TraceTogether. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Para AP beri saranan penggunaan data TraceTogether

SINGAPURA: Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang membangkitkan soalan-soalan tentang penggunaan data TraceTogether di Dewan pada minggu lalu mengalu-alukan pengenalan undang-undang yang mengehadkan penggunaan datanya bagi siasatan jenayah.

Parti Kemajuan Singapura (PSP) bagaimanapun, menyeru agar data itu hanya digunakan bagi tujuan pengesaan kontak.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Desmond Tan berkata di Parlimen pada 4 Januari lalu bahawa polis boleh mendapatkan data TraceTogether bagi siasatan jenayah. Ini menimbulkan kebimbangan orang ramai tentang penggunaan data tersebut oleh pihak berkuasa.

Isu itu pertama kali ditimbulkan pada 4 Januari menerusi soalan parlimen oleh AP PAP bagi Holland-Bukit Timah Christopher de Souza. Beliau bertanya sama ada data TraceTogether akan digunakan bagi siasatan jenayah dan apakah peruntukan dari segi undang-undang dan perlindungan dalam penggunaan data sedemikian.

Sebelum ini, kenyataan privasi di laman TraceTogether menyatakan datanya hanya "bagi tujuan pengesanan kontak". Laman itu kemudian dikemas kini pada 4 Januari untuk menjelaskan bahawa Kanun Prosedur Jenayah (CPC) menetapkan semua data aplikasi itu masih boleh digunakan polis dalam siasatan jenayah.

Pada Selasa lalu (5 Jan), Menteri Bertaggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak, Vivian Balakrishnan, menjelaskan bahawa beliau "tidak terfikir" tentang CPC dan berdepan soalan demi soalan tentang penggunaan data TraceTogether daripada beberapa AP.

Menteri Undang-Undang K Shanmugam memberitahu Dewa bahawa penggunaan data akan dibataskan kepada "kesalahan-kesalahan serius".

Pada Jumaat (8 Jan), pihak berkuasa Singapura mengumumkan akan memperkenalkan undang-undang yang menetapkan tujuh kategori kesalahan serius yang membolehkan data TraceTogether digunakan dalam siasatan polis.

Undang-undang itu akan diperkenalkan pada sidang Parlimen akan datang dalam bulan Februari.

- CNA/NK/nk

Top