Images
  • pm lee pap65
    Perdana Menteri Lee Hsien Loong di konvensyen PAP pada 10 Nov 2019. 

PAP 'tidak pernah boleh gentar untuk lakukan apa yang betul buat S'pura', kata PM Lee

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) "tidak pernah boleh gentar untuk melakukan apa yang terbaik buat Singapura", kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (10 Nov) di konvensyen PAP - sebuah perhimpunan para anggota dan aktivis parti itu.

Merujuk kepada keputusan Pemerintah untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan Pilihan Raya Presiden dikhususkan buat satu kaum andai tiada seorang pun daripada kaum tersebut pernah menjadi presiden selama lima penggal berturut-turut, Encik Lee akur bahawa tidak semua rakyat Singapura bersetuju dengan keputusan tersebut.

"Secara keseluruhannya, dalam jangka pendek, isu ini memberi kesan politik yang tidak positif kepada pemerintah, untuk PAP. Namun, ini adalah sebahagian daripada cabaran pentadbiran. Saya yakin kita melakukan perkara yang betul," tambah beliau.

Encik Lee, yang merupakan setiausaha agung PAP, berkata perubahan dilakukan bagi "kebaikan jangka panjang" Singapura. Beliau menarik perhatian garis pemisah yang boleh memecahbelahkan kaum, bahasa dan agama "belum lagi benar-benar hilang".

"Kami perlu terus menguruskan isu-isu perkauman dan keagamaan secara teliti dan peka. Apabila berlaku sesuatu yang menyebabkan rasa tersinggung, seperti orang membuat kenyataan melulu atau menyinggungkan perasaan, kita perlu ambil tindakan," katanya.

"Pada masa yang sama, kita perlu secara proaktif memperkukuh struktur dan institusi yang menyokong dasar masyarakat majmuk dan berbilang agama kita."

Encik Lee menambah bahawa Presiden adalah "lambang penyatuan" berbilang kaum di Singapura, beliau menegaskan akan menjadi lebih sukar bagi seorang calon bukan berbangsa Cina untuk dipilih jika Presiden dipilih berdasarkan undian negara.

"Bagaimanakah perasaan minoriti jika presiden Singapura selalunya orang Cina? Dalam jangka panjang, senario seumpama itu akan menimbulkan rasa tidak puas hati yang mendalam dan mengikis nilai-nilai asas negara kita."

Selain daripada memastikan kesatuan dan perpaduan sosial dalam masyarakat, Encik Lee berkata PAP juga harus mengekalkan keyakinan rakyat terhadap parti itu dan memberi harapan masa depan kepada rakyat Singapura untuk terus memenangi kepercayaan mereka.

DASAR PAP BERPUSATKAN REALITI - BUKAN KATA-KATA MANIS : PM LEE

Encik Lee berkata PAP sudahpun "membina kepercayaan kukuh" dalam kalangan rakyat Singapura sepanjang tahun-tahun lalu kerana mempunyai piawai kejujuran dan kewibawaan yang tinggi, pendekatannya yang jujur dan telus serta kebolehannya untuk menepati janji.

Encik Lee juga menekankan dasar-dasar PAP berpusatkan realiti dan tidak menyembunyikan kesukaran yang dihadapi.

"Kami jelaskan dengan terang segala cabaran dan pilihan yang tersedia ada supaya rakyat Singapura faham terdapat alasan baik atas apa yang kita lakukan. Sekalipun keputusan tersebut tidak disenangi, kami berusaha gigih untuk meyakinkan penduduk bahawa ini adalah sesuatu yang harus kita lakukan bersama."

Menyentuh tentang kenaikan GST, yang juga dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam ucapannya, Encik Lee berkata: "Tidak banyak pemerintah di dunia akan memberitahu anda sebelum pilihan raya bahawa ia merancang untuk menaikkan cukai. Saya boleh menangguhkan isu tersebut dan menyerahkannya kepada PM seterusnya serta pasukan beliau."

"Namun, kita harus melakukan perkara yang betul dan bertanggungjawab: Bersikap telus dengan pengundi, jelaskan sebab kenaikan GST tidak dapat dielakkan dan memberikan notis awal."

Dengan mengumumkan kenaikan GST serta pakej sokongan yang sepadan lebih awal, ini membantu memastikan bahawa "pihak pembangkang tidak boleh menimbulkan masalah tidak diingini", terang Encik Lee.

Dasar-dasar PAP juga sudah menambah baik kehidupan warga Singapura "dalam cara konkrit dan boleh dilihat", kata Encik Lee, sambil menarik perhatian bahawa khidmat jagaan kesihatan, pendidikan serta pengangkutan awam di Singapura adalah dalam kemampuan ramai dan bermutu tinggi.

"Tidak seperti parti-parti politik lain, kita tidak mampu untuk memikat para pengundi dengan janji kosong kerana kita mahu mereka datang untuk menuntutnya kelak," tambah beliau. 

- CNA/FZ/fz

Top