Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PAP tidak berselindung dari ‘kebenaran menyulitkan’; akan terus perjuang dan tegakkan integriti yang tinggi: DPM Heng

Parti Tindakan Rakyat (PAP) tidak merahsiakan mahupun berselindung daripada "kebenaran yang menyulitkan", kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat hari ini (10 Nov) di Konvensyen PAP, yang menghimpunkan para anggota dan aktivis parti tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 Nov 2019 01:16PM Dikemas Kini : 10 Nov 2019 09:58PM

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) tidak merahsiakan mahupun berselindung daripada "kebenaran yang menyulitkan", kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat hari ini (10 Nov) di Konvensyen PAP, yang menghimpunkan para anggota dan aktivis parti tersebut.

Semasa berucap sebagai penolong setiausaha agung pertama PAP, Encik Heng turut menyentuh tentang pengumuman yang dibuatnya dua tahun lalu untuk menaikkan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Pengumuman tentang kenaikan GST itu disambut dengan sebilangan penduduk yang berasa tidak puas hati.

Encik Heng yang juga Menteri Kewangan berkata beliau akur bahawa langkah itu tidak popular dan ramai yang memintanya supaya jangan membangkitkannya lagi.

"Namun jika saya tidak membangkitkannya, parti-parti pembangkang tentu sekali akan berbuat demikian, jadi lebih baik jika anda mendengarnya daripada saya," kata Encik Heng, sedang Singapura di ambang Pilihan Raya Umum seterusnya.

Pemerintah mungkin boleh menunggu sehingga selesai pilihan raya sebelum mengumumkan kenaikan itu, tetapi "ia bukan satu perbuatan yang jujur", tambah Encik Heng.

Pilihan Raya Umum seterusnya harus diadakan selewat-lewatnya pada April 2021.

"Kita mesti bertanggungjawab dan sebaik-baiknya bersikap jujur dan memberitahu rakyat bila ia akan berlaku. Inilah makna sebenar kewibawaan. Kita tidak akan berselindung daripada kebenaran yang menyulitkan," kata Encik Heng.

Beliau turut menekankan perlunya untuk menaikkan cukai GST.

"Keperluan kita meningkat dalam banyak bidang seperti jagaan kesihatan dan pendidikan prasekolah. Dunia ini juga menjadi semakin tidak menentu dan ia satu langkah bijak untuk sentiasa bersiap sedia," katanya.

PAKEJ SOKONGAN BAGI TAMPUNG KENAIKAN GST

Encik Heng turut mengumumkan Pemerintah akan "mengurangkan dan mengimbangi kesan" kenaikan GST ke atas semua keluarga di Singapura.

"Kami mempunyai pakej sokongan sedemikian setiap kali kami menaikkan cukai GST, namun kali ini kami akan mengumumkannya lebih awal," kata Encik Heng.

Beliau akan mendedahkan lebih banyak butiran semasa Belanjawan dibentangkan pada tahun depan, namun lebih banyak sokongan akan diberikan kepada golongan yang kurang berkemampuan kerana "perbuatan sedemikian adil", katanya.

Namun, beliau akur "sesetengah pihak mungkin tidak akan berpuas hati" meskipun dengan pakej sokongan tersebut.

Beliau juga menegaskan bahawa pakej sokongan itu bukanlah "habuan pilihan raya", kerana ia hanya akan diberikan apabila GST dinaikkan pada penggal seterusnya.

Encik Heng juga menyelar parti-parti pembangkang.

"Kami tahu rakyat SIngapura berasa bimbang di tengah-tengah keadaan ekonomi sekarang, jadi kami ingin memberi anda jaminan bahawa bantuan akan diberikan semasa peralihan itu, jadi rakyat SIngapura tidak perlu bimbang atau berasa gusar disebabkan oleh pihak pembangkang yang ingin mencari sesuatu untuk mencetuskan kemarahan orang ramai," katanya.

PEMIMPIN 4G KOMITED BEKERJASAMA DENGAN RAKYAT S'PURA

Kepimpinan 4G dengan Encik Heng sebahagian daripadanya sudah bersiap sedia untuk menambat kepercayaan dan keyakinan rakyat Singapura, katanya.

Namun, rakyat Singapura perlu menaruh kepercayaan dan keyakinan kepada para anggota PAP, terutama sekali kepimpinan 4G, yang terdiri daripada pemimpin berintegriti dan dengan itu PAP dapat meraih kelebihan untuk memimpin, katanya.

"Kami berkhidmat untuk kebaikan Singapura, dan bukan untuk diri sendiri. Kami akan sentiasa memperjuangkan dan menegakkan tahap kewibawaan dan kepercayaan yang tinggi yang menjadi tunggak kejayaan Singapura," katanya.

Sehubungan itu beliau menyarankan usulan di Parlimen mengenai tadbir urus Majlis Bandaran Aljunied-Hougang, katanya.

Usulan itu menggesa kedua-dua pemimpin Parti Pekerja, Low Thia Khiang dan Sylvia Lim supaya jangan melibatkan diri dalam urusan kewangan majlis bandaran setelah hakim Mahkamah Tinggi mendapati mereka bertanggungjawab dalam kes melibatkan penyalahgunaan dana majlis bandaran.

"Sebilangan penyokong merasakan kami tidak seharusnya membentangkan usulan itu kerana ia boleh disalah faham. Namun dalm kes ini, kami berasa yakin ia satu perkara yang salah jika kami berdiam diri," katanya.

Isu-isu sedemikian "sangat serius" dan ia mempersoalkan integriti dan kewibawaan para pegawai yang dipilih, katanya lagi.

"Sebagai parti yang memerintah, ia menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan sistem yang berwibawa di Singapura. Kami mesti, dan sudah mengambil pendirian jelas tentang perkara ini," tambah Encik Heng.

Di acara tersebut, di mana PAP dijangka akan menyampaikan anugerah kepada para aktivis, dengan mantan menteri Kabinet Ong Pang Boon dalam senarai penerima bagi penghormatan tertinggi - iaitu Pingat Khidmat Unggul - atas sumbangannya kepada Singapura dan PAP.

Encik Heng mengucap terima kasih kepada Encik Ong atas khidmatnya yang sungguh berdedikasi selama lebih 30 tahun. Encik Ong dan para anggota kanan lain turut membantu membina kehidupan yang lebih baik untuk seluruh rakyat Singapura, katanya.

Menurut Encik Heng: "Para pemimpin generasi saya dan aktivis PAP akan terus membina asas yang kukuh. Kami akan berusaha untuk membina kehidupan lebih baik bagi semua rakyat Singapura dan akan terus mengukuhkan hubungan rakyat negara ini." 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan