Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PAP hanya ada 2 tahun buat persiapan hadapi Pilihan Raya akan datang

Parti Tindakan Rakyat (PAP) hanya ada dua tahun lagi untuk membuat persiapan bagi Pilihan Raya (GE) akan datang, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (11 Nov). Kenyataan beliau itu mungkin sahaja satu petunjuk tentang bila GE selanjutnya akan berlangsung. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Nov 2018 04:33PM Dikemas Kini : 11 Nov 2018 09:11PM

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) hanya ada dua tahun lagi untuk membuat persiapan bagi Pilihan Raya (GE) akan datang, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (11 Nov).

Kenyataan beliau itu mungkin sahaja satu petunjuk tentang bila GE selanjutnya akan berlangsung.

Dalam ucapannya dalam bahasa Mandarin di majlis penyampaian anugerah dan persidangan parti tersebut, PM Lee berkata bahawa PAP berjaya meraih pencapaian luar biasa dalam pilihan raya yang lalu, namun ia tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian itu mahupun memandang ringan terhadap sokongan rakyat.

"Berbanding pilihan raya lalu, kali ini ia berbeza," katanya. "Ia satu ujian baru bagi PAP," kata Encik Lee.

Dalam sesi dialog pada Selasa (6 Nov) di Forum Ekonomi Baru Bloomberg, PM Lee memberi bayangan bahawa pilihan raya mungkin diadakan lebih awal daripada yang dijangkakan.

Beliau juga menekankan perkara itu dalam ucapannya dalam bahasa Inggeris. Encik Lee berkata sidang parti hari ini mungkin yang terakhir sebelum pilihan raya akan datang, yang harus diadakan selewat-lewatnya April 2021.

PM Lee, yang juga setiausaha agung PAP, berkata demikian sebelum pengumuman keputusan pemilihan bagi Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), badan pembuat keputusan tertinggi parti tersebut.

Beliau turut mengumumkan pengunduran lima anggota kanan CEC - Khaw Boon Wan, Teo Chee Hean, Tharman Shanmugaratnam, Yaacob Ibrahim dan Lim Swee Say.

Dalam pada itu, tiga pemimpin dari pasukan kepimpinan generasi keempat (4G) - Chan Chun Sing, Ong Ye Kung dan Heng Swee Keat - yang dikenal pasti sebagai calon pengganti PM Lee kelak, antara 12 anggota CEC yang dipilih kader PAP.

Dalam ucapannya, PM Lee menekankan tentang pentingnya mengekalkan politik yang baik di Singapura, sambil menarik perhatian terhadap empat perkara yang perlu dilakukan PAP.

Pertama, katanya, perlu ada kepimpinan yang berupaya dan baik, bagi kedua-dua parti dan Singapura.

"Untuk memahami keprihatinan rakyat, memberi mereka harapan untuk masa depan, dan menyatukan orang ramai dalam mencapai tujuan yang sama, PAP perlu ada pemimpin yang baik," katanya. "Dan rakyat Singapura perlu yakin bahawa parti ini mempunyai individu-individu yang mampu memajukan negara ini."

"Mereka harus tahu bahawa PAP terdiri daripada anggota lelaki dan wanita yang tidak menyertai PAP untuk diri mereka sendiri, melainkan untuk berkhidmat kepada Singapura," tambah beliau. "Ini termasuk setiap anggota parti, aktivis cawangan sehingga ke para anggota CEC, Setiausaha Agung dan Pengerusi parti."

PAP PERLU SATUKAN RAKYAT MESKI LAIN PENDAPAT

PM Lee selanjutnya berkata PAP mahu menjadi "khemah besar" di mana para anggota harus mencari satu titik persamaan untuk berunding dan mengekalkan ruang bagi pelbagai pandangan untuk disuarakan secara konstruktif, dan dalam cara yang tidak menghakis kepercayaan rakyat serta perpaduan sosial.

Beliau akur bahawa meskipun para penyokong PAP perlu menerima nilai-nilai teras parti, para anggota PAP boleh dan menerima pelbagai pandangan "dalam spektrum luas".

"Ada yang konservatif, ada yang liberal, sebilangannya ingin mengekalkan peperiksaan PSLE, ada juga yang ingin memansuhkannya, ada yang mahu mengekalkan Seksyen 377A dan ada sebaliknya," kata beliau lagi.

"Tidak kira adanya pelbagai perbezaan pendapat, semuanya boleh terus menjadi anggota setia PAP."

Maka itu, PM Lee berkata, penting bagi PAP untuk menyatukan kumpulan-kumpulan dan pandangan yang berbeza ini.

"Hanya dengan cara itu, rakyat Singapura boleh mewujudkan kebahagian, kemakmuran dan kemajuan bagi negara kami," katanya.

DASAR BAIK PERLU ADA SENTUHAN KEMANUSIAAN

PM Lee juga akur bahawa PAP perlu memahami keprihatinan rakyat Singapura, dan menunjukkan kepada mereka bahawa PAP sedang melakukan sedaya mungkin untuk membantu mereka.

"Jika kita memahami kebimbangan mereka dengan baik, kita dapat mengambil tindakan, bekerjasama dengan mereka untuk menghuraikan masalah masing-masing, lalu memberi mereka keyakinan bahawa bersama, kita boleh membuat semuanya lebih baik," kata beliau.

Beliau menambah, banyak dasar Pemerintah, seperti menambah bekalan flat-flat HDB dan meningkatkan mutu dan akses kepada pendidikan prasekolah, disasarkan untuk menangani masalah-masalah yang dihadapi masyarakat umum.

Bagaimanapun, beliau berkata, selain dasar-dasar ini, perlu untuk "menghubungkan titik-titik" dan "melakarkan gambar lengkap bagi rakyat Singapura", supaya mereka mendapat mesej yang lebih utama: bahawa Pemerintah memahami keprihatinan mereka.

Lantaran itu, tambah beliau, dasar-dasar baik harus dilengkapi dengan sentuhan kemanusiaan di mana organisasi, rangkaian dan aktivis parti memainkan peranan.

PM Lee turut menyentuh tentang perlunya membuat perancangan awal bagi jangka panjang supaya rakyat Singapura boleh melihat masa depan mereka yang lebih cerah.

"Bukan sahaja negara perlu maju, tetapi orang ramai perlu percaya bahawa mereka mempunyai peluang untuk meningkatkan taraf kehidupan, terutama sekali bagi anak-anak mereka," katanya, sambil menambah bahawa itulah sebabnya Pemerintah "memberi begitu banyak penekanan" terhadap pendidikan dan pembelajaran, untuk membawa setiap pelajar ke titik permulaan yang baik.

Namun, selain pendidikan dan meritokrasi, PM Lee berkata, adalah juga penting untuk mengekalkan semangat egalitarian dalam masyarakat iaitu prinsip bahawa semua orang adalah sama dan layak hak dan peluang yang sama.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan