Images
  • baey yam keng mp
    (Gambar: Facebook/Baey Yam Keng)

PAP gantung sesi temu penduduk ekoran kenaikan kes masyarakat COVID-19 tanpa kaitan

SINGAPURA: Menyusuli kenaikan dalam jumlah kes COVID-19 tanpa kaitan dalam masyarakat, Parti Tindakan Rakyat (PAP) menasihati cabang-cabangnya supaya mengadakan sesi bertemu penduduk (MPS) secara maya atau melalui panggilan telefon.

"Ini bagi mengurangkan pendedahan penduduk dan relawan," menurut parti itu dalam satu kenyataan media pada Ahad (2 Mei).

PAP menambah: "Kesihatan dan keselamatan para penduduk dan relawan kita adalah paling utama. Langkah-langkah itu, walaupun menimbulkan kesulitan, adalah jaminan baginya."

Beberapa Anggota Parlimen (AP) menulis catatan di Facebook untuk memaklumkan kepada para penduduk bahawa mereka akan menyesuaikan format MPS mereka.

AP Indranee Rajah berkata pasukannya di Tanjong Pagar akan menggantung buat sementara waktu sesi MPS secara bertemu muka dan menggalakkan para penduduk untuk menghantar rayuan MPS menerusi kiriman e-mel, menyerahkannya di tempat-tempat terpilih atau menghubungi relawan untuk menjadualkan temu janji Zoom.

Dalam catatan di Facebook masing-masing, AP Jessica Tan dari East Coast dan AP Wan Rizal dari Jalan Besar juga mengeluarkan penasihat serupa dan menawarkan alternatif.

Bagaimanapun, AP Marine Parade Seah Kian Peng berkata beliau akan menggantung lawatan ke rumah penduduk Braddell Heights namun akan meneruskan dengan sesi MPS pada Isnin di bawah langkah pengurusan selamat lebih ketat.

Cabang Toa Payoh East akan menggantung MPS secara bertemu muka untuk dua minggu pada 4 Mei dan 11 Mei, menurut AP Bishan Toa-Payoh Saktiandi Supaat.

AP Baey Yam Keng pula menggesa para penduduk Tampines North untuk sebaliknya menulis e-mel atau membuat panggilan telefon.

Singapura melaporkan 14 kes jangkitan masyarakat dalam kalangan 39 kes baru pada Ahad (2 Mei), dengan 11 terkait kelompok Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

Singapura menyaksikan kenaikan dalam jumlah kes baru dalam masyarakat sepanjang minggu lalu, dari 10 pada minggu sebelumnya kepada 51 pada minggu lalu, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ahad.

Kes-kes tanpa hubung kait dalam masyarakat juga meningkat dari tiga pada minggu sebelumnya kepada 11 pada minggu lalu, tambahnya.

- CNA/HA/ha

Top