Images
  • cbd cycling
    Kawasan Pusat Bandar Singapura. (Gambar fail: AFP)

Panel penasihat gariskan visi Pelan Induk Pengangkutan Darat 2040

SINGAPURA: Bayangkan, dalam tempoh 45 minit sahaja, semua penduduk di Singapura dapat sampai ke tempat kerja. Perjalanan ke kemudahan di kawasan kejiranan pula cuma mengambil masa 20 minit.

Demikian antara matlamat yang disarankan bagi Pelan Induk Pengangkutan Darat 2040, yang dikongsi beberapa anggota panel penasihat dalam satu sesi perbincangan hari ini (12 Jan).

Pada Ogos 2018, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mempelawa orang ramai untuk memberikan maklum balas bagi melakarkan pelan tersebut.

LTA mengumpul maklum balas mengenai tiga bidang utama: Bagaimana untuk menggalak penumpang menggunakan pengangkutan awam untuk melakukan perjalanan mereka; cara mewujudkan sistem pengangkutan lebih inklusif, dan cara meningkatkan mutu hidup para penduduk menerusi pengangkutan awam.

Dalam pelan tersebut, pemerintah berharap dapat merealisasikan visi Walk Cycle Ride SG yang menjadikan berjalan kaki, berbasikal dan menaiki pengangkutan awam sebagai sebahagian kehidupan rakyat Singapura.

Anggota panel penasihat Encik Melvin Yong, hari ini (12 Jan), membentangkan visi bagi para penduduk mendapat akses kepada pelbagai pilihan untuk ke destinasi mereka dengan mudah dan pantas.

PASTIKAN PERJALANAN PENUMPANG LANCAR

Encik Yong menyarankan supaya lebih banyak lorong diperuntukkan khas bagi bas dan para penunggang basikal untuk memberikan keutamaan kepada mereka.

Beliau menambah, LTA boleh memanfaatkan teknologi dan memperkenalkan satu platform membuat tempahan dan bayaran tunggal bagi khidmat pelbagai jenis pengangkutan yang boleh diakses semua penduduk.

Satu lagi strategi yang dikongsi Encik Yong adalah "membawa" tempat kerja dan riadah lebih dekat ke tempat tinggal penduduk dengan membuat perubahan pada perancangan bandar dan penggunaan tanah.

Beliau percaya, visi pelan tersebut juga mampu mewujudkan lebih banyak pekerjaan bagi sektor pengangkutan pada masa depan.

SISTEM PENGANGKUTAN INKLUSIF, SIHAT

Dalam pada itu, Encik Richard Magnus, yang juga pengerusi Majlis Pengangkutan Awam, berkongsi harapannya bagi wujudnya budaya penumpang yang lebih bertolak ansur dan saling menjaga satu sama lain.

Encik Richard berkata, lebih banyak "prasarana inklusif" boleh dibina bagi membantu para penumpang seperti golongan warga emas, mereka yang tidak memahami Bahasa Inggeris, mereka yang kurang daya penglihatan dan pendengaran serta yang berkerusi roda untuk berdikari dalam melakukan perjalanan.

Profesor Madya Faishal Ibrahim, yang juga Pengerusi Panel Penasihat Mobiliti Aktif, turut berkongsi beberapa strategi untuk merangsang permintaan bagi pengangkutan awam, cara memastikan jalan raya lebih selamat dengan kadar kemalangan lebih rendah; serta sekitaran bersih dengan lebih banyak kenderaan mesra alam.

Lebih 7,000 orang awam dan pemain industri sudah berkongsi pandangan mereka tentang bentuk sistem pengangkutan darat pada masa depan, menurut LTA.

Panel Penasihat Pelan Induk Pengangkutan Darat 2040 akan membentangkan saranan-saranannya kepada Pemerintah pada pertengahan Februari.  

- CNA/AQ/aq

Top