Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Panel baru ditubuh demi bantu pemohon bantuan guaman yang gagal ujian kemampuan

Dalam usaha untuk memudahkan lagi akses kepada khidmat guaman asas, sebuah panel baru ditubuhkan untuk membantu mereka yang gagal ujian kemampuan (means testing) setelah memohon untuk mendapatkan bantuan guaman, namun mengalami kesulitan kewangan akibat faktor seperti kehilangan pekerjaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 Oct 2019 09:22PM Dikemas Kini : 10 Oct 2019 10:38PM

SINGAPURA: Dalam usaha untuk memudahkan lagi akses kepada khidmat guaman asas, sebuah panel baru ditubuhkan untuk membantu mereka yang gagal ujian kemampuan (means testing) setelah memohon untuk mendapatkan bantuan guaman, namun mengalami kesulitan kewangan akibat faktor seperti kehilangan pekerjaan, menurut Kementerian Undang-Undang (MinLaw) pada Khamis (10 Okt).

Mulai 16 Oktober juga, para pemohon bantuan guaman sivil tidak perlu mengemukakan banyak dokumen untuk mendapatkan khidmat bantuan.

KRITERIA BARU BAGI PENDEKKAN PROSES PERMOHONAN

Rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) yang mengalami kesulitan kewangan boleh memohon bagi pelbagai khidmat yang disediakan oleh Biro Bantuan Guaman (LAB), termasuk perwakilan di mahkamah, nasihat lisan mengenai perkara sivil dan membuat draf wasiat serta dokumen pemisahan.

Untuk melayakkan diri, para pemohon mestilah:

  • Menunjukkan bahawa mereka tidak mampu mendapatkan khidmat peguam, juga dikenali sebagai ujian kemampuan
  • Menunjukkan bahawa mereka mempunyai alasan baik agar kes itu dibela mengikut undang-undang, juga dikenali sebagai ujian merit

Bagi memendekkan proses permohonan bagi bantuan guaman, para pemohon tidak perlu lagi menyerahkan bukti bagi kategori-kategori pendapatan, aset dan perbelanjaan tertentu.

Kriteria ujian kemampuan juga sudah disemak untuk menyesuaikannya dengan kriteria yang biasanya digunakan bagi skim-skim sokongan.

Ini termasuk:

  • Secara purata, pendapatan per kapita bulanan si pemohon mesti kurang dari S$950 bagi tempoh 12 bulan sebelum mereka membuat permohonan tersebut
  • Nilai tahunan kediaman pemohon mesti bernilai kurang S$13,000
  • Wang simpanan dan pelaburan bukan CPF mesti bernilai kurang S$10,000

Menurut MinLaw, perubahan pada kriteria itu tidak meninggalkan sebarang kesan terhadap jumlah keluarga yang boleh melayakkan diri bagi bantuan guaman.

PANEL BAGI PEMOHON YANG TIDAK MEMENUHI KRITERIA KEMAMPUAN

MinLaw sudah menubuhkan sebuah panel bebas yang baru untuk membantu para pemohon yang tidak memenuhi kriteria ujian kemampuan dan tidak mampu untuk mendapatkan khidmat guaman.

Panel itu akan menyemak setiap permohonan atas dasar kes demi kes.

Panel itu juga mempunyai kuasa untuk melayakkan para pemohon yang layak untuk mendapatkan bantuan guaman jika mereka tidak mampu membayar yuran guaman "tanpa menyebabkan kesusahan ketara terhadap diri mereka mahupun keluarga mereka".

Buat masa ini, selagi para pemohon lulus ujian merit, bantuan guaman masih boleh diluluskan oleh pengarah bantuan guaman kepada mereka yang gagal ujian kemampuan. Ini sekiranya mereka memenuhi salah satu empat faktor tertentu yang ditetapkan di bawah Akta Bantuan dan Nasihat Guaman.

Pengarah bantuan guaman bagaimanapun tidak boleh memberikan bantuan guaman kepada para pemohon yang gagal ujian kemampuan dan tidak memenuhi mana-mana faktor. Misalnya, mereka yang tidak mampu mendapatkan khidmat guaman akibat kos prosedur perubatan serius disebabkan oleh penyakit-penyakit serius.

MinLaw menyatakan, panel bebas baru itu akan membantu dalam situasi sebegitu.

"Perubahan itu akan menyediakan lebih banyak kelonggaran agar LAB dapat menghulurkan bantuan kepada para pemohon yang wajar menerimanya," menurut kementerian itu lagi. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan