Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Panduan bantu syarikat sesuaikan pekerja berkeperluan khas

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan SG Enable akan menerbitkan satu panduan yang akan membantu syarikat-syarikat menyesuaikan para pekerja berkeperluan khas di tempat kerja, kata Menteri Negara Tenaga Manusia Zaqy Mohamad semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekelan kementeriannya hari ini (5 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Panduan bantu syarikat sesuaikan pekerja berkeperluan khas

(Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 05 Mar 2019 09:36PM Dikemas Kini : 05 Mar 2019 09:38PM

SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan SG Enable akan menerbitkan satu panduan yang akan membantu syarikat-syarikat menyesuaikan para pekerja berkeperluan khas di tempat kerja, kata Menteri Negara Tenaga Manusia Zaqy Mohamad semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekelan kementeriannya hari ini (5 Mac).

Panduan Mereka Semula Kerja yang akan dikeluarkan menjelang Jun ini mengandungi maklumat tentang pengubahsuaian tempat kerja yang biasa, perubahan aturan bekerja dan penggunaan alat-alat bantuan teknologi.

MOM dan Tenaga Kerja Singapura (Workforce Singapore) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan SG Enable untuk mempergiat usaha membina keupayaan syarikat-syarikat dalam menggajikan dan menguruskan para pekerja berkeperluan khas di bawah Pelan Induk Pengupayaan Ketiga, tambahnya.

Pemerintah juga akan terus mengkaji kejayaan model-model luar negara untuk membangunkan satu rangka kerja yang kukuh di Singapura. Encik Zaqy menambah, agensi-agensi juga perlu bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif.

"Meskipun ada skim-skim yang dibiayai Pemerintah sekarang bagi menyokong pengambilan pekerja kurang upaya, tahap kesedaran mengenainya mungkin tidak tinggi," katanya sambil menggesa para anggota Dewan agar menyebarkan maklumat tentang inisiatif-inisiatif ini.

Beliau berkata, lebih 1,600 orang berkeperluan khas ditempatkan dalam program-program Program Pintu Terbuka (ODP) di bawah Inisiatif Suai-Maju Tenaga Kerja Singapura sepanjang tiga tahun lalu,

Ditadbir SG Enable, ODP memberi para majikan akses kepada khidmat pengambilan pekerja dan sokongan pekerjaan bagi orang-orang berkeperluan khas. Geran-geran bagi mereka semula pekerjaan dan latihan turut disediakan bagi menyokong penyepaduan itu dengan lebih baik.

Encik Zaqy memberikan contoh Sassaz, sebuah syarikat tenaga dan komoditi global, yang memanfaatkan Geran Reka Semula Pekerjaan untuk pengubahsuaian tempat kerja bagi seorang pekerjanya yang mengalami kecederaan tulang belakang akibat kemalangan motosikal. Geran tersebut membiayai 90 peratus kos mereka semula pekerjaan hingga S$20,000 bagi setiap pekerja berkeperluan khas.

Pemisah ruang pejabat dikeluarkan bagi memudahkan pekerja itu bergerak dengan menggunakan tongkatnya. Kunci manual pintu pejabat juga digantikan dengan kunci digital kerana pekerja berkenaan sukar membongkok.

Encik Zaqy menggalak lebih banyak syarikat melakukan yang sama.

"Kami menginginkan masyarakat yang lebih inklusif iaitu orang-orang berkeperluan khas diberikan peluang untuk memberi sumbangan bermakna sebagai sebahagian daripada tenaga kerja," tambah Encik Zaqy.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan