Images
  • shan fire busing
    Encik K Shanmugam (tengah) di Pulau Busing. 

Panahan petir punca kebakaran tangki minyak Pulau Busing

SINGAPURA: Siasatan awal menunjukkan panahan petir punca kebakaran tangki penyimpan minyak di Pulau Busing pada bulan Mac lalu. Para anggota bomba mengambil masa selama enam jam untuk memadamkan kebakaran.

Ini didedahkan Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam hari ini (9 Jul), dalam jawapan bertulisnya kepada Anggota Parlimen Fatimah Lateef.

Bumbung tangki itu didapati disambar petir. Siasatan masih dijalankan.

Encik Shanmugam juga menekankan Kod Kebakaran memerlukan tangki-tangki penyimpan minyak memasang sistem perlindungan petir, dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sedang menyiasat mengapa sistem tersebut gagal berfungsi semasa berlaku kejadian.

Keseluruhannya, 128 anggota SCDF, anggota-anggota Pasukan Respons Kecemasan Syarikat (CERT) dan 48 kenderaan keselamatan dikerahkan dalam operasi memadam kebakaran di Pulau Busing.

Menurut Encik Shanmugam, CERT merupakan kumpulan pertama yang bertindak dan membantu mencegah kebakaran daripada merebak sebelum SCDF tiba di tempat kejadian.

Beliau menambah, semasa kebakaran, syarikat-syarikat lain di pulau-pulau berdekatan juga menghulurkan bantuan untuk memadamkan kebakaran.

Menurut Encik Shanmugam lagi, monitor-monitor besar yang mengeluarkan 23,000 liter busa setiap minit, serta peralatan kebakaran lain untuk menyejukkan tangki-tangki minyak juga digunakan. 

- CNA/AQ/aq

Top