Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pampasan S$10 juta akan dibayar kepada 3,000 pegawai, bekas kakitangan Perkhidmatan Awam disebabkan kesilapan rekod HR

Kira-kira 3,000 bekas pegawai perkhidmatan awam dan juga pegawai yang masih bertugas akan diberi pampasan sekitar S$10 juta setelah kesilapan-kesilapan dikesan pada rekod Sumber Manusia (HR) Perkhidmatan Awam, menurut Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) pada Rabu (18 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Pampasan S$10 juta akan dibayar kepada 3,000 pegawai, bekas kakitangan Perkhidmatan Awam disebabkan kesilapan rekod HR

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 18 Nov 2020 07:59PM Dikemas Kini : 18 Nov 2020 08:22PM

SINGAPURA: Kira-kira 3,000 bekas pegawai perkhidmatan awam dan juga pegawai yang masih bertugas akan diberi pampasan sekitar S$10 juta setelah kesilapan-kesilapan dikesan pada rekod Sumber Manusia (HR) Perkhidmatan Awam, menurut Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) pada Rabu (18 Nov).

"Kesilapan itu timbul terutamanya kerana kesilapan manusia semasa memasukkan data dan pengekodan sistem IT Sumber Manusia (HR) dan senarai gaji," menurut PSD. "Sistem-sistem IT juga mempunyai keupayaan mengesan kesilapan yang tidak mencukupi."

Sebahagian besar kesilapan - yang dikesan semasa menaik taraf sistem - adalah berkaitan ketidaktepatan pada rekod tempoh Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa bagi para penjawat awam lelaki.

"Sejak 2002, Perkhidmatan Awam mengiktiraf tempoh di mana para anggota NS sepenuh masa (NSF) layak, sebagai sebahagian daripada tempoh Perkhidmatan Negara yang diiktiraf bagi tujuan menentukan gaji permulaan dan faedah khidmat mereka," menurut PSD, sambil merujuk kepada pengurangan tanggungjawab NS yang diberikan kepada para NSF yang memenuhi keperluan kecergasan fizikal.

"Bagaimanapun, kami mendapati bahawa tempoh tersebut tidak dimasukkan ke dalam rekod HR sesetengah pegawai lelaki. Ini seterusnya menjejas cuti dan faedah lain."

Kesilapan selebihnya menjejas penjawat awam yang sudah bersara serta penjawat awam yang mengambil cuti kecederaan.

"Kesilapan-kesilapan lain termasuk ketidaktepatan dalam algoritma IT yang digunakan untuk menghitung gaji cuti sakit bagi para pegawai perkhidmatan awam yang mengambil cuti kecederaan serta kesilapan pada program sistem HR untuk mengira pembayaran yang dibuat oleh sesetengah pesara apabila mereka bersara daripada Perkhidmatan Awam untuk mendapat elaun tahunan," menurut PSD.

Selepas mengesan kesilapan-kesilapan itu, PSD mengesan dan mengesahkan punca yang menyebabkan kesilapan dan bekerjasama dengan agensi-agensi Perkhidmatan Awam untuk memeriksa 102,000 rekod sejak tahun 1990-an untuk mengira semula.

"Melalui proses yang menyeluruh ini, yang mengambil masa lebih daripada dua tahun, sekitar 3,000 bekas pegawai perkhidmatan awam dan pegawai yang masih bertugas sekarang didapati kurang mendapat pampasan akibat kesilapan-kesilapan tersebut," menurut PSD sambil menambah bahawa perangkaan itu membentuk sekitar dua peratus daripada pegawai perkhidmatan awam yang bertugas sepanjang 20 tahun lalu.

"Perkhidmatan Awam akan memberikan pampasan yang sewajarnya kepada para pegawai yang terjejas. Jumlah pampasan secara keseluruhannya adalah sekitar S$10 juta."

Meskipun PSD akur terdapat individu-individu yang menerima pampasan berlebihan, ia menyatakan bahawa
lebihan bayaran yang disebabkan oleh "kesilapan yang dilakukan suatu ketika dahulu" tidak akan diperolehi semula.

Perkhidmatan Awam akan memaklumkan para individu yang terjejas mulai bulan ini sehingga Mac 2021, dengan bayaran pampasan akan disahkan dan dibayar mulai sekarang sehingga pertengahan tahun depan.

Para pegawai perkhidmatan awam yang masih bertugas pula akan dimaklumkan oleh jabatan sumber manusia masing-masing, manakala mereka yang tidak lagi bertugas dalam Perkhidmatan Awam akan dimaklumkan melalui kiriman surat berdaftar yang akan dihantar melalui pos ke alamat terakhir yang diketahui, di samping melalui panggilan telefon dan kunjungan ke rumah.

"Sedang kami secara proaktif menghubungi kesemua individu yang terjejas, kami juga ingin memberi jaminan kepada para pegawai yang masih berkhidmat dan sudah tidak lagi berkhidmat bahawa mereka tidak perlu terburu-buru untuk menghubungi kami," menurut PSD. "Jika mereka masih belum dihubungi sebelum Mac 2021, mereka tidak terjejas oleh kesilapan itu."

Encik Loh Khum Yean, Setiausaha Tetap PSD memohon maaf atas kesilapan itu bagi pihak Perkhidmatan Awam.

"Perkhidmatan Awam sangat menyesal atas kesilapan-kesilapan itu dan memohon maaf atas kesilapan-kesilapan tersebut dan sebarang kesulitan yang dialami disebabkan oleh kesilapan-kesilapan itu. Kami akan berusaha sedaya upaya untuk menghubungi setiap individu yang terjejas untuk memohon maaf atas kesilapan itu, menjelaskan situasi berkenaan serta memperbaiki kesilapan itu," katanya lagi.

"Kami sudahpun memperbetulkan pengaturcaraan sistem dan meningkatkan keupayaan untuk mengesan kesilapan bagi memastikan kesilapan sedemikian tidak akan berulang."

Mediacorp sudah menghubungi PSD bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan