Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pameran sempena dwiabad S'pura bertema bangsa susuri Alam Melayu seawal tahun 1400-an

Mendalami sejarah pembentukan Singapura menerusi bahan-bahan milik orang Nusantara Melayu dan Barat. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mendalami sejarah pembentukan Singapura menerusi bahan-bahan milik orang Nusantara Melayu dan Barat.

Dianjurkan buat julung-julung kalinya di Taman Warisan Melayu, sebuah pameran 'Seekor Singa, Seorang Putera, dan Sebingkai Cermin' diadakan bersempena dengan Pesta Budaya Melayu 2019.

Pameran menyeluruh yang membawa tema 'Bangsa' itu turut dianjurkan bersempena dengan acara memperingati 200 tahun Singapura pada tahun ini.

Sejurus anda menjejakkan kaki ke pameran tersebut, anda seperti dibawa merentasi Alam Melayu seawal tahun 1400 lagi.

Menerusi bahan dan sumber yang dikumpul oleh orang-orang Melayu Nusantara serta Barat, ia memberikan perspektif tambahan dan padat tentang sejarah tertubuhnya sebuah ‘bangsa’.

Menerusi budaya benda itu, pengunjung dapat memahami betapa rumitnya sejarah Singapura, meliputi pelbagai konteks dan lapisan berbeza. 

"Kami berharap pengunjung dapat menghayati budaya benda dan juga bahan manuskrip dari sumber-sumber di Kepulauan Melayu serta juga bahan-bahan dari tempoh penjajah - bagaimana mereka dapat dibandingkan supaya kita dapat mendalami sejarah Singapura dari berbagai-bagai sudut pandangan," Suhaili Osman, Kurator Taman Warisan Melayu. 

"Apa kita ingin lakukan dengan bahan pameran adalah untuk memantulkan bahan penjajah atau daripada sumber-sumber Eropah. Juga, bagaimana hubungan itu dengan sumber-sumber seperti manuskrip hikayat, sejarah melayu, serta budaya benda - dari segi budaya seperti wayang kulit dan tenunan - dapat mencerminkan pemahaman pendekatan masyarakat-masyarakat Melayu tentang persekitaran mereka," ulasnya lanjut.

CERITA TENTANG PENEMUAN TEMASEK DIKONGSI DALAM MANUSKRIP

Manuskrip tulisan tangan Sulatatus Salatin misalnya menceritakan penemuan Temasek oleh seorang putera Sri Vijaya asal Palembang dikenali sebagai Sang Nila Utama atau Sri Tribuana pada abad ke-14. 

Meskipun ada beberapa pihak yang menganggapnya sebagai sebuah teks legenda, namun naskhah tersebut memainkan peranan penting terhadap pembangunan Singapura. 

'Bapa pemodenan negara', Stamford Raffles 'mengkaji' teks berkenaan malah berusaha bersungguh-sungguh untuk menterjemahkan kandungannya daripada aksara Jawi kepada bahasa Inggeris pada abad ke-19. 

Turut ditampilkan ialah mohor milik Tengku Hussein Shah yang dipinjamkan daripada keluarga generasi keenam beliau. 

Sebuah cap mohor dijumpai di sepucuk surat yang dihantar kepada William Farquhar pada 1812, jauh sebelum pemeteraian ‘Perjanjian 1819’ - antara Sultan Hussein dan Stamford Raffles. 

SEGMEN INTERAKTIF

Meliputi dua galeri, pameran yang memaparkan 120 artifak turut juga menampilkan segmen berbilang media interaktif yang menceritakan tentang Hang Nadim. 

Sekumpulan pelajar Politeknik Nanyang mengambil masa enam bulan untuk menghasilkannya. 

"Sempena tahun dwiabad Singapura, kami mengadakan dua pemeran di Taman Warisan Melayu, salah satunya ialah peta berinteraktif dan cerita hang nadim," ujar Adawiyah Arif, seorang pelajar di Politeknik Nanyang.

"Seperti ramai yang sudah tahu tentang cerita Hang Nadim, kami telah membuatnya lebih menarik dan kami juga memberikan nafas yang baru dan moden kepadanya," kongsi beliau. 

Pameran ini dibuka secara percuma dari 12 hari bulan ini hingga 21 Jun depan. 

Seiring dengan pameran itu, Taman Warisan Melayu turut akan melancarkan acara tahunan mereka, Pesta Budaya Melayu 2019. Pada tahun ini, acara tersebut akan berlangsung selama tiga minggu, meilputi program dan persembahan yang mempamerkan warisan budaya Singapura dan rantau ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan