Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pameran lihat sejarah Singapura menerusi iklan

Seringkali sesebuah pameran sejarah melihat kepada 'objek purba' yang merakam sesuatu yang tidak boleh dilupakan. Namun pameran "Menjual Impian: Pengiklanan Awal di Singapura" yang terletak di tingkat 10 Perpustakaan Negara membawakan pendekatan yang sedikit berbeza.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Seringkali sesebuah pameran sejarah melihat kepada 'objek purba' yang merakam sesuatu yang tidak boleh dilupakan.

Namun pameran "Menjual Impian: Pengiklanan Awal di Singapura" yang terletak di tingkat 10 Perpustakaan Negara membawakan pendekatan yang sedikit berbeza.

Mengambil iklan-iklan lama yang dipetik dari akhbar, majalah, serta penerbitan berkala, pameran tersebut menggunakan industri pengiklanan sebagai cerminan untuk pengunjung memahami kerencaman aspirasi masyarakat Singapura seawal tahun 1830-an lagi.

S’PURA TERBUKA DENGAN PELBAGAI PENGARUH

Secara makronya, iklan-iklan itu menggambarkan Singapura pada zaman pra-kemerdekaan sebagai sebuah kota pesat yang tidak terasing dengan arus pemodenan.

(Gambar: NLB)

Misalnya, menerusi sebuah iklan Raffles Hotel yang diterbitkan seawal 1906 oleh Singapura: Straits Times Press ia menunjukkan bagaimana bangunan tersebut merupakan yang pertama untuk menggunakan peralatan dan lampu elektrik.

Menariknya juga, Raffles Hotel merupakan hotel yang terbesar di negeri-negeri Selat pada zaman tersebut.

Kemajuan yang ada pada Raffles Hotel itu mengundang pengunjung terkemuka ke Singapura termasuk kerabat diraja, golongan aristokrat dan orang kenamaan.

Malah di bidang pelancongan juga, Singapura dikatakan salah satu destinasi penting untuk dikunjungi menerusi perkhidmatan kereta api.

Menerusi iklan “Perkhidmatan Kereta Api Negeri-negeri Melayu bersekutu, Perkhidmatan Kereta Api Negeri Siam” yang diterbitkan oleh The Annual of the East pada tahun 1923, kota Singapura merupakan antara persinggahan utama bagi pelancong sebelum membuat perjalanan ke Bangkok melalui Pulau Pinang dan Padang Besar.

(Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

(Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

Pembukaan perkhidmatan dalam sektor pengangkutan ini juga turut menyumbang kepada industri pelancongan di Singapura yang lebih pesat.

“Singapura telah pun mengimport pelbagai produk bukan sahaja dari kawasan negeri-negeri selat ataupun kawasan semenanjung Melayu tetapi mereka juga telah mengimport pelbagai kawasan antarabangsa juga, dan ini memberi kami indikasi tentang keterbukaan Singapura dan juga globalisasinya,” kongsi Pustakan bersekutu, Cik Nadirah Noroddin yang mengambil masa lebih enam bulan untuk mengkaji lebih daripada 50 bahan pengiklanan yang mempunyai kaitan dengan masyarakat Melayu.

IKLAN JADI REFLEKSI GAYA HIDUP MASYARAKAT MELAYU

Di sisi masyarakat Melayu pula, industri pengiklanan ini juga menawarkan naratif sejarah tentang evolusi serta trend gaya hidup masyarakat tersebut, contohnya dari aspek pemakanan, perubatan, isi rumah, dan hiburan.

Menariknya, masyarakat Melayu pada awal 1960-an boleh dikatakan amat kreatif. Contohnya daripada iklan-iklan batik yang diterbitkan oleh R. M. Yusoff Ahmad, pengunjung boleh mendapati ilustrasi reka bentuk sarong kebaya yang ‘lain daripada yang lain’ dengan menggabungkan sentuhan serantau dan elemen moden.

Cik Nadirah berkongsi bahawa kepelbagaian reka bentuk sarong kebaya itu sekali lagi membuktikan bagaimana masyarakat Melayu tidak terkebelakang malah mempunyai pembentukan identiti yang tidak terikat.

IMPAK GERAKAN WANITA

Namun, pernahkah anda tertanya mengapa golongan wanita Melayu lebih menonjol dalam industri pengiklanan seawal 1950-an?

(Gambar: NLB)

(Gambar-gambar: NLB)

Menurut Cik Nadirah, faktor-faktor seperti ledakan media cetak, kuasa beli yang lebih tinggi serta pengaruh pergerakan wanita yang lebih berleluasa merupakan antara penyumbang kepada fenomena tersebut.

“Melalui iklan-iklan ini juga kita lihat mereka ditampilkan sama masa dengan juga serentak dengan kewujudan persatuan wanita dan juga pergerakan wanita yang tercetus pada waktu itu,” tambahnya lagi.

Pameran Menjual Impian: Pengiklanan Awal di Singapura berlangsung sehingga 24 Februari ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan