Images
  • minda main
    Lukisan Cik Zaleha dari Club HEAL antara yang dipamerkan. (Gambar: Ummu Rabbisyfina)

Pameran "Landskap Minda Kita" tampil karya peserta sakit mental

SINGAPURA: Sempena bulan Kesihatan Mental Sedunia, orang ramai berpeluang memahami lebih mendalam tentang pengalaman golongan yang mengalami masalah mental menerusi pameran "Landskap Minda Kita".

Dianjurkan buat julung-julung kalinya oleh Club HEAL, pameran yang menampilkan lebih 50 lukisan peserta badan itu dirasmikan Anggota Parlimen GRC Jurong, Rahayu Mahzam.


(Gambar: Ummu Rabbisyfina)

SENI SEBAGAI ALAT TERAPI

Cik Zaleha Mohammad mengalami penyakit mental skizofrenia dan kemurungan sejak 12 tahun lalu.

Beliau kini mengikuti sesi kaunseling di Club HEAL lima kali seminggu, selain kelas melukis dan membuat tembikar.

Terapi seni sering digunakan dalam bidang psikologi dan kaunseling bagi menggalak pesakit meluahkan segala emosi dan perasaan terpendam dalam diri mereka.

Bagi Cik Zaleha, sesi-sesi itu bukan sahaja menenangkan fikirannya malah tanpa beliau sangka, mencungkil bakat terpendam dalam bidang lukisan.

Hasil karyanya itu menceritakan detik-detik beliau berasa keliru apabila berdepan dengan gangguan mental.

"Saya berasa gembira, saya berasa amat berpeluang untuk menunjukkan seni lukisan saya, walaupun tidak seberapa tapi saya rasa boleh memadai untuk tunjuk kreativiti saya.

Namun, lebih dari itu Cik Zaleha, seperti para peserta lain, juga mengharapkan sebuah masyarakat yang memahami terhadap penyakit yang dilami mereka.

Ini termasuk membuang stigma terhadap golongan tersebut.

"Saya rasa stigma itu perlu dibasmikan, jadi saya harus tidak harus mempunyai stigma menerusi percakapan, mereka berkata peserta-peserta kita pesakit mental itu gila atau dorang selalu pukul orang kan, tapi tak selalunya begitu, selalunya mereka tenang, mereka berjiwa tenang, mereka tidak suka bercakap dan sebagainya," tambahnya lagi.

(Gambar: Ummu Rabbisyfina)

AGAR MASYARAKAT MEMAHAMI KISAH DI SEBALIK PENDERITAAN

Cik Zaleha dan bakat-bakat lain Club Heal itu dibimbing selama lebih setahun oleh pensyarah seni di NAFA dan Kolej Seni Laselle, Nhawfal Juma't.

"Seni itu tidak ada yang salah dan yang betul jadi apa-apa yang mereka ciptakan itu adalah yang terbaik.

"Di pameran ini, anda dapat lihatkan orang-orang yang mempunyai sakit mental mempunyai kreativiti mereka, mereka juga mempunyai bakat untuk meluahkan perasaan mereka," kongsi Encik Nhawfal dengan pihak kami.

Sebagai kurator pameran itu, Encik Nhawfal berharap masyarakat dapat berfikiran terbuka apabila mengamati kisah dan cerita di sebalik setiap hasil seni itu.

Pameran di ARTICULTURE, Esplanade Mall itu dibuka esok hingga 10 Oktober dari pukul 1.00 petang hingga 9.00 malam.  

- BERITAmediacorp/UR/ai

Top