Images
  • wgs bicent
    Pameran Bergerak Dwiabad Singapura

Pameran bergerak Dwiabad S'pura dilancar di WGS; jadi sumber rujukan masyarakat

SINGAPURA: Membawa sejarah Singapura dengan lebih dekat lagi kepada penduduk estet-estet perumahan menerusi sebuah pameran bergerak sempena Dwiabad Singapura tahun ini.

Dilancarkan di Wisma Geylang Serai hari ini (14 Apr), Pameran Bergerak Dwiabad Singapura, pameran tersebut dijangka akan menarik lebih 6,000 penduduk di tenggara Singapura.

BAWAKAN KISAH MASYARAKAT TENGGARA S'PURA

Pameran berwarna-warni yang diadakan di Wisma Geylang Serai (WGS) bermatlamat sebagai wadah pembelajaran sejarah yang merakam kisah masyarakat serta peristiwa penting Singapura.

Menerusi pendekatan bertema serta detik-detik penting sepanjang 200 tahun Singapura, pameran itu turut memaparkan kisah pembangunan negara serta tokoh-tokoh ulung di sebalik cerita masyarakat Singapura sendiri.

Dilancarkan oleh Datuk Bandar CDC Tenggara, Dr Maliki Osman dan Anggota Parlimen GRC Marine Parade, Encik Tan Chuan-Jin, Pameran Dwiabad Singapura merupakan satu daripada lima lagi pameran seumpama itu yang akan dibawa ke estet-estet Singapura kelak.

Selaku yang pertama melancarkan pameran bergerak itu, CDC Tenggara turut mengkhususkan pamerannya kepada kisah masyarakat di daerah itu.

"Yang penting, ia menunjukkan bahawa Geylang Serai bukan saja sesuatu yang kita tahu di mana lebih ramai anggota masyarakat Melayu berada di sini, tapi kita juga akur bahawa Geylang Serai dan kawasan tenggara ini telah menunjukkan kepelbagaian perhubungan antara kaum di Singapura, misalannya di kawasan tenggara ini kita mempunyai paling banyak lagi institusi-institusi agama kita.

"Ini semua menunjukkan bahawa dalam kita mengimbas kembali sejarah menerusi Bicentennial, bukan saja dari perspektif negara, tapi dari perspektif masyarakat juga," kata Dr Maliki.

HUBUNGKAN DUA GENERASI

Lebih daripada setakat sebuah pameran, Dr Maliki juga menegaskan bahawa pendekatan sebegini turut menghubungkan dua generasi berbeza - golongan warga senja dan golongan muda menerusi sesi bercerita.

Mereka ini diundang untuk mengongsi pengalaman mereka semasa era pembangunan awal Singapura, contohnya seperti kisah kehidupan sewaktu zaman kampung dahulu.

"Jadi, pada hari ini kita membawa warga senja kita yang pernah mengalami masa-masa lalu, untuk menceritakan tentang Singapura tentang kaeadaan Singapura dan kampung mereka pada masa-masa lalu.

Dengan ini kami harap lebih ramai lagi anggota masyarakat yang lebih muda mengenali sejarah kita dan langsung mempunyai penghargaan terhadap sejarah dan apa yang kita hadapi pada hari ini," tambahnya lagi.

Bagi seorang penglipur lara pameran tersebut, Encik Shaiful Risan, beliau berharap masyarakat menjadi lebih peka dan mengambil tahu terhadap sejarah masyarakat Singapura.

"Saya harap masyarakat dapat mengambil tahu sedikit tentang sejarah domestik kami dan warisan kami serta kepentingan untuk menjadi seorang individu yang dikatakan autentik," kongsinya.

Pameran bergerak di Wisma Geylang Serai ini akan berlangsung sehingga 21 April.

Ia kemudian akan dibawa ke bahagian tengah Singapura dari 4 hingga 12 Mei ini. 

- BERITAmediacorp/tq

Top