Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pakej S$77 juta bantu pemandu teksi, kereta sewa privet terjejas oleh COVID-19

Pakej Sokongan bernilai S$77 juta untuk membantu para pemandu teksi dan kereta sewa privet yang terjejas oleh penularan virus korona COVID-19 diumumkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Khamis (13 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Feb 2020 06:52PM Dikemas Kini : 13 Feb 2020 11:59PM

SINGAPURA: Pakej Sokongan bernilai S$77 juta untuk membantu para pemandu teksi dan kereta sewa privet yang terjejas oleh penularan virus korona COVID-19 diumumkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Khamis (13 Feb).

Pemerintah akan menyumbang S$45 juta kepada pakej tersebut, dengan bakinya disumbangkan oleh syarikat-syarikat teksi dan para pengendali kereta sewa privet.

"Pemerintah akur terdapat keperluan yang mendesak untuk menghulurkan bantuan yang dikhususkan kepada para pemandu," menurut LTA dan MOT dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Pakej tersebut merangkumi beberapa komponen. Komponen terbesar adalah Dana Bantuan Khas bernilai S$73 juta yang akan membantu para pemandu teksi dan pemandu kereta sewa privet sepenuh masa yang aktif untuk membiayai kos perniagaan mereka. Dana ini meliputi S$41 juta dalam bentuk sumbangan Pemerintah dan lagi S$32 juta daripada para pengendali.

Sekitar 40,000 pemandu yang layak akan menerima sehingga S$20 bagi setiap kenderaan sehari bagi tempoh selama tiga bulan, yang akan disumbangkan sama banyak antara Pemerintah dan para pengendali.

"(Bagi S$20), kami merujuk kepada jenis bantuan yang dihulurkan semasa SARS (sindrom pernafasan akut yang teruk), yang disesuaikan mengikut perubahan inflasi dan kos sewa," kata Menteri Negara Kanan Pengangkutan, Dr Janil Puthucheary.

"Ini merupakan satu peningkatan sekitar 60 peratus berbanding bantuan yang dihulurkan Pemerintah untuk industri ini sewaktu SARS. Dan ia adalah peruntukan yang munasabah dan ia juga boleh dipadankan oleh para pengendali. Dan saya fikir ada beberapa pertimbangan bagi S$10 sehari dari Pemerintah S$10 sehari dari pihak pengendali. "

Penyewa teksi yang layak secara automatik akan menerima bantuan khas itu melalui syarikat pengendali teksi masing-masing bermula Jumaat, manakala pemandu kereta sewa privet perlu membuat permohonan melalui syarikat masing-masing.

Pengendali kereta sewa privet Grab dan Gojek akan memberikan butiran berhubung permohonan dan agihannya kepada para pemandu masing-masing dalam tempoh seminggu akan datang, tambah LTA dan MOT.

Syarikat-syarikat yang akan menyumbang kepada pakej tersebut adalah pengendali teksi Comfort, CityCab, SMRT Taxis, Trans-Cab, Premier Taxis,Prime dan HDT Taxi, serta Grab dan Gojek.

Para pemandu aktif yang tidak layak bagi Dana Bantuan Khas masih boleh memanfaatkan bantuan kewangan dengan memohon untuk Dana Sokongan Pemandu Pemerintah dan NTUC. Pemerintah akan menyumbang S$2.7 juta kepada dana itu, dengan NTUC mentadbirnya sepanjang tempoh tiga bulan akan datang.

LTA akan mengetepikan yuran lesen pengendali selama tiga bulan, bernilai kira-kira S$1.3 juta.

"Kami menghargai usaha syarikat pengendali untuk menyokong pemandu masing-masing dalam masa-masa sukar ini, meskipun perniagaan mereka turut terjejas," menurut LTA dan MOT.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan