Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pakej rombongan beli-belah Hari Raya ke Johor bantu jimat belanja, masa

Trend berbelanja Hari Raya di seberang tambak tetap menjadi pilihan sesetengah individu di sini, didorong oleh kadar pertukaran ringgit Malaysia yang lebih rendah.

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR: Trend berbelanja Hari Raya di seberang tambak tetap menjadi pilihan sesetengah individu di sini, didorong oleh kadar pertukaran ringgit Malaysia yang lebih rendah.

Meskipun ramai yang memandu sendiri, sebilangan pembeli pula lebih selesa mengikuti rombongan untuk berbelanja bagi menjimatkan masa.

BERITAmediacorp mengikuti salah satu rombongan tempatan ke Johor dan meninjau-ninjau daya tarikan di sana.

LEBIH BERPATUTAN & BANYAK PILIHAN

Dengan adanya lebih 200 pilihan kuih di ibu pejabat perusahaan kuih Ramun Delights di Kulai, maka tidak hairanlah jika rombongan rakyat Singapura rambang mata semasa berbelanja di sana.

Salah seorang peserta rombongan berusia 56 tahun, Encik Hassan berkongsi: "Di sini kuihnya lebih sedap dan harganya pun lebih berpatutan. Macam banyak pilihan kuihnya dan lazat-lazat rasanya. Selalunya kualitinya tak pernah turun."

Salah seorang peserta rombongan beli-belah Hari Raya ke Johor, anjuran Al Firdaus Travels.

Encik Hassan adalah antara sekitar 40 peserta rombongan yang berbelanja Hari Raya di sekitar Johor semalam anjuran Al Firdaus Travels.

DAPAT JIMAT 50 PERATUS

Bukan sahaja ke kawasan yang dekat dengan sempadan, malah rombongan ini turut melakukan perjalanan sehingga ke Simpang Renggam dan Ayer Hitam bagi mendapatkan kelengkapan Hari Raya.

Suasana di kedai karpet di Ayer Hitam.

Jadi, berapa yang dapat dijimatkan semasa berbelanja di seberang?

"50 peratus daripada harga di Singapura. Itu agak lumayan, penjimatannya kita boleh ketepikan untuk beri duit raya lebih atau untuk buat membeli barang-barang rumah," ujar peserta rombongan Encik Rudy Wongso, 34 tahun.

WARGA EMAS MUDAH BERBELANJA, JIMAT MASA

Malah, rombongan dari Singapura ini juga berpeluang berbelanja baju Hari Raya dan kelengkapan lain di gedung beli-belah dalam pakej sehari itu.

Yang pasti, pakej seumpama itu turut memudahkan pasangan warga emas seperti Cik Salmah Musawir dan suaminya mencuci mata dan berbelanja di pelbagai lokasi.

Cik Salmah Musawir dan suaminya mengikuti rombongan beli-belah ke Johor. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

"Dapat kuih, dapat perhiasan, dapat pakaian, apa yang saya nak, dapat. Pergi rombongan lebih bagus saya rasa, pasal dapat jimat masa, dalam satu hari kita dapat pergi empat atau lima tempat," kongsi Cik Salmah, 63 tahun.

Konsultan Pelancongan Al Firdaus Travels, Cik Zaleha Yusof menjelaskan: "Kalau naik kereta sendiri itu mungkin senang tetapi selalunya sesak. Jadi kalau kita naik bas ini mudahlah, turun dari satu tempat ke satu tempat tak payah fikir pengangkutan, jadi semua dalam satu, semua ada dalam satu hari."

(Gambar: Ihsan rombongan Al-Firdaus Travels)

Namun bukan sekadar membeli-belah. Selepas sehari suntuk berbelanja, pakej rombongan ini turut diakhiri dengan hidangan bufet untuk berbuka puasa dan solat tarawih di Hotel M Suites Johor Bahru. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan