Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pakej Generasi Merdeka dialu-alukan; subsidi khas CHAS paling bermanfaat

Pakej Generasi Merdeka (MGP), yang dianggarkan bernilai S$8 bilion keseluruhannya, merupakan pelan jangka panjang bagi menggalak warga emas setempat kekal aktif dan hidup sihat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pakej Generasi Merdeka (MGP), yang dianggarkan bernilai S$8 bilion keseluruhannya, merupakan pelan jangka panjang bagi menggalak warga emas setempat kekal aktif dan hidup sihat.

Bagaimanakah ia memberi manfaat kepada generasi tersebut?

Salah seorang daripada mereka, Encik Abdul Ghani Fathli akur bahawa faedah-faedah MGP sesuatu yang amat dialu-alukan golongan senja.

Namun buat mereka yang tidak menghidapi sebarang penyakit kronik seperti dirinya, ia dianggap satu bonus untuk menyiapkan payung sebelum hujan.

GEMBIRA USAHA 20 TAHUN DEKATI MASYARAKAT DIHARGAI

Seperti kebanyakan warga tua lain, Encik Abdul Ghani Fathli mahu sisa hayatnya diisi penuh makna.

Pada usia 61 tahun, Encik Abdul Ghani Fathli, seorang pemilik perniagaan yang bekerja sendiri, masih lagi giat menjadi sukarelawan di Kelab Masyarakat Woodgrove.

Selaku pengerusi MAEC di sana, beliau bukan sahaja terlibat dalam menganjurkan acara-acara kemasyarakatan malah juga turun padang sendiri untuk mendekati para penduduk melalui lawatan rumah ke rumah.

(Gambar ihsan: Siti Umairah Abdul Ghani)

(Gambar ihsan: Siti Umairah Abdul Ghani)

Diam tak diam, kini sudah 20 tahun beliau melakukan usaha murni itu dalam usaha memupuk sikap ihsan dan semangat satu hati dalam masyarakat.

Inilah antara banyak lagi sumbangan Generasi Merdeka kepada pembangunan negara yang sekali gus meneruskan perjuangan Generasi Perintis membina Singapura.

Kini, sekitar 500,000 rakyat Singapura daripada generasi tersebut, diiktiraf Pemerintah menerusi Pakej Generasi Merdeka (MGP) yang murah hati seperti diumumkan dalam Belanjawan 2019 semalam (18 Feb).

SEMUA ANGGOTA GENERASI PERINTIS RAIH MANFAAT SUBSIDI KHAS CHAS, PEMEGANG KAD BIRU NIKMATI SUBSIDI LEBIH TINGGI

Pakej tersebut memberi lima faedah utama:

  • subsidi tambahan sebanyak 5 hingga 10 peratus, bagi premium Medishield Hayat
  • tambahan insentif penyertaan Careshield Hayat sebanyak S$1,500
  • tokokan S$100 sekali sahaja dalam kad PAssion Warga Emas,yang boleh digunakan untuk membuat bayaran seperti pengangkutan awam dan pelbagai kegiatan di kelab-kelab masyarakat
  • tokokan Medisave S$200 setahun, selama lima tahun untuk kegunaan jagaan kesihatan sehingga 2023 dan
  • subsidi khas jagaan pesakit luar tambahan sepanjang hayat

"Jadi pertolongan diberi tertumpu kepada keprihatinan mereka dari segi kos perubatan, kos kesihatan dan juga mereka telah mengeluarkan hasrat mereka untuk terus aktif, untuk terus bersama masyarakat supaya mereka tidak dilupakan," jelas Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan, Amrin Amin.

Lebih menarik lagi, di bawah Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS), semua Generasi Merdeka akan menerima subsidi khas bagi rawatan penyakit biasa dan kronik serta prosedur pergigian - tanpa mengira pendapatan mereka, sekalipun mereka tiada kad CHAS sekarang.

Para pemegang kad biru CHAS akan menikmati kadar subsidi lebih tinggi iaitu sehingga S$18.50 setiap lawatan bagi penyakit-penyakit biasa seperti demam dan batuk.

Bagi penyakit-penyakit kronik pula - seperti kencing manis dan darah tinggi - yang berada di bawah Program Pengurusan Penyakit Kronik, para pemegang kad tersebut boleh menerima subsidi sehingga S$80 bagi setiap lawatan pada had S$320 setiap tahun.

"Saya rasa pakej subsidi bagi pesakit luar paling baik kerana dengan umur kita ini, saya rasa kita akan lebih kerap pergi ke klinik dan dengan bantuan yang diberikan, kita akan tidak secara langsung mengurangkan beban kewangan kita," luah Encik Abdul Ghani.

Tambah beliau lagi: "Setakat ini Alhamdulillah tidak ada penyakit kronik atau yang berlarutan tetapi dengan adanya kad (CHAS) ini, saya rasa saya boleh buat saya punya pemeriksaan kesihatan dengan lebih sering."

AMBIL PELUANG SEBARKAN BERITA BAIK MENERUSI PELIBATAN DENGAN MAEC

Memahami akan besarnya manfaat MGP, Encik Abdul Ghani kini mahu menyebarkannya pula kepada rakan-rakan sebaya beliau.

"Dengan adanya pakej habuan ini, mungkin pendekatan saya dengan masyarakat lagi senang.Saya dapat beritahu apa yang diberikan kepada pemerintah dan mungkin mereka akan lebih gembira," ujar Encik Abdul Ghani.

Semua warga emas yang layak akan dimaklumkan menjelang April ini dan menerima kad Generasi Merdeka mereka mulai Jun 2019.

LAPORAN BERKAITAN

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan