Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pakar penyakit berjangkit dari S'pura antara 100 wanita paling berpengaruh di dunia

Pakar penyakit berjangkit Singapura Profesor Leo Yee-Sin diiktiraf oleh BBC atas sumbangannya kepada perjuangan memerangi pandemik COVID-19 di peringkat global.

Anggaran Waktu Membaca:
Pakar penyakit berjangkit dari S'pura antara 100 wanita paling berpengaruh di dunia

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 25 Nov 2020 12:23PM Dikemas Kini : 25 Nov 2020 12:24PM

SINGAPURA: Pakar penyakit berjangkit Singapura Profesor Leo Yee-Sin diiktiraf oleh BBC atas sumbangannya kepada perjuangan memerangi pandemik COVID-19 di peringkat global.

Prof Leo, 61 tahun, pengarah eksekutif Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), adalah rakyat Singapura yang keempat yang dimasukkan ke dalam senarai tahunan BBC bagi 100 wanita paling berpengaruh.

BBC yang mengumumkan senarai bagi tahun ini pada Selasa (24 Nov), menyatakan bahawa senarai itu ditubuhkan pada 2013 dengan matlamat untuk meraikan wanita yang berinspirasi dan berpengaruh dari seluruh dunia - dari individu berprofil tinggi sehinggalah ke wira-wira yang tidak dikenali.

Tahun ini, Prof Leo menyertai barisan wanita unggul termasuk Perdana Menteri Finland Sanna Marin, pelakon Malaysia Michelle Yeoh, angkasawan Amerika Syarikat Kathy Sullivan dan aktivis pro-demokrasi Hong Kong Agnes Chow.

Prof Leo memberitahu Mediacorp bahawa meskipun beliau tidak mengharapkan pengiktirafan daripada BBC, beliau "berbangga dapat mewakili Singapura di persada antarabangsa".

Beliau juga bangga dan berbesar hati kerana usahanya diiktiraf.

Beliau turut memberi penghormatan kepada ramai individu dalam sektor jagaan kesihatan dan juga mereka yang bertugas di luar sektor tersebut kerana "berjuang dengan berani dan tanpa mementingkan diri semasa melawan COVID-19".

Kata Prof Leo: "Saya juga menyanjungi usaha wanita-wanita yang berjuang melawan virus ini di barisan hadapan yang
terus melakukannya dengan keberanian, kekuatan dan ketahanan mereka.

"Umat manusia akan terus menghadapi banyak cabaran yang ditimbulkan oleh virus," kata Prof Leo sambil menambah bahawa kerjanya dalam bidang itu akan diteruskan.

"Hakikatnya adalah mikroorganisma, seperti hidupan yang lain, bersaing untuk terus hidup dan dengan dunia semakin padat, ini bermakna manusia akan berdepan dengan lebih banyak mikroorganisma baru yang belum diketahui sejauh ini," demikian amaran Prof Leo.

Selain menerajui usaha Singapura melawan COVID-19, Prof Leo juga telah mengkaji selama beberapa dekad untuk memperbaiki jagaan virus imunodefisiensi manusia (HIV) di Singapura.

Beliau juga juga memimpin pasukannya menangani pelbagai wabak di Singapura, termasuk penularan virus Nipah pada 1999, sindrom pernafasan akut teruk (Sars) pada 2003, wabak influenza pada 2009 dan kemunculan penyakit bawaan nyamuk termasuk wabak Zika pada 2016.

Tahun lalu, beliau berjaya menangani kes import cacar monyet yang pertama di Singapura.

Prof Leo juga sudah memenangi beberapa anugerah sejak beberapa tahun kebelakangan ini atas sumbangannya kepada benteng pertahanan jagaan kesihatan Singapura, termasuk anugerah Bintang Bakti Masyarakat bagi mengiktiraf perjuangannya menentang Sars.

Baru-baru ini, beliau dianugerahi Pingat Pentadbiran Awam (Perak) sempena penyampaian Anugerah Hari Kebangsaan tahun ini pada Ogos lalu.

Dalam lamannya, BBC turut mendedahkan bahawa melalui senarai terkini yang bertemakan "Bagaimana Wanita Menerajui Perubahan Pada 2020", ia ingin menyerlahkan mereka yang memimpin perubahan dan membuat perbezaan semasa tempoh yang mencabar ini.

Ini termasuk meraikan para saintis, pakar kesihatan awam dan kakitangan jagaan kesihatan yang membantu seluruh dunia menangani kesan pandemik global. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan