Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pabila 'dinding kaca pecah' di penjara, banduan wanita berpelukan dengan anak-anaknya

Setelah bertahun-tahun lamanya terpisah, 12 banduan wanita di Kompleks Penjara Changi diberi peluang mendakap anak-anak mereka dalam satu pertemuan luar biasa hari ini (01 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setelah bertahun-tahun lamanya terpisah, 12 banduan wanita di Kompleks Penjara Changi diberi peluang mendakap anak-anak mereka dalam satu pertemuan luar biasa hari ini (01 Jun).

Semuanya diaturkan Jabatan Penjara menerusi Program Sokongan Kanak-kanak atau 'Kids in Play' (KIP) anjuran The Salvation Army yang bertujuan mencegah perpecahan keluarga akibat si ibu atau bapa menjalani hukuman penjara.

IBU 6 ANAK, 'AISYAH', SUDAH 2 TAHUN TIDAK PEGANG ANAK

Sudah dua tahun dia menanti peluang. Dia tidak dapat memegang atau menyentuh anaknya. Akhirnya, 'Aisyah', bukan nama sebenar, dapat mendakap dan mengucup anak-anaknya untuk mengubati perasaan rindu seorang ibu.

Ibu enam orang anak itu hanya duduk bergenang airmata sambil dia melayan telatah anak-anaknya yang kelihatan sangat riang dapat mengelilinginya tanpa sebarang hadangan.

Sebelum ini, pertemuan mereka di penjara Changi ini terpisah oleh dinding kaca yang menghalang mereka daripada dapat bersentuhan.

Kesemuanya, 12 banduan wanita diberi peluang 'memecahkan' dinding kaca itu selama dua jam hari ini, demi merasakan detik-detik berkeluarga bersama anak-anak mereka.

11 daripada mereka yang adalah banduan wanita Melayu/Islam.

Bagi 'Aisyah' sendiri, saat manis dapat bermanja dengan orang tersayang mungkin tidak pernah dirasainya, yang ditinggalkan ibu kandungnya sejak bayi lagi.

Derita menagih kasih sayang ibunya sendiri membuatkan 'Aisyah' menyalah guna dadah sehingga diberkas pada usia muda remaja 16 tahun.

"Saya rasa macam ibu saya tidak kesah pasal saya. Jadi saya hendak perhatian daripada dia, saya ambil dadah," rintih 'Aisyah' meluahkan sejarah hitam yang memalit kehidupannya.

PERTEMUAN TANPA HADANGAN HANYA DIADAKAN 2 KALI SETAHUN

'Aisyah' kini menjalani hukuman penjara lima tahun sejak ditangkap bagi kesalahan dadah pada 2015.

Mujur, dengan program sokongan kanak-kanak atau 'Kids in Play' anjuran The Salvation Army itu, dia diberi kesempatan berinteraksi secara lebih bermakna dan bebas tanpa hadangan dengan anak-anaknya.

Program ini bermatlamat menyuntik semangat hidup baru dalam diri para banduan melalui sokongan keluarga.

Namun, awal dari itu, para banduan dan anak-anak mereka perlu menghadiri empat sesi awal, sebelum menyertai Program Keterikatan Keluarga ini, yang dilakukan hanya dua kali setahun.

Bagi anak-anak banduan dan penjaga mereka, ia termasuk cara menangani masalah stigma dan tekanan yang timbul daripada kesan pemenjaraan si ibu atau ayah.

"Sesi begini dengan anak-anak mereka sebenarnya memberi mereka keazaman untuk ingin bersama anak-anak mereka. Dan ia juga mengajar mereka akan tanggungajawab dan sentiasa berfikir tentang padah akibat perbuatan mereka," terang Superinden Kedua Institusi A4, Perkhidmatan Penjara Singapura, Angeline Chua.

"SAYA MINTA MAAF KERANA... TIDAK ADA SEMASA MEREKA MEMBESAR"

Begitu juga harapan anak sulung 'Aisyah', 'Adam', agar ibunya dapat segera kembali ke pangkuan dan membuka lembaran baru.

Ini kerana 'Adam' sudah letih memberi helah tiap kali ditanyakan ke mana kedua-dua orang tuanya.

"Saya akan bilang yang emak bapa saya ada banyak kerja hendak buat," kongsi 'Adam'.

Biarpun berjauhan, pinta 'Adam' hanya satu: "(Supaya ibu) selalu mendoakan Adam agar menjadi pandai dan anak yang baik."

Terpukul dengan luahan hati anaknya itu, 'Aisyah' yang tidak dapat menahan sebak menyahut begini: "Saya minta maaf kerana saya tidak ada untuk mereka semasa mereka membesar. Saya janji saya tidak akan ulangi lagi perangai saya yang tidak bagus inilah."

Program KIP sudah dikendalikan dari tahun 1998 selama 20 tahun dan ia meliputi Program Keterikatan Keluarga di mana para banduan dapat meluangkan masa melakukan kegiatan bersama anak-anak tanpa ada batasan.

Bagi para tahanan muslim dan anak-anak mereka yang diberi peluang keemasan menghidupkan saat-saat berkeluarga ini, pertemuan dua jam itu ibarat Hari Raya yang datang awal untuk mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan