Images
  • sarah bagharib standee
    Gambar perkahwinan sepasang suami isteri dengan wajah mereka dipotong digunakan sebagai papan bergambar untuk perhiasan Hari Raya di sebuah estet perumahan Tiong Bahru. (Gambar ihsan: Sarah Bagharib)

PA tidak lagi akan bertemu pasangan gambar persandingan dijadikan perhiasan Hari Raya

SINGAPURA: Persatuan Rakyat (PA) membatalkan pertemuan dengan pasangan suami isteri yang gambar majlis persandingan mereka digunakan sebagai perhiasan tanpa izin mereka, dengan menyatakan bahawa PA tidak akan meneruskannya menyusuli komen yang dibuat oleh wanita itu di media sosial.

Matlamat untuk mengadakan pertemuan dengan Cik Sarah Bagharib dan suaminya Razif Abdullah adalah untuk PA meminta maaf secara peribadi atas kejadian itu, menurut PA dalam catatan Facebooknya pada Isnin (14 Jun). Gambar persandingan mereka pada 2017 digunakan sebagai sebahagian daripada hiasan Hari Raya di estet Tiong Bahru di kawasan undi Radin Mas baru-baru ini.

"Kami juga mahu menjelaskan kedudukan kami, menerangkan tentang langkah-langkah yang telah diambil untuk mengelakkan kejadian tersebut daripada berulang, dan mendengar sendiri saranan-saranan Cik Sarah tentang bagaimana kami dapat memperbaikinya melalui pertemuan itu," menurut PA dalam kenyataannya di Facebook.

Menurut PA, Cik Sarah bagaimanapun mempelawa orang ramai secara terbuka melalui catatan media sosialnya untuk "mengongsi mesej/saranan mereka kepada PA dan mereka akan menyampaikannya".

"Kami mendapatinya memelikkan. Kami tidak tahu mengapa pertemuan kami harus digunakan sebagai wadah untuk beliau menyalurkan pandangan dan komen orang lain yang tidak ada kaitan dengan kejadian itu," menurut PA.

"Semua ini mendorong kami untuk percaya bahawa tujuannya yang bersetuju untuk bertemu dengan kami menjangkaui insiden Radin Mas. Oleh itu, kami mendapati tidak lagi perlu untuk meneruskan pertemuan itu."

DAKWAAN BERSIKAP PERKAUMAN

PA sebelum ini meminta maaf secara terbuka kepada pasangan itu pada 29 Mei dan menurunkan perhiasan tersebut. PA juga menyatakan: "Kami akan mengambil langkah-langkah untuk membimbing dan membantu kakitangan kami dan, sejauh mungkin, vendor luar juga, agar lebih peka dan sensitif dari segi budaya."

Cik Sarah memuat naik responsnya terhadap permohonan maaf PA pada 1 Jun, dengan berkata bahawa terdapat "kelemahan-kelemahan ketara yang menunjukkan pemahaman yang sangat cetek mengenai betapa seriusnya isu ini". Ia bukan hanya mengenai pelanggaran hak cipta, tetapi "isu lebih besar yang menjejas masyarakat Melayu/Islam secara amnya", katanya.

"Sungguh mengecewakan apabila sebuah badan pemerintah yang ditubuhkan untuk membina dan mengukuhkan masyarakat dalam mencapai visi masyarakat yang bersatu padu, satu Singapura masih perlu 'membimbing dan membantu kakitangannya... agar lebih peka dan sensitif terhadap budaya' 61 tahun selepas ia ditubuhkan," tulisnya dalam catatan tersebut.

Cik Sarah juga merujuk kepada kejadian itu dalam beberapa catatan Instagram Stories, yang dijawab PA melalui kenyataannya pada Isnin.

Merujuk kepada salah satu Instagram Story yang dikongsi semula oleh Cik Sarah pada 11 Jun, PA menyatakan bahawa Cik Sarah telah berkongsi dakwaan oleh pengguna lain yang bertanggapan kejadian itu "berbaur perkauman terhadap sesuatu budaya".

PA juga menyatakan bahawa Cik Sarah menyifatkan kejadian perhiasan itu sebagai "berbaur perkauman" dengan melonggokkannya dengan "serangan dan kejadian perkauman lain" dalam salah satu catatannya, dan beliau "membuat andaian" dalam temu bualnya bersama dengan Penolong Profesor Walid Jumblatt Abdullah bahawa kakitangan dan sukarelawan PA tidak menemui apa-apa yang salah dengan perhiasan itu kerana mereka mungkin "buta terhadap perkauman".

Penolong profesor itu adalah dari Sekolah Sains Kemasyarakatan Universiti Teknologi Nanyang, dengan bidang penyelidikan yang merangkumi agama dan politik.

Semasa temu bual tersebut pada 7 Jun, Cik Sarah berkata bahawa acara penyalaan lampu Hari Raya yang menampilkan perhiasan itu dihadiri oleh Anggota Parlimen Melvin Yong. Beliau tertanya-tanya sama ada Encik Yong ada ternampak perhiasan itu dan apa yang beliau fikirkan tentang hal itu, sambil menambah bahawa: "Sekiranya beliau melihatnya dan tidak berkata apa-apa tentang hal itu, pasti ada sesuatu yang tidak kena."

"Terdapat komen juga mengenai perkauman dalaman," tambah Cik Sarah. "Kami telah dibiasakan untuk berfikir bahawa ia adalah cara tertentu ... tidak ada yang salah mengenainya kerana orang mungkin buta warna, saya rasa, atau buta terhadap perkauman yang berlaku atau berasa tidak ada yang salah kerana tidak memberi kesan kepada mereka."

PA TOLAK TUDUHAN

Pada Isnin, PA menegaskan bahawa ia menolak tuduhan-tuduhan tersebut.

"Walaupun kesalahan itu tidak sensitif dari segi budaya, ia tentu sekali bukan berbaur perkauman. Tidak wajar untuk mengemukakan tuduhan perkauman, tanpa asas, untuk membangkitkan emosi dan sentimen," tambah PA.

Mediacorp sudah menghubungi Cik Sarah untuk mendapatkan reaksi beliau terhadap komen PA.

Menurut PA, pertubuhan-pertubuhan akar umbinya seperti Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MESRA) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan India (Narpani Pearavai) memainkan peranan penting dalam mewakili kepentingan masyarakat Melayu dan India.

"Kami kerap mendampingi rakan-rakan masyarakat daripada semua kaum dan agama untuk memastikan agar keprihatinan mereka dipertimbangkan secara aktif semasa merancang program kami," tambahnya.

Apa yang berlaku melibatkan perhiasan di Radin Mas adalah "insiden terpencil", tegas PA, sambil menambah bahawa ia menunjukkan betapa pertubuhan itu "boleh melakukan kesilapan".

"Kami bersetuju bahawa ia penting bagi kakitangan dan sukarelawan kami untuk bersikap peka dan berpengetahuan mengenai budaya semua kumpulan etnik kita. Kami sedang berusaha untuk menubuhkan sebuah panel sumber untuk membimbing dan memberi nasihat kepada kakitangan kami mengenai perkara-perkara yang melibatkan budaya.

"Kami juga akan mempertingkatkan latihan bagi meningkatkan pemahaman dan penghargaan kakitangan dan sukarelawan terhadap pelbagai budaya di sini. Rakyat Singapura 'sebagai satu masyarakat yang bersatu padu' adalah usaha yang berterusan - dan begitu juga PA."

PA juga menolak pandangan Cik Sarah bahawa "ia bertindak tergesa-gesa untuk menamakan vendor yang bertanggungjawab" semata-mata untuk "menyangkal dan menepis sebarang kebertanggungjawaban."

"Ini tidak benar," tegas PA pada Isnin. "Vendor telah memperkenalkan dirinya secara langsung kepada Cik Sarah pada 28 Mei dan memohon maaf. Ini sebelum PA mengeluarkan kenyataan kami pada 29 Mei."

- CNA/TQ/tq

Top