Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PA minta maaf guna tanpa izin gambar kahwin Sarah Bagharib sebagai 'standee'

Persatuan Rakyat (PA) meminta maaf setelah  gambar sepasang suami isteri digunakan sebagai papan bergambar atau 'standee' untuk perhiasan Hari Raya di Kawasan Undi Perseorang (SMC) Radin Mas tanpa kebenaran pasangan berkenaan.  

Anggaran Waktu Membaca:
PA minta maaf guna tanpa izin gambar kahwin Sarah Bagharib sebagai 'standee'

Gambar perkahwinan sepasang suami isteri dengan wajah mereka dipotong digunakan sebagai papan bergambar untuk perhiasan Hari Raya di sebuah estet perumahan Tiong Bahru. (Gambar ihsan: Sarah Bagharib)

Diterbitkan : 29 May 2021 04:45PM Dikemas Kini : 29 May 2021 05:55PM

SINGAPURA: Persatuan Rakyat (PA) meminta maaf setelah gambar sepasang suami isteri digunakan sebagai papan bergambar atau 'standee' untuk perhiasan Hari Raya di Kawasan Undi Perseorang (SMC) Radin Mas tanpa kebenaran pasangan berkenaan.

Cik Sarah Bagharib, 30 tahun, berkata dalam satu catatan Instagram pada Jumaat (28 Mei) bahawa beliau sudah menulis surat kepada pihak-pihak berkuasa selepas menyedari bahawa gambar perkahwinannya dijadikan 'standee' dan digunakan sebagai perhiasan Hari Raya di sebuah estet perumahan di Tiong Bahru.

"Beberapa hari lalu, saya sangat kecewa mendapat tahu tentang penggunaan gambar perkahwinan saya dan suami di Tiong Bahru Orchid (Jalan Bukit Merah) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini," tulisnya.

"Menggunakan gambar perkahwinan untuk menggambarkan warga Muslim Melayu/Singapura meraikan Hari Raya adalah tidak tepat. Tidak ada alasan langsung untuk menggunakan gambar perkahwinan saya tanpa kebenaran saya. Menggunakan gambar perkahwinan saya sebagai karikatur orang Melayu tidak dapat diterima."

Catatan media sosial Cik Sarah itu menerima lebih 10,000 tanda suka setakat petang Sabtu dan sekitar 300 komen.

Pakar perhubungan bagi sebuah pertubuhan bantuan kemanusiaan antarabangsa itu berkata dalam suratnya kepada pihak berkuasa, seperti yang dikongsi dalam Instagramnya, perbuatan itu bukan sahaja "mengabaikan undang-undang hak cipta", malah ia tidak sensitif kerana PA menggunakan gambar pasangan tersebut dalam persalinan tradisional perkahwinan Melayu untuk menggambarkan Hari Raya.

Apabila dihubungi, Cik Sarah berkata gambar itu dipetik semasa perkahwinannya pada 2017. Dua rakan beliau berkongsi satu video Instagram setelah mereka menyedari papan bergambar itu adalah foto Cik Sarah dan suaminya.

"Saya sejujurnya amat terkejut - pertama sekali menggunakan gambar saya tanpa kebenaran bagi acara 'perayaan' berkaitan pemerintah dan satu lagi adalah wajah-wajah kami dipotong bagi membolehkan orang ramai meletakkan muka mereka dan mengambil gambar," ujarnya.

"Sebagai seorang etnik minoriti yang tinggal di Singapura, ini sesuatu yang sudah biasa berlaku. Ini bukanlah baru - melihat orang lain mempunyai pemahaman cetek terhadap budaya saya dan kemudian saya perlu menjelaskannya. Ia memenatkan."

"ELEMEN DIBUAT-BUAT UNTUK HIBURAN"

Cik Sarah kemudian menghantar emel dengan melampirkan surat itu kepada Anggota Parlimen (AP) Radin Mas Melvin Yong, Majlis Bandaran Tanjong Pagar dan Ketua Pengarah Eksekutif PA, Encik Lim Hock Yu.

Beliau berkata Encik Lim membalas emelnya dan meminta maaf. Encik Lim berkata beliau sudahpun mengarahkan kakitangannya agar tidak lagi meletakkan papan bergambar itu dengan serta-merta. PA juga kata beliau akan menjalankan siasatan untuk mengetahui bagaimana ia berlaku.

"Menteri Edwin Tong juga sudah secara berasingan meminta maaf secara peribadi kepada saya dan akur bahawa insiden itu adalah tidak wajar serta tidak sensitif. Beliau turut berkata telah meminta PA dan SMC Radin Mas untuk menyiasat perkara itu dan akan memberitahu saya bagaimana ia berlaku," ungkap Cik Sarah.

Encik Tong adalah Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-undang. Beliau juga adalah Timbalan Pengerusi PA.

"Kami pastinya tidak membenarkan gambar kami dijadikan elemen teater bagi tujuan hiburan," ujar Cik Sarah. "Saya berharap bahawa pertubuhan seperti PA, yang misi dan matlamatnya adalah untuk mempromosikan keharmonian kaum serta membina perpaduan sosial di Singapura, dapat mendalami pemahaman mengenai budaya kumpulan minoriti. Kepelbagaian bermula dari atas.

"Ia menunjukkan kita memerlukan lebih banyak kepelbagaian dari segi perwakilan dalam kedudukan kepimpinan di dalam pertubuhan yang bekerjasama dengan Pemerintah serta yang bertujuan untuk mempromosikan keharmonian kaum dan perpaduan sosial."

PA AMBIL SERIUS PELANGGARAN

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, Encik Yong berkata: "Perhiasan Hari Raya bertujuan untuk menambah keceriaan perayaan kepada penduduk kami di tengah-tengah pandemik ini. Perhiasan itu sudahpun diturunkan."

PA berkata Pejabat Kawasan Undi Radin Mas mendapatkan khidmat sebuah vendor, Warabi Enterprise (Art Studio), untuk mereka bentuk dan memasang perhiasan Hari Raya di estet Tiong Bahru Orchid.

"Vendor itu merancang konsep dan reka bentuk bagi perhiasan. Malangnya, dalam melakukan demikian, mereka memuat turun serta menggunakan gambar Cik Sarah Bagharib daripada sebuah sumber online dan kemudian menggunakannya sebagai papan bergambar.

"Perhiasan ini, termasuk 'standee', kemudian dipasang oleh Pejabat Kawasan Undi Radin Mas.

"Ini tidak sepatutnya berlaku," menurut PA dalam satu kenyataan.

PA mengakui bahawa baik vendor itu mahupun Pejabat Kawasan Undi Radin Mas tidak meminta izin untuk menggunakan gambar tersebut. Ia sudahpun bercakap dengan vendor itu mengenai "betapa serius pelanggaran ini" dan akan membuat tindakan lanjut dengan langkah yang sesuai," menurut PA lagi.

"Walau bagaimanapun, PA termasuk Pejabat Kawasan Undi Radin Mas mengambil tanggungjawab atas kesilapan ini kerana kami terlepas pandang perkara berkenaan dan perhiasan tersebut dibenarkan untuk dipasang," menurut kenyataan itu lanjut.

"Kami memandang serius pelanggaran itu, termasuk pencabulan hak cipta. Kami akan melaksanakan kawalan dan proses dalaman lebih ketat bagi memastikan perkara ini tidak berlaku lagi."

PA juga kesal dengan penggunaan gambar perkahwinan untuk menggambarkan sambutan Hari Raya sambil menyatakan ini "tidak wajar".

"Kami akan mengambil langkah untuk membimbing dan membantu kakitangan kami serta, seberapa boleh, vendor luar juga untuk menjadi lebih peka budaya dan sensitif.

Kami sudahpun meminta maaf sepenuhnya kepada Cik Sarah Bagharib dan keluarga beliau atas kesulitan yang ditimbulkan oleh kesalahan kami," menurut PA.

"Kami sudahpun menjelaskan kepadanya keadaan yang membawa kepada kesilapan itu serta juga mengajak beliau untuk berjumpa bagi menangani sebarang pertanyaan lain yang mungkin beliau ada.

"Sebaik sahaja kami dimaklumkan tentang isu itu, kami segera menurunkan papan tersebut."

Pejabat Kawasan Undi Radin Masa dan seorang wakil daripada Warabi Enterprise juga telah meminta maaf kepada Cik Sarah dalam catatan Instagramnya.

Pejabat Kawasan Undi Radin Mas menulis dalam ruangan komen dengan menggunakan akaun Instagramnya: "Kami juga ingin meminta maaf kepada Cik Sarah dan masyarakat Melayu/Islam atas pilihan gambar yang tidak sesuai.

"Kami akur bahawa penggunaan gambar pengantin dalam persalinan tradisional Melayu tidak melambangkan Hari Raya. Kami akan lebih berhati-hati pada masa akan datang."   

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan