Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Orchard Road jadi zon bebas rokok mula Jan 2019

Orang ramai tidak lagi dibenarkan menyalakan rokok di tempat awam dalam kawasan Orchard Road bermula Januari depan, apabila kawasan itu dijadikan Zon Bebas Rokok, menurut NEA.

Anggaran Waktu Membaca:
Orchard Road jadi zon bebas rokok mula Jan 2019

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 29 Nov 2018 12:21AM Dikemas Kini : 29 Nov 2018 12:26AM

SINGAPURA: Orang ramai tidak lagi dibenarkan menyalakan rokok di tempat awam dalam kawasan Orchard Road bermula Januari depan.

Dalam satu kenyataan media pada Rabu (28 Nov), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan kawasan Orchard Road dijadikan Zon Bebas Rokok bermula 1 Januari 2019.

NEA menambah merokok dibenarkan hanya di Kawasan Dibolehkan Merokok (DSA) manakala sudut merokok di kedai makan dan runcit dalam Kawasan Bebas Rokok akan dimansuhkan bermula 31 Disember 2019. Sekitar 40 DSA ditubuhkan (lihat senarai di bawah).

Peralihan Orchard Road menjadi zon bebas rokok pada awalnya dijadualkan bermula Julai 2018.

Sebulan sebelum pelaksanaan tersebut, NEA mengumumkan bahawa larangan merokok itu ditangguhkan hingga hujung tahun untuk memberi para peniaga lebih masa untuk bersiap sedia.

TINGKATKAN KESEDARAN

NEA menyatakan pihaknya akan meningkatkan usaha menguar-uarkan Zon Bebas Rokok dalam beberapa minggu mendatang untuk meningkatkan kesedaran tentang larangan itu.

"Para relawan masyarakat sudah mula mendampingi orang awam di kawasan itu. Risalah menyenaraikan lokasi DSA akan disediakan di pusat-pusat beli-belah dan kedai menjual produk tembakau," menurut NEA.

Iklan-iklan akan diletakkan di stesen-stesen MRT Orchard, Somerset, Newton dan Dhoby Ghaut MRT serta perhentian bas terpilih dan di bas-bas yang melalui kawasan Orchard Road.

Zon Bebas Rokok Orchard Road (Gambar: NEA)

Zon Bebas Rokok Orchard Road (Gambar: NEA)

Papan-papan tanda juga akan diletakkan di tiang lampu dan tong sampah di zon tersebut, manakala makluman online di telefon bimbit akan digunakan untuk memperluaskan kempen.

NEA dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) akan memberitahu para pengunjung asing tentang Zon Bebas Rokok menerusi maklumat di laman Visit Singapore.

Mereka juga akan dimaklumkan menerusi bahan publisiti yang dipaparkan di tempat-tempat masuk ke Singapura seperti di Lapangan Terbang Changi, Pusat Pelayaran Pesiaran Singapura dan Pusat Pelayaran Pesiaran Marina Bay. Ejen-ejen pelancongan, pemandu pelancong dan hotel-hotel akan dikemas kini agar mereka dapat menasihati pelancong.

SUDUT MEROKOK DIMANSUHKAN

Sudut-sudut merokok di kedai makan dalam lingkungan Zon Bebas Rokok akan dimansuhkan menjelang 31 Disember 2018.

NEA menyatakan pihaknya sudah berhenti menerima permohonan bagi sudut merokok baru merata negara sejak Jun 2017.

"Sudut merokok sedia ada yang sudah diluluskan di luar Zon Bebas Rokok akan dibenarkan sehingga lesen kedai makanan tersebut luput atau dibatalkan. Tiada lagi sudut merokok baru akan diluluskan bagi pemilik lesen baru di tempat-tempat yang sama," tambah NEA.

LANGKAH KUATKUASA BERMULA 1 APRIL

Pada tiga bulan pertama larangan berkuatkuasa, NEA menyatakan pihaknya akan mengambil pendekatan menasihat. Mereka yang didapati merokok di tempat awam di Zonn Bebas Rokok akan menerima amaran lisan.

Namun mereka yang merokok di tempat-tempat yang sedia ada dilarang merokok, seperti perhentian bas dan tempat jalan tertutup, akan terus dikenakan langkah-langkah tegas. Mereka yang melakukan kesalahan berkali-kali akan dikenakan denda.

Undang-undang baru akan dikuatkuasakan ke atas mereka yang merokok di tempat awam dalam kawasan bebas rokok bermula 1 April.

"NEA mengambil pendirian tegas terhadap perokok yang melanggar undang-undang dan para pegawai kami menjalankan (rondaan) penguatkuasaan secara kerap di kawasan terlarang," menurut NEA.

Pada 2017, sebanyak 22,000 saman dikeluarkan kerana merokok di kawasan terlarang.

SENARAI KAWASAN DIBOLEHKAN MEROKOK:

  • Belakang Stesen MRT Somerset MRT
  • Cathay Cineleisure Orchard (2)
  • Concorde Hotel and Shopping Mall (2)
  • Cuppage Terrace
  • DFS Galleria
  • Far East Plaza
  • Far East Shopping Centre
  • Forum The Shopping Mall
  • Four Seasons Hotel (2)
  • Goodwood Park Hotel (3)
  • Grand Hyatt Singapore
  • Hilton Singapore
  • Holiday Inn Express Singapore Orchard Road (2)
  • Holiday Inn Singapore Orchard City Centre (2)
  • Ming Arcade
  • Ngee Ann City (2)
  • Orchard Rendezvous Hotel (2)
  • Orchard Towers (2)
  • Plaza Singapura
  • Shaw House
  • Tang Plaza
  • Tanglin Mall
  • Tanglin Place
  • Tanglin Shopping Centre
  • The Centrepoint
  • The Heeren
  • The Paragon
  • The Quincy Hotel
  • The Regent Singapore (2)
  • Wheelock Place
  • York Hotel (2)
Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan