Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Orange Ballroom, Osman Arrifin akan didakwa kerana langgar peraturan pengurusan selamat

Syarikat khidmat perkahwinan popular, Orange Ballroom, akan didakwa di mahkamah esok (10 Nov) kerana melanggar peraturan Langkah-Langkah Pengurusan Selamat (SMM) bagi majlis perkahwinan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Syarikat khidmat perkahwinan popular, Orange Ballroom, akan didakwa di mahkamah esok (10 Nov) kerana melanggar peraturan Langkah-Langkah Pengurusan Selamat (SMM) bagi majlis perkahwinan.

Menurut Penguasa Tanah Singapura (SLA) dalam kenyataan medianya hari ini (9 Nov), Orange Ballroom yang dimiliki personaliti Syah Ibrahim, dikatakan melakukan tiga kesalahan pada 30 Januari 2021 di premisnya yang terletak di tingkat 3 Tanjong Katong Complex.

Tiga kesalahan tersebut adalah:

(i) syarikat itu membenarkan 235 tetamu menghadiri sebuah majlis perkahwinan sedangkan bilangan maksimum yang dibolehkan bagi seluruh acara tersebut seharusnya tidak melebihi 100 orang

(ii) ia membolehkan jumlah tetamu bagi ketiga-tiga majlis yang berlangsung pada hari itu, melebihi had 50 orang untuk setiap majlis

(iii) Orange Ballroom gagal memastikan tetamu hanya menghadiri majlis jamuan mengikut jadual yang ditetapkan - 18 tetamu didapati menghadiri lebih daripada satu majlis jamuan pada hari berkenaan

Penganjur acara bagi majlis perkahwinan 30 Januari 2021 itu, Osman Arrifin, juga akan didakwa di mahkamah esok atas dua kesalahan di bawah Peraturan 2020 (Langkah Sementara) (Perintah Kawalan) COVID-19.

Tuduhan pertama membabitkan perbuatan membolehkan 18 tetamu menghadiri lebih daripada satu majlis jamuan. Ini bermakna, Encik Osman dikatakan gagal mengambil semua langkah-langkah yang perlu untuk memastikan semua tetamu menghadiri majlis mengikut jadual, menurut SLA.

Tuduhan kedua membabitkan tindakannya yang membolehkan 235 tetamu menghadiri majlis di premis syarikat. Encik Osman dikatakan gagal melaksanakan langkah-langkah wajar untuk memastikan bilangan tetamu tidak melebihi had 100 orang yang dikuatkuasakan ketika itu.

Kedua-dua Orange Ballroom LLP dan Osman akan didakwa di Mahkamah 4B pada jam 10.00 pagi esok (10 Nov), menurut kenyataan SLA lagi.

SLA dalam kenyataannya itu menambah, Pemerintah mengambil serius pelanggaran peraturan seperti itu.

Mereka yang gagal mematuhi Langkah-Langkah Pengurusan Selamat, boleh didakwa di bawah Peraturan 2020 (Langkah-Langkah Sementara) (Perintah Kawalan) COVID-19.

Jika sabit kesalahan, pesalah kali pertama boleh didenda sehingga S$10,000 dan/atau dipenjara sehingga enam bulan.

Pesalah berulang pula boleh didenda sehingga S$20,000 dan/atau dipenjara sehingga 12 bulan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan