Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Orang ramai akur langkah lebih ketat baik tapi agak mendadak kerana Aidilfitri baru mula

Faham bahawa langkah lebih ketat bagi membendung COVID-19 diperlukan. Namun ada yang berasa dilakukan agak secara mengejut sedang masyarakat baru sahaja menyambut Hari Raya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Faham bahawa langkah lebih ketat bagi membendung COVID-19 diperlukan. Namun ada yang berasa dilakukan agak secara mengejut sedang masyarakat baru sahaja menyambut Hari Raya.

Demikian sentimen yang disuarakan orang ramai kepada BERITAmediacorp setelah pemerintah hari ini mengumumkan bahawa perhimpunan sosial kini dihadkan kepada dua orang sahaja bermula Ahad ini (16 Mei). Tidak lagi lima orang seperti sekarang.

Langkah terbaru itu dikuatkuasakan tepat pada hujung minggu pertama bulan Syawal, yang lazimnya menyaksikan ramai anggota masyarakat Islam saling kunjung-mengunjung.

Anggota masyarakat Melayu seperti Encik Muhd Sufi Hakim Sarudin misalnya berkata biasanya keluarga-keluarga Melayu adalah besar. Jadi pengurangan kepada dua orang yang dibenarkan berkumpul dan berkunjung "pastinya akan menjejas kunjung-mengunjung Hari Raya".

Encik Jumadin Ahmad antara mereka yang setuju langkah lebih ketat perlu diadakan.

"Tetapi waktunya tidak kena dengan tempatnya. Memandangkan kita baru sambut Hari Raya semalam," ujarnya.

"Dengan diadakan langkah begini bermakna Hari Raya kita sudah habis. Sudah tidak ada lagi!"

Namun ada orang seperti Encik Nasir Sabari yang tiada masalah dengan pendekatan Pemerintah itu. Menurutnya itu merupakan satu tindakan yang baik.

"Sebab kalau tidak dijaga, semakin susah. Nanti lagi teruk lagi kalau kita dikenakan ‘lockdown’ (langkah kepungan). Nanti jadi satu masalah untuk kita di mana ekonomi bergantung pada banyak pekerjaan," hujahnya.

"Jadi tidak menjadi isu," kata Encik Nasir yang mengajak masyarakat supaya menerimanya sebagai "sesuatu yang baik dan untuk kebaikan semua".

Yang pasti perkara yang lebih mengejutkan orang ramai nampaknya ialah penguatkuasaan mendadak langkah baru itu.

Itulah sentimen yang ramai suarakan.

Menyuarakan pandangannya, Encik Jumadin mengadu bahawa pemerintah tidak beri masa untuk masyarakat membuat persiapan. Beliau berasa tempoh 'amaran' seminggu seharusnya diberikan untuk masyarakat buat persiapan.

Namun yang pasti, virus COVID-19 hakikatnya tidak mengenal waktu dan tidak mengeluarkan amaran sehingga kes-kes jangkitan dalam masyarakat boleh naik mendadak. Itulah yang membuatkan pemerintah mengambil langkah tegas untuk melaksanakan peraturan perhimpunan sosial lebih ketat bermula Ahad ini.

Bagi Encik Nazrin Hizal, dia memang sudah menjangkakan bahawa langkah ketat akan dilaksanakan. Hanya dia meramalkan ia akan dilaksanakan selepas Hari Raya nanti.

Cik Nuratikah Khamis semestinya semestinya menyuarakan pandangan ramai apabila dia berkata:

"Semua orang tidak sabar untuk beraya kerana tahun lalu kami tidak dapat beraya. Dan pada awalnya dari lapan orang kepada lima orang, kami masih okey. Tetapi dari lima kepada dua (orang)... kami rasa ia amat drastik."

Sungguhpun demikian wanita ini akur bahawa langkah pemerintah itu baik bagi masyarakat dan "ia baik untuk kita".

PENIAGA GERAI MAKANAN JANGKA RUGI HINGGA 50%

Bagi sektor perniagaan makanan pula, para peniaga lebih terpukul dengan larangan duduk makan di restoran atau di gerai makan termasuk di pusat-pusat penjaja.

Sebahagian peniaga hari ini (14 Mei)memberitahu BERITAmediacorp bahawa perniagaan mereka banyak merosot. Ada pula yang kini terpaksa membuat penyesuaian segera dalam operasi niaga harian demi mengurangkan kerugian.

Semasa ditemui di Pusat Penjaja Adam Road pegerai minuman, Encik Muhammad Irfan berkata bahawa perniagaannya dijangka akan merosot lebih daripada 50%.

Encik Irfan akur bahawa tenaga kerja adalah salah satu cara untuknya mengurangkan kerugian.

"Perkara yang kita boleh buat adalah untuk mengurangkan tenaga pekerja. Misalnya, jika kini dua orang perlu ada di gerai, satu orang nanti akan lebih daripada mencukupi," kata Encik Irfan.

Pegerai makanan India, Encik Anwar Ibrahim pula berkata dengan pelanggan tidak boleh duduk makan di pusat penjaja itu, penjualannya akan berkurangan sekurang-kurangnya 40 hingga 50 peratus.

"Makanan yang kita masak kita akan kurangkan, sebab tak ramai orang yang akan datang dan makan dan lihat juga cara untuk kurangkan kos bagi aspek lain," tambah Encik Anwar tentang langkah yang akan diambilnya.

Juga menyuarakan sentimen yang sama ialah Encik Sumadi Supari, pemilik gerai Warong Pak Sapari yang popular dengan mi sotonya.

Beliau berpendapat bahawa ini seolah-olah "balik ke Fasa 1" tempoh sekatan COVID-19. Semestinya kata beliau para peniaga akan membuat penyesuaian kepada stok kerana tiada orang akan makan di pusat makanan itu.

"Kita kurangkanlah apa yang kita pesan.

"Orang pun akan takut nak keluar sebab langkah-langkah ketat," kata Encik Sumadi kepada BERITAmediacorp yang berasa jika beliau menggunakan khidmat penghantaran makanan sekalipun ia tidak akan dapat mengimbangi kerugian perniagaannya kerana kos tambahan yang perlu dikeluarkannya bagi khidmat sedemikian. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan