Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Orang Melayu S'pura masih cekap menggunakan Bahasa Ibunda: Tinjauan IPS

Tinjauan Institut Kajian Dasar (IPS) mengenai bahasa, bangsa dan agama di Singapura mendapati masyarakat Melayu tempatan mempunyai tahap kecekapan yang tinggi dalam menggunakan Bahasa Ibunda berbanding kaum etnik yang lain.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tinjauan Institut Kajian Dasar (IPS) mengenai bahasa, bangsa dan agama di Singapura mendapati masyarakat Melayu tempatan mempunyai tahap kecekapan yang tinggi dalam menggunakan Bahasa Ibunda berbanding kaum etnik yang lain.

Kajian IPS itu meninjau trend kecekapan penggunaan bahasa empat kumpulan etnik utama Singapura.

Ia membandingkan dapatan dua kajian yang dilakukan pada 2013 dan 2018. Setiap tinjauan melibatkan lebih 4,000 responden berusia 18 tahun ke atas.

Ia mendapati penguasaan bahasa Inggeris secara keseluruhannya bagi semua kaum etnik meningkat pada 2018, berbanding kajian pada 2013.

78 peratus responden pada tahun 2018 melaporkan kemampuan berbahasa Inggeris yang "baik", naik 7 peratusan mata berbanding 2013, terutamanya di kalangan muda.

Menurut IPS, kenaikan ini sejajar dengan perubahan dasar pendidikan Singapura yang mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris.

Penggunaan secara meluas dalam sektor ekonomi turut memberi kesan kepada tenaga kerja.

BAHASA MELAYU TETAP JADI PILIHAN DI DALAM DAN DI LUAR RUMAH

Kajian itu juga mendapati bahasa Melayu masih digunakan dengan meluas.

73 peratus responden Melayu pada 2013 menyatakan tahap bahasa ibunda mereka "sangat baik" berbanding hanya 43% responden Cina dan 58 peratus India.

Tetapi ia merosot sedikit pada 2018 kepada 66 peratus.

Trend serupa dilihat dalam kalangan kumpulan etnik lain juga.

Bagaimanapun, orang Melayu didapati tetap menggunakan bahasa ibunda di rumah dan dalam perhubungan sosial meskipun semakin fasih dalam bahasa Inggeris.

94 peratus responden Melayu menyatakan mereka "sering", "sangat sering", atau "selalu" berbual dengan rakan mereka dalam bahasa ibunda mereka.

Menurut IPS, ini menunjukkan bahawa bahasa ibunda adalah faktor penyatuan yang sangat penting bagi masyarakat Melayu berbanding kaum India atau Cina.

Zamil Penyelidik Kanan IPS, Dr Mathew Mathews  berpendapat ini mungkin kerana identiti Melayu berkait rapat dengan bukan sahaja latar belakang etnik tetapi juga penggunaan bahasa.

"Bagi kebanyakan orang Melayu, kemampuan untuk bertutur dalam bahasa Melayu adalah sebahagian daripada identiti mereka. 

"Oleh kerana itu, saya rasa orang Melayu akan terus selesa menggunakan kecekapan itu dalam konteks sosial mereka, terutama dengan keluarga dan rakan-rakan," jelas beliau.

PERKEMBANGAN SANGAT POSITIF

Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa 2020 yang juga Anggota Parlimen GRC Jurong, Cik Rahayu Mahzam menyifatkan dapatan IPS itu sebagai sangat positif.

"Ini tentu sekali sesuatu yang positif dan memberangsangkan kerana kata orang "tak kenal maka tak cinta.

"Dalam masyarakat kita sekurang-kurangnya, ada rasa sayang kepada bahasa itu dan saya rasa itu satu asas yang sangat cukup dan kukuh untuk kita pertingkatkan," kata Cik Rahayu.

Namun beliau akur bahawa antara cabaran besar yang dialami masyarakat sekarang adalah penggunaan Bahasa Inggeris dalam keluarga Melayu di rumah.

"Dengan adanya kemahuan, keinginan untuk terus mendekati dan menggunakan bahasa, kita dapat perlahan-lahan cuba adakan aktiviti yang pelbagai yang mendekatkan dan membangkitkan perasaan cinta terhadap bahasa Melayu, " tambah beliau.

Jawatankuasa Bulan Bahasa menurut beliau akan terus melakar program-program yang pelbagai untuk menarik masyarakat terutama golongan ibu bapa.

"Usaha melestarikan bahasa Melayu adalah tanggungjawab berterusan. Ianya bukan sekadar bahasa, tetapi ianya budaya, identiti masyarakat kita yang perlu kita pelihara, kita junjung,"ujar Cik Rahayu lagi.

"SINGLISH" SINONIM DENGAN BUDAYA SINGAPURA

Dapatan menarik lain kajian IPS itu adalah mengenai kaitan rapat penggunaan "Singlish" dengan identiti masyarakat Singapura.

45 peratus responden mengatakan "Singlish" adalah sebahagian penting dalam budaya tempatan dan berharap ia tidak akan hilang.

Dapatan IPS itu juga menunjukkan kumpulan usia yang lebih muda lebih cekap menggunakan Singlish berbanding mereka yang berusia 51 tahun ke atas.

Sebilangan besar menganggap Singlish sesuai dalam situasi tidak rasmi tetapi tidak dalam persekitaran pendidikan dan perhubungan negara rasmi.

Satu persetujuan ketara oleh responden pelbagai kumpulan etnik dalam tinjauan IPS itu adalah sejauh mungkin, bahasa Inggeris patut digunakan dalam interaksi antara kaum di tempat awam.

Namun mereka akur bahawa bahasa lain juga masih perlu ada tempat dalam masyarakat.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan