Images
  • crime
    (Gambar fail: Reuters)

Orang ke-2 ditangkap berhubung kes pakej HAJI VIP, iaitu lelaki 58 tahun

BERITAmediacorp: Seorang lelaki berusia 58 tahun sudah ditangkap berhubung kes penipuan pakej HAJI VIP yang turut membabitkan Fahrorazi Sohoi.

Ini merupakan orang kedua yang diketahui ditahan polis berhubung kes tersebut.

Pasukan Polis Singapura (SPF) hari ini (5 Okt) mengesahkan penangkapan tersebut sebagai menjawab pertanyaan BERITAmediacorp.

Awal dari itu, pihak kami menerima maklumat daripada sumber yang menyatakan "dalang di sebalik kes Fahrorazi" ditahan polis semalam (4 Okt) untuk membantu siasatan.

Menyusuli kiriman mesej yang diterima menerusi aplikasi WhatsApp itu, BERITAmediacorp menghubungi polis bagi mendapatkan pengesahan.

Menurut polis dalam kenyataannya lagi, lelaki berkenaan sedang membantu siasatan.

Pagi tadi, Fahrorazi atau lebih dikenali dalam kalangan masyarakat Islam tempatan sebagai Ustaz Fahrur Razi Kiayi Kassim, hadir di Mahkamah Negara bagi mendengar sebutan ketiga kes tersebut.

Namun, pihak pendakwa raya masih lagi menjalankan siasatan dan meminta agar sebutan kes ditangguh ke hujung bulan ini, iaitu 30 Oktober.

Hakim Daerah Christopher Goh juga melanjutkan tempoh ikat jamin Fahrorazi.

Setakat ini, satu pertuduhan sudah dibacakan ke atas Fahrorazi, di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yakni menipu dan dengan cara yang tidak jujur memperdayakan mangsa supaya menyerahkan (bayaran, harta dan sebagainya).

Jika sabit kesalahan, guru agama berkenaan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun dan didenda.

Kesnya akan disebut lagi pada pukul 10.00 pagi, 30 Oktober nanti.

- BERITAmediacorp/nk

Top