Images
  • oyk pameran
    Menteri Pendidikan Ong Ye Kung melancarkan pameran terkini MHC dan Pesta Budaya Melayu 2019 pada 11 OKt 2019. (Gambar-gambar: Taman Warisan Melayu)

Ong Ye Kung lancar Pesta Budaya Melayu 2019, pameran terkini Taman Warisan Melayu

SINGAPURA: Pameran terkini oleh Taman Warisan Melayu tentang 'Seekor Singa, Seorang Putera dan Sebingkai Cermin' dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Ong Ye Kung pada malam semalam (11 Okt).

Pelancaran pameran itu bersempena dengan Pesta Budaya Melayu 2019.
Pameran tersebut menyusur peranan penting Singapura dalam bidang maritim serta budaya sebelum era penjajahan British dan Belanda di Kepulauan Melayu. Sementara itu, Pesta Budaya Melayu 2019 pula menyerlahkan warisan budaya yang dikongsi masyarakat setempat melalui pameran seni kebudayaan hibrid Melayu.

Dengan membawakan tema 'Bangsa', pameran dan pesta berkenaan dianjurkan bersempena dengan acara memperingati 200 tahun Singapura pada tahun ini. Kedua-duanya tertumpu kepada pergerakan manusia serta peralihan idea dari kurun ke-15 hingga ke-19 dan memaparkan bagaimana kesemua itu membentuk jati diri masyarakat Singapura secara kolektif.


Sebagai sebahagian daripada acara pembukaan itu, Projek Ujong Tanjong - sebuah pasukan artis pelbagai disiplin di bawah Program Inkubasi Kesenian Pusat - membuat persembahan teater khas untuk satu malam sahaja yang menggambarkan detik penting dalam sejarah Singapura menerusi bangsawan.

Pameran tersebut dibuka secara percuma hingga 21 Jun 2020. Pada tahun ini, Pesta Budaya Melayu akan berlangsung selama tiga minggu sehingga 2 November ini. 

- BERITAmediacorp/FZ/fz

Top