Images
  • nus (1)
    (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

NUS, SMU mahu sambung semula program pertukaran luar negara seawal Okt bagi mahasiswa divaksin

SINGAPURA: Universiti-universiti awam di Singapura akan menyambung semula program luar negaranya bagi mahasiswa seawal bulan depan. Kumpulan pertama mahasiswa yang akan ke luar negara adalah sekitar 80 orang dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Mereka akan ke Munich di Jerman, New York dan Silicon Valley di Amerika Syarikat, Stockholm di Sweden serta Toronto di Kanada sepanjang empat bulan mendatang.

Kawalan sempadan dikenakan pada Mac tahun lalu untuk membendung penularan COVID-19. Berikutan itu, Kementerian Pendidikan (MOE) mengumumkan penggantungan program-program seumpama itu pada bulan yang sama, temasuk bagi latihan amali dan pertukaran.

Dalam perkembangan terkini, universiti-universiti itu menyatakan sebagai respons kepada pertanyaan Mediacorp bahawa semua mahasiswa yang akan berangkat untuk memulakan program luar negara mesti divaksin sepenuhnya.

NUS, misalnya, menyatakan ia sedang berusaha untuk menyambung semula program luar negara secara bertahap-tahap sejajar dengan garis panduan dan nasihat perjalanan negara yang sedia ada. Ia menambah mahasiswa mesti menyelesaikan satu modul kesediaan perjalanan sebelum berlepas ke luar negara.

Kumpulan pertama mahasiswa yang akan ke luar negara adalah daripada program Kolej Luar Negara NUS yang membolehkan mahasiswa menjalani latihan amali di syarikat-syarikat pemula berasaskan teknologi di luar negara sementara menghadiri kuliah di universiti kerabat di bandar-bandar tersebut seperti Universiti Standford California.

Para mahasiswa itu menjalani latihan amali dari jauh semasa mengikuti kursus online yang ditawarkan oleh universiti kerabat sekiranya ada.

NUS menyatakan mahasiswa yang akan membuat perjalanan ke luar negara tidak lama lagi akan dilindungi di bawah dasar insurans perjalanan mahasiswa universiti itu, yang meliputi perbelanjaan bagi rawatan perubatan COVID-19.

Universiti itu juga akan kerap berhubungan dengan mahasiswa ketika mereka berada di luar negara. Ia juga sedang bekerjasama rapat dengan syarikat khidmat kesihatan dan keselamatan, International SOS, untuk menyediakan sokongan kepada sesiapa dalam kalangan mereka seandainya perlu.

NUS dan Universiti Pengurusan Singapura (SMU) menyatakan program pertukaran luar negaranya akan bermula pada Januari tahun depan manakala Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pula menyatakan ia "sedang berusaha" untuk menyambung semula programnya pada Januari juga.

Program-program ini dibuka hanya kepada mahasiswa yang sudahpun lengkap divaksin, tekan SMU dan NUS.

SMU, yang sedang dalam proses menerima dan menilai permohonan, memberitahu Mediacorp bahawa keputusan untuk menyambung semula program pertukaran mahasiswa antarabangsanya dibuat pada minggu kedua Ogos.

Sejak itu, sekitar 800 mahasiswa sudahpun menyerahkan permohonan untuk menjadi sebahagian daripada program tersebut. Lebih 80 peratus daripada universiti kerabat di 45 negara sudahpun menyatakan bahawa mereka terbuka untuk menerima mahasiswa pertukaran, tertakluk kepada syarat-syarat kesihatan dan kawalan sempadan tempatan.

Antara universiti yang bersetuju dengan aturan sedemikian termasuk Universiti Tsinghua di Beijing, Universiti Melbourne di Australia, Universiti Pennsylvania (Sekolah Wharton) di Amerika Syarikat, Universiti Copenhagen di Denmark dan King's College London di United Kingdom (UK).

SMU juga menjangkakan untuk menerima mahasiswa daripada universiti kerabatnya, tambah universiti itu.

Di NUS, sekitar 1,600 mahasiswa sudahpun mendaftarkan diri untuk mengambil bahagian dalam program pertukaran mahasiswa selepas universiti itu memulakan perbincangan dengan universiti-universiti kerabatnya di kira-kira 40 negara untuk menyambung semula program itu pada Januari tahun depan.

Universiti itu juga mula menerima permohonan oleh mahasiswa antarabangsa daripada universiti-universiti rakan kongsinya.

Bagaimanapun, NUS dan SMU menyatakan usaha menyambung semula program pertukaran pada Januari tahun depan masih tertakluk kepada nasihat kesihatan dan perjalanan semasa.

NUS menyatakan: "Memandangkan keadaan pandemik COVID-19 di seluruh dunia kekal tidak menentu, kami akan memantau keadaan dengan rapi dan menyesuaikan program kami mengikut garis panduan dan nasihat perjalanan semasa daripada pihak-pihak berkuasa."

SMU menekankan: "Kesihatan dan keselamatan mahasiswa kekal sebagai keutamaan tertinggi kami. Mahasiswa kami akan dibenarkan untuk melakukan perjalanan hanya ke negara-negara yang dianggap selamat oleh MOH (Kementerian Kesihatan) Singapura pada waktu perjalanan dilakukan."

NTU menyatakan program luar negara secara maya mulai Januari tahun depan kini sedang disemak.

“Pihak universiti sedang memantau keadaan sejagat dan merancang langkah-langkah sewajarnya seiring dengan garis panduan negara untuk memastikan keselamatan serta kesejahteraan mahasiswa kami," menurutnya.

Bagi Universiti Sains Kemasyarakat Singapura (SUSS), program pertukaran dalam negeri dan ke luar negara akan tetap dijalankan secara maya pada permulaan tahun depan, universiti itu memberitahu Mediacorp.

Ia ingin menyambung semula program perjalanan ke luar negara dengan universiti-universiti rakan kongsinya hanya mulai Jun 2022, menurutnya. SUSS menyatakan banyak universiti kerabatnya di rantau Asia-Pasifik terus berhati-hati tentang program pergerakan mahasiswa.

Selain vaksinasi mahasiswa, penyambungan semula program luar negaranya bergantung kepada faktor-faktor seperti penilaian risiko penularan COVID-19 di negara-negara lain serta syarat-syarat kemasukan dan kuarantin, jelas SUSS.

“Kami mengutamakan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat mahasiswa kami, kedua-dua di SUSS dan di universiti-universiti kerabat kami," tambahnya.

Sementara itu, Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) masih dalam proses memuktamadkan rancangan bagi menyambung semula pertukaran antarabangsa.

“Disebabkan keadaan pandemik yang tidak menentu di luar negara, kami akan mengambil pendekatan berhati-hati dan yang teliti dengan menyemak semua program luar negara kami secara terperinci sebelum membuat satu keputusan," jelasnya. 

- TODAY/FZ/fz

Top