Images
  • nus eusoff hall hostel asrama
    Pemandangan asrama Eusoff Hall di Universiti Nasional Singapura. (Gambar: Facebook/NUS Eusoff Hall)

NUS sambut baik inisiatif kesatuan mahasiswa; namun kurang disenangi sesetengah siswa


SINGAPURA: Rancangan yang diusulkan oleh kesatuan mahasiswa untuk melakukan rondaan pada sebelah malam bagi mencegah pengintipan dan 'kelakuan sumbang' di Universiti Nasional Singapura (NUS) dialu-alukan pihak pentadbir universiti minggu ini, tetapi langkah itu tidak disambut baik oleh para mahasiswa.

Presiden Kesatuan Mahasiswa NUS (NUSSU) Encik Benjamin Loo, 25 tahun, berkata, para anggota jawatankuasa eksekutif akan meronda koridor dan kawasan-kawasan awam di asrama-asrama, untuk mencegah kelakuan seperti merokok dan meminum arak dalam kalangan mahasiswa.

Pemeriksaan itu akan dilakukan sepanjang tempoh program suai kenal mahasiswa baru antara Jun hingga minggu kedua Ogos. Pada Rabu (15 Mei), NUS meluluskan rancangan itu.

Dekan Mahasiswa NUS Profesor Madya Peter Pang berkata: "Kami mengalu-alukan inisiatif peringkat mahasiswa oleh NUSSU untuk mengatur pasukan-pasukan peronda untuk menjalankan pemeriksaan semasa tempoh program suai kenal. Keselamatan dan kebajikan mahasiswa tetap menjadi keutamaan NUS."

Inisiatif itu dilancarkan sebulan selepas diadakan perbincangan terbuka setelah mahasiswi Monica Baey mengongsi tentang pengalamannya sebagai mangsa pengintipan menerusi laman Instagram. Sabtu lalu, seorang mahasiswa diberkas kerana didakwa merakam seorang mahasiswi ketika beliau sedang mandi di bilik air asrama.

Ini bukan kali pertama amalan program suai kenal mahasiswa baru NUS menjadi topik perbualan. Pada 2016, NUS menggantung kem-kem dan kegiatan suai kenal menyusuli laporan-laporan yang mendakwa, kegiatan-kegiatan kem tersebut semakin berunsur seksual.

'KAMI SEMUA DEWASA DI SINI'

Kebanyakan mahasiswa yang bercakap dengan Mediacorp tidak bersetuju dengan inisiatif kesatuan mereka itu sambil berkata, pemeriksaan bilik-bilik mereka ibarat kelakuan "menceroboh" dan "keras".

Mahasiswa baru jurusan pengkomputeran Joshua Wong, 21 tahun, berkata, langkah pemantauan berterusan dan memaksa mahasiswa untuk tidur pada waktu malam "rasa seperti dalam tentera" dan akan "merosakkan suasana" kem-kem suai kenal yang bertujuan untuk para mahasiswa saling berinteraksi dan berkenalan.

Encik Ryan Leow, 21 tahun, mahasiswa tahun kedua jurusan undang-undang berkata, pemeriksaan bilik-bilik mahasiswa akan "mencabuli privasi" dan "memupuk budaya menakut-nakutkan". "Penguatkuasaan peraturan adalah satu perkara, tetapi untuk menjadikan NUS sebagai kawasan pengawasan adalah satu perkara yang berbeza sama sekali."

Seorang mahasiswi ilmu kemanusiaan dan sains kemasyarakatan yang ingin dikenali sebagai Tricia, 22 tahun, berkata: "Kami semua dewasa di sini. Ini sebuah universiti. Mengapakah kami dipantau 24/7?"

RESPONS 'REAKTIF' TERHADAP INSIDEN BARU-BARU INI

Meskipun para mahasiswa mengalu-alukan talian bantuan bagi para peserta kem, sesetengah pihak berpendapat rancangan NUSSU untuk meningkatkan tahap keselamatan di kampus merupakan respons 'reaktif' terhadap insiden-insiden baru-baru ini dan ia tidak memanfaatkan sepenuhnya keupayaan kesatuan itu.

Dalam satu catatan Facebook pada Rabu, laman satira online bernama "NUS Students United" menyifatkan usulan kesatuan itu sebagai "tidak dirancang dengan sempurna" dan setakat "usaha yang tidak ikhlas". Kumpulan itu sering mengkritik NUS dan NUSSU, dan dipercayai dikendalikan oleh sebilangan mahasiswa dan siswazah NUS.

"Salah laku seksual semasa program suai kenal adalah isu sosial yang asas: Terdapat tekanan sosial untuk menuruti tanggapan kehidupan mahasiswa yang diterima ramai," kata kumpulan itu.

Kumpulan itu menambah, para mahasiswa mungkin berasa terpaksa mengikut serta walaupun berasa kurang senang, kerana khuatir "akan dipinggirkan sepanjang kehidupan mahasiswa mereka".

Seperti ramai mahasiswa lain, Cik Tricia juga berkata NUSSU patut menumpukan usaha untuk mengingatkan para pemimpin mahasiswa tentang pentingnya untuk mendapatkan izin dan tidak memberi tekanan kepada mahasiswa baru untuk menyertai kegiatan yang kurang disenangi mereka. 

- TODAY/ZM/zm

Top