Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NUS pecat profesor atas gangguan seksual terhadap pelajar

Universiti Nasional Singapura (NUS) pada Selasa (1 Dis) memecat seorang profesor atas kes gangguan seksual terhadap seorang pelajar.

Anggaran Waktu Membaca:
NUS pecat profesor atas gangguan seksual terhadap pelajar

Profesor Theodore Hopf (Gambar: NUS)

Diterbitkan : 01 Dec 2020 02:26PM Dikemas Kini : 01 Dec 2020 02:32PM

SINGAPURA: Universiti Nasional Singapura (NUS) pada Selasa (1 Dis) memecat seorang profesor atas kes gangguan seksual terhadap seorang pelajar.

Aduan tanpa nama dihantar kepada universiti itu pada Ogos yang mendakwa bahawa Profesor Theodore G Hopf, yang disenaraikan di laman web NUS sebagai Ted Hopf, melakukan gangguan seksual terhadap seorang pelajar, kata NUS dalam kenyataan medianya.

Profesor Hopf ialah seorang anggota Jabatan Sains Politik di Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan (FASS).

"Pihak universiti telah segera memulakan siasatan," kata NUS.

Membentangkan urutan peristiwa, NUS menyatakan bahawa arahan tiada hubungan dikenakan ke atasnya pada 15 September, yang melarangnya daripada menghubungi sebarang pelajar NUS. Ini dilakukan selepas temubual dengan pelajar itu dan Prof Hopf.

Dia kemudian digantung tugas dan diarahkan tidak memasuki kampus sedang siasatan dijalankan.

Sebuah jawatankuasa siasatan (COI), yang dilantik pada 7 Oktober, menemubual pelajar tersebut. Pelajar itu ditemani oleh seorang pegawai penjagaan dari Unit Jagaan Mangsa NUS semasa temubual yang diadakan pada 21 Oktober.

Oleh kerana Prof Hopf perlu mendapatkan rawatan untuk "satu keadaan perubatan yang serius", COI menemubualnya pada 13 November selepas cuti perubatannya.

COI menyelesaikan siasatannya dan menyerahkan laporannya kepada pihak universiti pada 18 November.

"COI menentukan bahawa Prof Hopf telah gagal bertindak dengan kesopanan, rasa hormat, dan tata tertib yang dijangkakan daripada seorang kakitangan universiti. Dia telah melakukan gangguan seksual terhadap pelajar itu dalam bentuk fizikal, lisan dan tulisan. Kelakuannya adalah satu pelanggaran serius Kod Tata Laku Kakitangan NUS," menurut universiti itu.

NUS memecat Prof Hopf pada Selasa "kerana kesalahannya adalah serius", tambah universiti itu.

NUS juga telah membuat laporan polis pada 27 November, setelah memaklumkan pelajar itu bahawa universiti tersebut akan melakukannya "selaras dengan kewajipan undang-undangnya", tambah NUS.

"Unit Jagaan Mangsa dan FASS telah menyediakan jagaan dan sokongan kepada pelajar tersebut sejak dakwaan tersebut pertama kali dimaklumkan kepada Universiti, dan akan terus melakukan sedemikian."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan