Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NUS, NTU, SMU batalkan program pertukaran siswa ke Hong Kong

Tiga universiti awam utama Singapura menghentikan program pertukaran siswa dengan universiti Hong Kong berikutan nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA) supaya menangguhkan perjalanan "tidak penting" ke bandar itu.

Anggaran Waktu Membaca:
NUS, NTU, SMU batalkan program pertukaran siswa ke Hong Kong

Polis bersenjata mengawasi dewan pelepasan lapangan terbang Hong Kong selepas pertembungan dengan para penunjuk perasaan pada 13 Ogos 2019. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 20 Aug 2019 08:38AM Dikemas Kini : 20 Aug 2019 08:40AM

SINGAPURA: Tiga universiti awam utama Singapura menghentikan program pertukaran siswa dengan universiti Hong Kong berikutan nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA) supaya menangguhkan perjalanan "tidak penting" ke bandar itu.

Para mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Pengurusan Singapura (SMU) menerima kiriman emel yang memaklumkan mereka tentang perubahan rancangan, dengan nasihat MFA tersebut turut dilampirkan atau dinyatakan dalam makluman itu.

Dalam emelnya kepada para mahasiswa, NUS menyatakan ia "dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE)" untuk menangguhkan program pertukaran ke Hong Kong bagi penggal ini.

Para siswa NTU juga menerima emel serupa yang menyatakan bahawa "semua program pertukaran dan lawatan ke Hong Kong akan digantung dengan serta merta sehingga notis selanjutnya".

Minggu lalu, Mediacorp melaporkan NUS dan NTU sebagai menyatakan bahawa sebilangan kecil siswa mereka menarik diri daripada menjalani program pertukaran ke Hong Kong manakala SMU pula menyatakan tiada mahasiswanya yang membatalkan lawatan mereka ke sana walaupun bandar itu sedang mengalami pergolakan.

Laporan itu menarik perhatian ramai pembaca yang mengatakan bahawa universiti dan MOE seharusnya menghentikan semua program pertukaran ke Hong Kong sehingga ketegangan reda.

Selama lebih dua bulan, bantahan terhadap pemerintah terus diadakan di Hong Kong dengan pertempuran antara para penunjuk perasaan dengan polis serta kebimbangan baru-baru ini mengenai tindakan keras oleh pihak berkuasa China.

Bantahan itu bermula sebagai demonstrasi aman terhadap undang-undang yang disarankan untuk membenarkan ekstradisi ke tanah besar China, di mana mahkamah akan cuba mendakwa para penjenayah. Rang undang-undang tersebut kemudiannya digantung buat tempoh yang tidak ditetapkan tetapi bantahan masih berterusan, dengan ramai yang menyeru supaya diadakan lebih banyak penyusunan semula demokrasi dan pembaharuan politik.

Bercakap tentang pembatalan program pertukaran, para mahasiswa yang terjejas berkata keprihatinan paling utama mereka adalah bagaimana untuk meneruskan pelajaran semasa penggal di kampus.

Seorang mahasiswa NUS yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Tham berkata bahawa universiti itu cuba memasukkan para siswa terjejas ke dalam baki kelas yang masih ada bagi modul yang mereka duduki penggal ini.

Di NTU, mahasiswa Samuel Lee juga berkata pihak universiti sedang mencuba untuk menyertakan para siswa terjejas ke dalam kelas.

Mahasiswi SMU, Jolene Tan pula bekata beliau tidak menerima jadual kuliahnya dan bahan bacaan untuk kursus walaupun penggal sudah bermula. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan