Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NUS, NTU duduki tangga ke-11 Ranking Universiti Dunia QS 2020

Univerisiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berkongsi tempat di tangga ke-11 terbaik, dalam edisi terkini Rangking Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Jun 2019 07:12PM Dikemas Kini : 19 Jun 2019 09:52PM

SINGAPURA: Univerisiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berkongsi tempat di tangga ke-11 terbaik, dalam edisi terkini Rangking Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS), mengatasi beberapa institusi terkemuka Amerika seperti Universiti Princeton (13) dan Universiti Cornell (14) dan Universiti Yale (tangga 17).

Edisi 2020 ranking QS, yang menyenaraikan 1,000 universiti terbaik di dunia, dikeluarkan pada Rabu (19 Jun). Institut Teknologi Masssachusetts (MIT) berada di tangga pertama, dengan Stanford (2), Harvard (3) dan Oxford (4) menyusul di belakangnya.

NTU terus mencatat kemajuan apabila ia melonjak satu tangga ke atas, berbanding tangga ke-12 pada tahun lalu.

NUS pula mengekalkan kedudukan yang diperolehi tahun lalu iaitu tangga ke-11.

Kedudukan tersebut juga sekali gus menjadikan NUS dan NTU universiti terbaik Asia dalam ranking terbaru QS. Universiti Tsinghua China (tangga 16)menyertai kedua-dua institusi itu sebagai antara 20 universiti terunggul di dunia.

"Kedudukan sejagat menakjubkan yang diiktiraf ke atas universiti-universiti tempatan kami membuktikan mutu sistem pendidikan tinggi di Singapura," menurut seorang jurucakap NUS dalam kenyataan medianya.

Gambar fail NUS. 

Dalam kenyataan medianya pula, QS menyatakan kalangan ahli akademik dan majikan di NUS mempunyai reputasi lebih baik berbanding NTU. Sebaliknya pula, NTU lebih baik dari segi saiz kelas yang lebih kecil dan kesan kajian lebih besar.

"Kedua-dua universiti terbaik di Singapura adalah peran contoh untuk kecemerlangan pendidikan tinggi: piawaian akademik yang tinggi, pandangan antarabangsa tinggi dan kelas kecil yang direka untuk memudahkan pengajaran sekali gus mewujudkan golongan pemikir kritis yang mempunyai kebolehan bekerja tinggi," jelas Pengarah Kajian QS, Ben Sowter.

Encik Sowter juga menarik perhatian bahawa kedua-dua NUS dan NUS menerima markah lebih rendah tahun ini bagi nisbah antara fakulti dengan pelajar serta nisbah pelajar antarabangsa mereka.

Beliau memberi amaran: "Usaha mesti dilakukan untuk memastikan universiti-universiti negara tidak mengalami tekanan kapasiti pengajaran yang sama dengan Eropah dan Australia."

Dalam kenyataannya, NTU menyatakan pasukan kepimpinan barunya di bawah Presiden Profesor Subra Suresh menyelia pengambilan bakat terbaik sepanjang tempoh satu setengah tahun lalu.

NTU menambah program Zamil Pasca Kedoktoran Presiden universitinya, yang dilancarkan pada 2018, menarik permohonan daripada hampir 900 orang muda dari institusi-institusi terbaik merata dunia untuk 12 jawatan tahun ini.

Universiti Pengurusan Singapura (SMU) adalah satu-satunya universiti tempatan lain yang meraih kedudukan dalam ranking QS itu. Ia menduduki tempat ke-477, naik 23 tangga dari ranking sebelumnya yakni 500 pada 2019.

(Gambar: Vasily Koloda/Unsplash menerusi TODAYonline)

Ranking Universiti Terbaik QS menyenaraikan dan meninjau lebih 94,000 ahli akademik serta 44,000 majikan bagi menyenaraikan universiti-universiti terbaik di dunia dari 82 negara.

Ia dinilai berdasarkan enam indikator atau kriteria - reputasi akademik, reputasi majikan, petikan setiap fakulti, nisbah fakulti-pelajar, perkadaran fakulti antarabangsa dengan pelajar antarabangsa. 

UNIVERSITI MALAYSIA SABAH TERSENARAI BUAT JULUNG KALI

Sementara itu, di negara jiran pula, Universiti Malaya menduduki tangga ke-70 dan adalah yang terbaik dari kalangan universiti-universiti Malaysia.

Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencipta sejarah baru apabila buat pertama kalinya tersenarai dalam Rangking Universiti Dunia QS 2020 dengan kedudukan 801.

Naib Canselor UMS Prof Dr D Kamarudin D Mudin berkata pencapaian itu adalah kejayaan terbaik dan amat membanggakan apatah lagi ia dicapai semasa ulang tahun ke-25 UMS.

UMS ditubuhkan pada November 1994 dan universiti berkenaan akan menyambut Jubli Perak pada tahun ini.

"Ini adalah hasil kerja keras, dedikasi dan ketabahan semua warga universiti khususnya dalam kalangan kakitangan akademik. Ini merupakan satu langkah ke hadapan untuk merealisasikan visi UMS iaitu menjadi sebuah universiti berinovatif bertaraf dunia," katanya hari ini (19 Jun).  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan