Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NUS lancarkan bangunan penggunaan sifar tenaga bersih

Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) pada Rabu (30 Jan) merasmikan bangunan penggunaan sifar tenaga baru di Sekolah Reka Bentuk dan Sekitaran.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Jan 2019 09:07PM Dikemas Kini : 30 Jan 2019 09:16PM

SINGAPURA: Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) pada Rabu (30 Jan) merasmikan bangunan penggunaan sifar tenaga baru di Sekolah Reka Bentuk dan Sekitaran.

Ini bermakna bangunan tersebut hanya menggunakan tenaga sebanyak jumlah yang dijana di tapak itu seperti menerusi penggunaan panel suria. Diberi nama SDE4, ia dikatakan bangunan tenaga sifar bersih pertama di Singapura yang dibina dari awal mula.

Bangunan setinggi enam tingkat itu menampilkan beberapa ciri reka bentuk mampan seperti pemasangan bumbung suria, sistem penyejuk hibrid dan bumbung bergantung besar.

1,225 panel suria yang dipasang boleh menjana lebih 500 megawat jam tenaga setahun - cukup untuk dibekalkan kepada 1,500 flat tiga bilik untuk lebih sebulan.

Bumbung besar yang bergantung juga melindungi bangunan daripada panas terik matahari. Untuk menguruskan penggunaan tenaga, sebuah sistem penyejuk hibrid juga dipasang untuk memastikan ruang-ruang tidak terlalu sejuk.
​​​​​​​
"Bilik-bilik dalam bangunan disalurkan udara sejuk yang suhu serta tahap kelembapannya lebih tinggi berbanding sistem penghawa dingin biasa," menurut NUS.

"Kipas siling menghasilkan aliran udara dingin untuk menyediakan suasana selesa yang lebih baik daripada ruang-ruang terlalu sejuk.

"SDE4 adalah contoh bagi industri bangunan untuk mencapai piawai prestasi lebih tinggi dan menyepadukan teknologi boleh diperbaharui," kata presiden NUS Tan Eng Chye. "Para penuntut kami yang belajar dalam bangunan ini dapat meraih manfaat rekaan bangunan yang berpusatkan manusia."

Berucap di pembukaan SDE4, Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata bangunan sedemikian memainkan peranan dalam perubahan iklim. Sektor bangunan menyumbang kepada seperempat pengeluaran karbon di Singapura, kata beliau.

"Kita menjadikan bangunan hijau sebagai satu keutamaan untuk menangani perubahan iklim. Buat masa ini, sekitar 36 peratus bangunan kita cekap tenaga. Kami bercadang untuk meningkatkannya kepada 80 peratus menjelang 2030," kata Encik Heng, yang juga pengerusi Yayasan Penyelidikan Kebangsaan (NRF).

Beliau menambah, Singapura mesti terus memanfaatkan teknologi dan memacu inovasi untuk meningkatkan sekitaran kehidupan.

"Natijahnya, bangunan-bangunan kita mestilah lebih daripada sekadar batu bata," kata Encik Heng. "Ia mesti tertumpu kepada manusia dan menggalakkan interaksi di kalangan penghuninya dan memperbaiki kemaslahatan mereka."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan