Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NUS hentikan semua projek dengan bekas NMP Viswa Sadasivan berikutan tuduhan gangguan seksual

Universiti Nasional Singapura (NUS) pada Sabtu (20 Februari) menyatakan ia telah menghentikan semua projek dengan bekas Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Viswa Sadasivan, dan syarikatnya Strategic Moves ekoran dakwaan berlakunya gangguan seksual yang dibuat oleh dua wanita terhadapnya.

Anggaran Waktu Membaca:
NUS hentikan semua projek dengan bekas NMP Viswa Sadasivan berikutan tuduhan gangguan seksual

Viswa Sadasivan. (Gambar: YouTube/NUSS)

Diterbitkan : 20 Feb 2021 11:16PM Dikemas Kini : 20 Feb 2021 11:32PM

SINGAPURA: Universiti Nasional Singapura (NUS) pada Sabtu (20 Februari) menyatakan ia telah menghentikan semua projek dengan bekas Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Viswa Sadasivan, dan syarikatnya Strategic Moves ekoran dakwaan berlakunya gangguan seksual yang dibuat oleh dua wanita terhadapnya. Encik Viswa juga mengundurkan diri sebagai anggota Lembaga Penasihat Alumni NUS, kata universiti itu dalam kiriman e-mel kepada anggota alumni pada Sabtu malam.

Pengumuman NUS itu dibuat setelah dua wanita, pelawak Sharul Channa dan penyelidik kedoktoran Kiran Kandade, mendakwa awal bulan ini bahawa Encik Viswa telah membuat komen yang tidak sesuai secara seksual kepada mereka dalam sekitaran profesional.

"NUS memandang serius sebarang tingkah laku atau tindakan tidak sopan dan merendahkan individu, tanpa mengira kaum, jantina, agama atau usia," kata NUS dalam e-melnya. Ia menyatakan kejadian antara Encik Viswa dan Cik Sharul berlaku semasa siri temubual online bertajuk Inconvenient Questions.

Encik Viswa merupakan hos rancangan tersebut. "Siri ini adalah kerjasama antara Strategic Moves dan Persatuan Universiti Nasional Singapura (NUSS) - sebuah kelab siswazah dan persatuan berdaftar yang merupakan entiti bebas dan berasingan dari universiti," tambah NUS, tanpa menyatakan projek yang dilakukan bersama universiti itu dengan Encik Viswa dan syarikatnya.

Mediacorp sudah menghubungi Encik Viswa dan NUS untuk mendapatkan kenyataan lanjut.

Dalam satu catatan Facebook pada 4 Februari, Cik Sharul menceritakan bahawa Encik Viswa bertanya mengapa beliau memakai kerongsang mawar, yang mana pelawak itu menjawab bahawa ia adalah untuk mengalihkan perhatian orang dari corak pakaiannya. Menurut Cik Sharul, Encik Viswa kemudian menjawab: "Perhatian kita lebih terganggu jika anda hanya pakai mawar itu sahaja". Cik Sharul berkata beliau "terkejut" dengan kata-kata sindiran yang "tidak wajar dan menyinggung perasaan". Tambahnya Encik Viswa kemudian "meminta maaf " kepadanya melalui e-mel kerana "menyebabkan rasa tidak selesa, tersinggung atau terkesan, walaupun ia tidak disengajakan".

Menjawab catatan Cik Sharul, Cik Kiran menulis di bahagian komen mengenai pengalaman beliau sebelum ini dengan Encik Viswa pada Mac 2016.

Beliau memuat naik petikan skrin perbualan WhatsApp di antara mereka, yang mana Encik Viswa bertanya kepada Cik Kiran jika "cadangannya untuk mencium (Cik Kiran)" telah menyinggung perasaannya. Persatuan Wanita Bagi Tindakan dan Kajian (AWARE) pada 7 Februari menyatakan sokongannya kepada kedua-dua wanita itu dan meminta Encik Viswa supaya bersuara menentang mereka yang menyerang wanita tersebut kerana bersuara.

Ketika dihubungi ketika itu, Encik Viswa merujuk Mediacorp kepada komen yang ditulisnya di catatan Facebook AWARE. Dalam jawapannya, beliau berkata kejadian itu "menjadi satu pengalaman pengajaran".  

Sumber : CNA/SU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan