Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nurul 'Izzah Zaini antara 3 pelajar terbaik GCE O di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah

Sebanyak 240 calon dari lima madrasah sepenuh masa menduduki peperiksaan GCE O tahun lalu, menurut MUIS.

Anggaran Waktu Membaca:
Nurul 'Izzah Zaini antara 3 pelajar terbaik GCE O di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah

Antara pelajar terbaik Madrasah Wak Tanjong bagi peperiksaan GCE O Nurul 'Izzah Zaini. (Gambar: MUIS)

BERITAmediacorp: Sebanyak 240 calon dari lima madrasah sepenuh masa menduduki peperiksaan GCE O tahun lalu, menurut MUIS.

Persiapan menjelang peperiksaan GCE O di tengah-tengah pandemik COVID-19 memang amat mencabar.

Suasana pembelajaran yang tiba-tiba berubah hanya tiga bulan selepas penggal persekolahan dimulakan pada tahun lalu, memaksa para pelajar, khususnya yang akan menduduki peperiksaan nasional untuk berusaha sedaya upaya dan bertawakkal.

Itulah juga yang dilakukan pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah (MWTI), Nurul 'Izzah Zaini, yang menduduki peperiksaan GCE O pada tahun lalu.

Semasa pengumuman dibuat pada Isnin (11 Jan), bagi tiga pelajar yang meraih keputusan terbaik dalam peperiksaan itu, Nurul 'Izzah begitu terkejut, apabila namanya terpampang pada skrin di dewan di mana para pelajar menerima keputusan mereka.

'Izzah meraih keputusan enam A1 dan satu A2.

"Alhamdulillah, memang tak sangka sangat. Memang tahun ini peperiksaan GCE O agak mencabar, agak susah dengan pandemik ini. Tak dapat ke sekolah, belajar di rumah, bila buat persiapan banyak anasir-anasir yang buat saya terlepas fokus dalam pelajaran. Jadi memang saya anggap persiapan tak cukuplah untuk dapatkan semua A," cerita 'Izzah kepada BERITAmediacorp.

Sedang dia menahan airmata dan cuba meyakinkan dirinya bahawa keputusan cemerlang itu nyata miliknya, timbul rasa terhutang budi dan terima kasih yang tidak terhingga kepada para guru dan kawan-kawan yang tidak putus-putus mengucapkan tahniah.

"Waktu itu memang sejujurnya saya tak fikirkan usaha saya selama ini. Saya memang terhutang budi sebenarnya kepada orang-orang yang berada dalam dewan itu.

"Kirakan perasaan terhutang budi kepada mereka (guru-guru dan kawan-kawan seperjuangan) itu jauh lebih besar berbanding rasa bangga saya pada diri sendiri," luah 'Izzah.

Nurul 'Izzah Zaini bersama ibunya, Mariam Sukardi. (Gambar: MUIS)

Nurul 'Izzah bersama ibunya, Mariam Sukardi. (Gambar: MUIS)

ALAMI TEKANAN JELANG PEPERIKSAAN GCE O

Menceritakan pengalaman mengharungi tahun 2020 sedang dia mempersiap diri untuk menduduki peperiksaan besar itu, 'Izzah mendedahkan ada ketika dia mengalami 'mental breakdown' atau tekanan.

"Saya lebih senang belajar dalam suasana yang selesa untuk belajar dan orang-orang sekeliling pun belajar. Di sekolah saya boleh berikan tumpuan 100 peratus sebab memang ada guru, ada suasananya dan jadual pun dah ditetapkan.

"Tapi di rumah semasa HBL memang saya susah sangat nak lakukan ulangkaji, lebih banyak belajar. Duduk depan komputer satu hari pada saya sangat meletihkan. Di rumah pun dikelilingi dengan banyak benda seperti telefon bimbit dan televisyen. Memang susah untuk dapatkan motivasi untuk mula ulangkaji," ujar 'Izzah, anak bongsu empat beradik.

Tiga abangnya yang kini menuntut di universiti-universiti luar negara juga merupakan bekas pelajar Madrasah Wak Tanjong.

Mujur, keluarga 'Izzah banyak memberikan sokongan.

Ternyata usaha 'Izzah sendiri memaksa dirinya untuk melawan gangguan-gangguan di sekitarnya demi untuk belajar dan mencapai keputusan yang terbaik membuahkan hasil.

Lebih manis lagi, keputusan peperiksaan GCE O 'Izzah adalah yang terbaik dalam kalangan adik beradiknya.

"Keluarga sangat bangga sebab saya anak terakhir dalam keluarga dan saya berjaya tamatkan tempoh pembelajaran kami adik beradik di madrasah ini dengan keputusan yang cemerlang," kata 'Izzah.

Para pelajar Madrasah Wak Tanjong yang menerima keputusan GCE O pada 11 Jan 2021. (Gambar: MUIS)

Para pelajar Madrasah Wak Tanjong yang menerima keputusan GCE O pada 11 Jan 2021. (Gambar: MUIS)

'IZZAH PELAJAR TERBAIK PSLE JUGA

Berkongsi langkah seterusnya yang ingin diambil, 'Izzah tidak memandang terlalu jauh. 'Izzah menyifatkan dirinya sebagai seorang yang mengambil 'one step at a time' (selangkah demi selangkah.

Dalam masa terdekat ini, 'Izzah akan meneruskan pengajiannya di peringkat prauniversiti di Madrasah Wak Tanjong selama dua tahun dan berazam untuk sekali lagi meraih keputusan yang baik dalam peperiksaan GCE A nanti.

"Keputusan saya hari ini, seolah-olah membuka luas pintu segala potensi untuk diri saya. Macam 'wah! 'Izzah boleh'"

"Selama ini memang banyak sangat kesusahan, banyak sangat benda-benda yang boleh bawa saya kebelakangan dari terus ke depan tapi Alhamdulillah saya berjaya atasinya," kata 'Izzah.

'Izzah juga merupakan pelajar terbaik bagi keputusan PSLE di madrasahnya empat tahun lalu dan pernah menerima biasiswa MWTI.

'Izzah yang juga pengawas di madrasahnya, sentiasa konsisten dalam memastikan pencapaian akademiknya cemerlang sejak dari Darjah 1 lagi.

"Motivasi saya lebih kepada mendisiplinkan diri sendiri. Semasa tempoh COVID-19 tahun lalu, saya rasa macam persiapan saya tidak mencukupi, tetapi oleh kerana saya enggan kecewakan diri sendiri, saya berkata kepada diri saya bahawa saya perlu terus mengulang kaji sekarang," tambah 'Izzah.

Seramai 240 pelajar dari enam madrasah sepenuh masa di Singapura menduduki peperiksaan GCE O tahun 2020, menurut Majlis Ugama Islam (MUIS). 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan