Images

Nur Nadirah Friday terpaksa belajar di koridor luar rumah 10 jam sehari, demi kejar ijazah

BERITAmediacorp: Semasa pemerintah mengumumkan penguatkuasaan langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 atau ‘circuit-breaker’ (CB), seorang mahasiswa universiti bernama Nur Friday amat terjejas.

Manakan tidak, keluarganya yang seramai enam anggota menetap di rumah flat sewa dua bilik. Keluasannya hanya 45 meter persegi. Kesemua mereka juga perlu belajar dan bekerja dari rumah. Mana yang hendak mengikuti kuliah secara online, mana yang hendak membuat panggilan bagi mesyuarat kerja. Memang, keadaan itu agak huru-hara!

Selain ruang yang begitu terbatas di dalam rumah, mereka juga berdepan cabaran seperti talian internet yang terputus-putus.

Disebabkan semangatnya cukup kental mahu belajar dan mahu menggenggam segulung ijazah, Nur Friday mengangkut sebuah meja kecil dan kerusi ke koridor luar rumahnya. Di koridor tempat orang lalu lalang itulah gadis ini menjadikannya ruang belajar dan bekerja. Di koridor itu jugalah dia duduk menelaah pelajarannya sehingga 10 jam setiap hari! Cukup luar biasa.

Rasa malu diketepikan demi buku dan ilmu. Dia jelas berjuang melawan arus demi masa depan yang lebih cerah.


(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Keadaan itu membuatkan Nur Friday terfikir tentang nasib para mahasiswa lain yang mungkin senasib dengannya. Dia kemudian mengambil langkah untuk menulis kepada pihak universitinya untuk mengadu nasib.

Ternyata, pintu rahmat terbuka. Universitinya menjawab dengan membuka bilik di kampus kepada Nur Friday untuk digunakan sebagai ruang belajar. Malah sekitar 20 mahasiswa lain juga diundang sama!


Nur Nadirah Friday, mahasiswa SUSS. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

JIRAN-JIRAN BERTENGKAR

Menceritakan tentang suasana bersesak-sesak dan mencabar yang dilaluinya semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 (CB) itu, Nur Friday atau nama penuhnya Nur Nadirah Friday, berkata mereka sekeluarga berasa “seolah-olah terperangkap” dalam rumah sendiri.

“Saya seorang yang belajar lebih khusyuk bila semua tak macam terlalu bising. Jadi kalau saya nak belajar untuk peperiksaan, memang sukar. (Kalau) bukan adik-beradik saya yang bising, jiran (pula) yang buat bising. Jiran saya banyak yang bertengkar dengan satu sama lain. Ia bukan keadaan yang senang untuk semua orang.

“Saya faham memang sukar juga untuk adik-beradik saya. Mereka ada suarakan kemarahan sedikit. Selepas itu ibu saya sarankan mungkin lebih baik kita berunding sama-sama apa yang lebih baik untuk semua orang,” cerita Nur Friday, 27 tahun.


Meja belajar Nur Friday semasa tempoh 'circuit-breaker'. (Gambar: Nur Friday)

Sejak itu, mahasiswa bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) itu menghabiskan hampir separuh hari di koridor untuk melaksanakan tugasan sekolah dengan aman.

“Kadang-kadang pukul 12.00 tengah hari sampai pukul 3.00 petang (di koridor). Selepas itu masuk rumah caj komputer riba. Kemudian keluar lagi belajar sampai pukul 3.00 pagi, 4.00 pagi, 5.00 pagi,” cerita Nur Friday.


Meja belajar Nur Friday semasa tempoh 'circuit-breaker'. (Gambar: Nur Friday)

Nur Friday menambah, dia bertanya kepada kawan-kawannya untuk mengetahui bagaimana mereka belajar di rumah ketika CB. Ternyata, ramai yang meluahkan rasa tertekan kerana keadaan di rumah tidak sesuai.

“Saya terfikir pula tentang pelajar-pelajar lain yang dalam keadaan sama macam saya dan kesukaran yang mereka lalui. Jadi saya tulis kepada universiti mewakili para pelajar lain juga untuk mendapatkan ruang untuk belajar dalam tempoh CB,” ujar Nur Friday.


(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

KIRIMAN EMEL NUR FRIDAY ‘BUKA PINTU’ UNIVERSITI KEPADA MAHASISWA LAIN

Langkah itu membuahkan hasil dan beliau diberikan sebuah bilik di kampus untuk belajar. Malah, permintaan Nur Friday itu membuatkan pihak SUSS mengambil tindakan untuk menyediakan ruang belajar yang selesa bagi para mahasiswa lain yang juga senasib.

“Saya tahu saya bukan seorang yang rasa begini. Saya rasa banyak lagi murid-murid lain yang berasa begini juga tapi mungkin mereka tidak tahu bagaimana hendak bersuara. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku. Tapi saya tahu ia amat penting kalau kami ada sesuatu yang kami mahu bersuara, kami tahu bila untuk bersuara dan bersuara dengan tertib,” kata Nur Friday.


Pintu bilik belajar yang disediakan SUSS siap dengan nama Nur Friday. (Gambar: Nur Friday)

Nur Friday memberitahu BERITAmediacorp, selepas kiriman emelnya itu SUSS membuka pintu kepada sekitar 20 mahasiswa kesemuanya pada waktu itu. Langkah pihak universiti itu sesuatu yang amat melegakan, lebih-lebih lagi kerana peperiksaan menjelang dalam bulan kedua CB.

“Bila saya menulis kepada pihak universiti saya tidak sangka yang mereka boleh kasi saya tempat yang sesuai. Universiti tahu situasi saya dan mereka bekerja keras untuk memberi saya kemudahan itu.

“Saya rasa saya kena bekerja lebih keras dan saya kena ekspresikan kepada universiti yang saya amat hargai mereka punya usaha untuk saya dengan pelajar-pelajar lain yang berdepan keadaan saya macam saya,” kongsi Nur Friday lagi kepada kami.


Ruang belajar di SUSS. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

“MINTA BANTUAN, JANGAN MALU” - NUR FRIDAY

Kini, walaupun pihak universiti masih menawarkan ruang belajar di kampus selepas tempoh CB, Nur Friday tidak tergopoh-gopoh mengambilnya.

“Saya tidak ambil sebab ruangnya terhad. Memandangkan adik-beradik saya semua sudah boleh mula keluar bekerja, saya belajar di rumah sahaja. Lagipun saya okay sahaja belajar di koridor. Saya mahu beri peluang mahasiswa lain pula. Mereka yang mungkin lebih memerlukan ruang itu daripada saya,” kata Nur Friday.

Beliau juga mempunyai nasihat kepada mereka yang sedang berdepan kesukaran dalam bentuk apa sekalipun pun: “Kalau anda perlu meminta bantuan, bertanyalah. Minta bantuan jangan malu. Minta bantuan tapi jangan berasa anda memang ‘entitled’ (berhak) mendapatkan bantuan itu. Minta dengan tertib dengan rendah diri dan orang akan bantu”.


Meja belajar Nur Friday di SUSS semasa tempoh CB. (Gambar: Nur Friday)

BERTEKAD JADI SUARA BAGI GOLONGAN KURANG BERNASIB BAIK

Nur Friday, merupakan anak kedua daripada lima adik beradik. Mereka bersama ibu, Norrel Husseaine, terpaksa menetap di rumah sewa selepas Allahyarham bapanya meninggal dunia akibat barah limfoma 20 tahun lalu.

Sejak itu, keluarganya dibelenggu masalah kewangan dan ibunya terpaksa keluar bekerja untuk menanggung anak-anak.

Pada 2009 ibunya hilang pekerjaan disebabkan krisis kewangan global. Akibatnya Nur Friday serta adik beradiknya terpaksa mula bekerja sambilan sejak di sekolah menengah lagi.


(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Melihatkan anak-anak terpaksa berdepan kesulitan untuk belajar dan bekerja, lebih-lebih lagi Nur Friday yang berjam-jam lamanya di koridor rumah setiap hari, Cik Norrel pada mulanya berasa serba salah.

“Saya beritahu ibu saya belajar di luar. Sebagai seorang ibu dia rasa tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik sebab kesian anak kena belajar di luar, anak-anak lain pula belajar dalam rumah. Tapi saya bilang ibu saya ini bukan salah beliau,” cerita Nur Friday jujur.

Sepanjang wawancara bersama Nur Friday, jelas sekali pancaran keperibadian matang dan daya bingkas anak muda ini.

Pengalaman hidupnya yang dahulu senang secara tiba-tiba berubah 180 darjah selepas pemergian arwah bapa tersayang. Namun kata-kata semangat yang kerap meniti dari bibir ibunya buat Nur Friday adik-beradik, berjaya membentuk jiwa-jiwa kental yang tidak mudah berputus asa.

Malah, kesukaran hidupnya itulah yang membuatkan Nur Friday bertekad menjadi suara kepada orang-orang lain yang senasib atau lebih teruk lagi daripada dirinya.

“Apa yang saya boleh buat ialah untuk bersuara untuk orang-orang lain yang berdepan keadaan serupa dengan saya sebab walaupun saya ada kesukaran, saya ada pihak universiti untuk menyokong saya. Tapi jiran-jiran saya yang duduk (rumah sewa) seakan tidak dapat akses itu,” kata Nur Friday, yang mahu menyumbang kembali kepada masyarakat kurang bernasib baik kelak. 

- BERITAmediacorp/nk

Top