Images
  • alyssa1
    Nur Alyssa, kanak-kanak Sindrom Down yang belajar di sekolah aliran biasa, bersama guru bimbingannya, Cik Siti Arzianita A’pai.

Nur Alyssa antara kanak-kanak Sindrom Down tunjuk potensi menggalakkan di sekolah aliran biasa

BERITAmediacorp: Seperti kanak-kanak sembilan tahun lain, Nur Alyssa Azli juga mempunyai hobi dan aktif menyertai kegiatan luar darjah.

Malah, antara kegemarannya termasuk bermain bola sepak bersama abangnya dan menari di sekolah.

"Hanya tarian dan muzik dalam bilik berhawa dingin, ikut gerak-geri, ia amat menyegarkan," ujar Alyssa sambil tersenyum.

Kegiatan-kegiatan seperti ini mungkin dianggap aktiviti biasa bagi kanak-kanak seusianya, namun bagi Alyssa, ini adalah kejayaan-kejayaan kecil yang berjaya dikecapinya.

Ini kerana Alyssa mengalami Sindrom Down sejak kecil lagi. Beliau juga antara kanak-kanak istimewa yang berhasil menunjukkan potensi menggalakkan di sekolah aliran biasa.

DIBIMBING GURU KHAS DALAM SEKOLAH ALIRAN BIASA

Pelajar Darjah 3 di Sekolah Rendah Opera Estate ini salah seorang penerima bantuan atau klien di bawah Program Sokongan bagi Memudahkan Integrasi (IFSP) Persatuan Sindrom Down (DSA) sejak prasekolah lagi.

Alyssa malah dibimbing dari segi kemahiran sosial, komunikasi dan kognitif oleh guru pendidikan khas IFSP, Cik Siti Arzianita A’pai semasa di dalam kelas.


Namun, Cik Siti, 39 tahun, akur masih wujud tanggapan salah kanak-kanak Sindrom Down ini "tidak boleh belajar, degil dan pemalas", meskipun mereka sebenarnya memerlukan "sedikit masa" untuk menangkap sesuatu konsep.

"Pada guru, budak ini mungkin malas atau tak nak dengar arahan, sebenarnya mereka cuba memproses apa arahan yang diberi oleh guru kerana guru memberi terlalu banyak arahan.

"Untuk pelajar Sindrom Down ini, mereka harus mengambil satu persatu, mereka akan cuba menjadikannya lebih mudah, jadi itu yang membuat mereka duduk dan berfikir sejenak apa yang harus mereka lakukan," jelas Cik Siti, yang mempunyai pengalaman 12 tahun sebagai guru di sekolah aliran biasa.

MASYARAKAT PERLU SOKONG, SABAR

Mendorong masyarakat menerima dan memberi sokongan kepada kanak-kanak Sindrom Down di sekolah sekular tetap merupakan cabaran terbesar kata Cik Siti.

Ini termasuk membantu kanak-kanak ini menyesuaikan diri ke dalam sekolah aliran biasa.

Ibu Alyssa, Cik Nur Ilyana Mohd Ali bagaimanapun akur cabaran yang dihadapi di sekolah biasa dapat diatasi dengan sifat sabar terhadap kanak-kanak seperti Alyssa.


"Dalam saya mendidiknya, perlu ada banyak kesabaran dan berulang-ulang, jadi untuk mengajar satu topik itu kena diberikan masa jadi dia boleh tangkap apa yang diajarkan.

"Jika mereka tidak bagus dalam satu bidang, mereka insya-Allah akan bagus dalam bidang-bidang yang lain," kongsi Cik Ilyana, 40 tahun.

Namun, Cik Ilyana melahirkan harapan kanak-kanak istimewa dapat meraih hak belajar yang sama, seperti kanak-kanak lain.

"Saya harap keluarga yang ada anak-anak yang mengalami Sindrom Down ini akan memberi mereka peluang untuk belajar di sekolah-sekolah biasa seperti Alyssa," katanya ringkas.


(Gambar-gambar: Ira Musfirah)

AGAR GENERASI AKAN DATANG DIPUPUK DENGAN SIFAT IHSAN

Jelas, dedikasi dan kesabaran penting dalam menggalak pembelajaran kanak-kanak Sindrom Down secara keseluruhannya.

Yang tinggal hanya penerimaan, kesedaran dan toleransi terhadap kanak-kanak Sindrom Down bagi terus membolehkan mereka berinteraksi dan bergaul seperti biasa dalam masyarakat majmuk di negara ini.

"Kalau masyarakat lebih menerima (kanak-kanak Sindrom Down), ia akan menjadikan Singapura tempat yang lebih baik lagi untuk didiami. Bukan sahaja kita boleh hidup dengan lebih baik, generasi akan datang juga akan memiliki lebih sifat ihsan kepada orang lain," kata Cik Siti. 

- BERITAmediacorp/im

Top