Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nur Aishah diiktiraf SCDF kerana selamatkan nyawa pak cik 69 tahun di Yew Tee Point

Awalnya Cik Nur Aishah Mohamed Roslan hanya diberitahu seorang pekerja pembersihan terjatuh di tandas tingkat satu Yew Tee Point.

Anggaran Waktu Membaca:
Nur Aishah diiktiraf SCDF kerana selamatkan nyawa pak cik 69 tahun di Yew Tee Point

Cik Nur Aishah Mohamed Roslan terima pengiktirafan dari SCDF kerana bantu selamatkan nyawa seorang warga emas. (Gambar: SCDF)

SINGAPURA: Awalnya Cik Nur Aishah Mohamed Roslan hanya diberitahu seorang pekerja pembersihan terjatuh di tandas tingkat satu Yew Tee Point.

Sudah sekitar jam 8.00 malam pada hari itu (12 Sep) dan pegawai khidmat pelanggan berusia 30 tahun berkenaan sedang bersiap-siap untuk menyelesaikan tugasnya setelah bekerja hampir 12 jam.

"Saya tidak menjangkakan apa-apa (yang serius). Saya hanya ambil 'walkie-talkie', kunci dan alat bantuan kecemasan selepas itu. Saya sempat capai beg duit. Ingat nak beli kopi," seloroh Cik Aishah.

Tidak terlintas pun di fikirannya bahawa beliau akan menyelamatkan nyawa seorang mangsa serangan jantung.

Cik Aishah dan dua pegawai keselamatan Yew Tee Point - Encik Balakrishnan Gopinathan, 46 tahun, dan Encik Ram Kumar Baskaran, 37 tahun - baru-baru ini menerima pengiktirafan Anugerah Responden Pertama Masyarakat oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) atas jasa tidak ternilai mereka menyelamatkan seorang warga emas berusia 69 tahun.

Cik Nur Aishah, Encik Balakrishnan and Encik Ram Kumar diiktiraf atas jasa mereka menyelamatkan nyawa seorang pekerja pembersihan. (Gambar: SCDF)

(Gambar: SCDF)

"Pengalaman itu sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan," ujar Cik Aishah.

LAKUKAN 120 TEKAN DADA SAMPAI "NAK MUNTAH"

Pada saat Cik Aishah berlutut dan memegang tubuh warga emas yang terbujur kaku di lantai tandas lelaki, barulah beliau menyedari bahawa ia satu keadaan kecemasan.

"Beliau tidak bernafas. Tidak ada denyutan jantung. Dan bila saya pegang tubuh dan mukanya, semuanya sejuk sangat. Ketika itulah saya tahu, pak cik itu bukan setakat pengsan. Saya langsung pekik kepada dua pegawai keselamatan dan arah mereka membantu saya," cerita Cik Aishah.

Encik Ram diminta mengambil alat Defibrilator Luaran Automatik (AED) sementara Encik Bala disuruh mengambil alat bantu pernafasan dan mengoyakkan baju warga emas tersebut. Semua itu dilakukan sedang Cik Aishah sudahpun mula melakukan CPR.

"Selepas melakukan 120 tekanan di dada, saya pula rasa lemah. Macam nak muntah pun ada, mabuk pun ada. Semuanya huru-hara kerana berlaku begitu pantas. Dan insiden berlaku dalam tempat yang sangat sempit," tambah beliau.

Ini merupakan kali pertama Cik Aishah memberi bantuan pernafasan CPR dalam keadaan kecemasan. Beliau sebelum ini memang mempunyai kemahiran menyelamatkan nyawa.

"Warga emas itu bertubuh besar. Mungkin dua kali lebih besar daripada saya. Saya tidak tahu dari mana saya mendapat kekuatan itu. Bila saya buat CPR, saya pun ada menggunakan AED. Saya ingat lagi, bagaimana saya menarik tali leher seorang pegawai keselamatan lalu menyuruhnya terus melakukan kompresi dada. Saya arah dan bimbing mereka.

Encik Ram dan Encik Balakrishnan bergambar dengan Anugerah SCDF yang diterima. (Gambar: Frasers Property)

Encik Ram dan Encik Balakrishnan bergambar dengan Anugerah SCDF yang diterima. (Gambar: Frasers Property)

"Kami bergilir-gilir lakukan CPR sampai terduduk-duduk dalam jamban tandas. Hanya pada keesokan hari baru saya menyedari, saya mungkin terlalu kasar dengan Abang Bala dan Abang Ram. Saya minta maaf kepada mereka," tawa Cik Aishah.

MENANGIS BILA PARAMEDIK TIBA

Anggota paramedik tiba sekitar 10 minit kemudian, dan mangsa dibawa hospital menaiki ambulans.

"Seorang anggota SCDF ada meletak tangan di bahu saya selepas itu. Saya rasa beliau boleh lihat saya seperti terkejut dan kebingungan. Rambut saya pun sudah tidak terurus. Anggota itu katakan kepada saya bahawa apa yang saya lakukan adalah betul. Saya selamatkan nyawa seseorang. Saat itu saya mula menangis kerana semua itu tidak dijangkakan sama sekali."

Cik Aishah juga sempat menenangkan anak mangsa, yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Menurut Cik Aishah, pekerja pembersihan yang beliau selamatkan itu sekarang sudah sihat dan dibenarkan pulang dari hospital.

Ada juga detik mengharukan beberapa hari selepas insiden tersebut.

"Saya ada terserempak anak pak cik itu. Dari jauh beliau datang dan peluk saya dan cakap, terima kasih, kalau tak kerana Aishah, saya sudah tak ada bapak," cerita Cik Aishah, sebak.

KEMAHIRAN SELAMATKAN NYAWA PENTING

Cik Aishah sebenarnya seorang pramugari Scoot yang dikerahkan ke Yew Tee Point sebagai pegawai khidmat pelanggan ekoran COVID-19 yang menjejas teruk sektor penerbangan.

(Gambar: Flyscoot) 

(Gambar: Flyscoot)

Maka itulah beliau mempunyai kemahiran untuk melakukan CPR kerana pramugari lazimnya perlu menjalani latihan dan mendapatkan lesen. Bagi Cik Aishah sendiri, beliau menjalani latihan di Pusat Latihan Singapore Airlines.

Setelah berdepan insiden seperti ini, Cik Aishah melihat betapa pentingnya kemahiran melakukan CPR dan berharap orang ramai akan tampil untuk mempelajari kemahiran tersebut.

"Jujur, ia sangat penting. Ia bukan hanya tentang menyelamatkan nyawa tetapi ia satu kemahiran, walaupun kita tidak mungkin dapat menerapkannya dalam hayat kita. Sebagai orang awam, banyak perkara yang boleh kita lakukan dalam waktu-waktu kecemasan," kata Cik Aishah.

Dalam wawancara bersama media, beliau juga melahirkan penghargaan kepada mereka yang turut memainkan peranan dalam menyelamatkan pekerja pembersihan itu.

"Ada yang menelefon ambulans. Ada yang hadang tandas. Saya malah ada dengar ada yang katakan jangan gunakan telefon untuk rakam video atau ambil gambar."

Yang jelas, peristiwa ini akan terus terpahat dalam memori Cik Aishah.

"Saya berbesar hati dapat anugerah dari SCDF. Ia seperti satu kepuasan. Saya hanya orang awam, bukan paramedik atau pegawai SCDF, dan saya dapat menyelamatkan nyawa. Saya tampil untuk lakukan itu dan saya rasa sesiapa sahaja yang lakukan sama semestinya berasa bangga."  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan