Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NUHS bangunkan satu aplikasi, bolehkan pesakit kronik lakukan telekonsultasi, buat janji temu doktor dan tempah ubat

Khidmat telekonsultasi dan beberapa khidmat lain kini disepadukan dalam satu aplikasi peranti bijak yang dibangunkan oleh Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Khidmat telekonsultasi dan beberapa khidmat lain kini disepadukan dalam satu aplikasi peranti bijak yang dibangunkan oleh Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS).

Aplikasi yang diberi nama 'OneNUHS App' itu membantu pesakit untuk menjimatkan masa perjalanan ke hospital dan mengurangkan masa menunggu bagi janji temu.

BANTU PESAKIT KRONIK JIMATKAN MASA

Jika sebelum ini, pesakit seperti Cik Nur Seri Shariah Rahmat perlu bertukar-tukar aplikasi untuk berjumpa doktornya secara maya, kini semuanya dapat dilakukan menerusi satu aplikasi sahaja.

(Gambar: NUHS)

Menerusi aplikasi OneNUHS App ini, kakitangan hospital juga tidak lagi perlu menyediakan pautan berasingan untuk setiap sesi.

Para pengasuh juga boleh menyertai sesi tersebut menggunakan peranti berbeza.

Sejak tiga tahun lalu, Cik Seri, 23 tahun menghidapi penyakit lupus yang menjejas sistem imun dan sendinya.

Dia juga perlu ke hospital untuk rawatan dan janji temu doktor serta ujian darah setiap tiga hingga empat bulan.

Setiap kali, masanya terbuang dalam perjalanan dari rumahnya di Ang Mo Kio ke Hospital Alexandra.

"Bila setiap kali jumpa doktor, ia makan masa lagi lama kerana perjalanan ke sana, ambil masa sekitar 30 hingga 45 minit untuk ke Hospital Alexandra," kata Cik Seri.

(Gambar: NUHS)

Namun, selepas disyorkan doktor untuk beralih ke khidmat telekonsultasi, dia tidak berfikir dua kali untuk mencubanya.

Apabila khidmat itu disepadukan ke dalam aplikasi, ini amat bermanfaat buat dirinya.

"Ia (telekonsultasi) menjimatkan banyak masa bagi saya sebab saya juga bekerja jadi tak payah ambil cuti. Ia (OneNUHS App) lagi senang sejujurnya. Macam ia boleh buat bayaran, ia boleh buat penukaran janji temu. Jadi ia merangkumi semua dalam satu," ujar Cik Seri, yang bertugas sebagai seorang Pegawai Sumber Manusia.

Setiap sesi telekonsultasi mengambil sekitar 10 minit, tidak terlalu berbbeza dengan konsultasi secara fizikal. Namun NUHS berkata, masa yang diluangkan untuk seseorang pesakit bergantung kepada keperluan pesakit juga. Secara purata, doktor dapat berjumpa dengan 10 hingga 16 pesakit setiap hari.

Khidmat itu juga ditawarkan kepada mereka yang mempunyai penyakit kronik yang stabil seperti kencing manis dan darah tinggi.

Menurut NUHS, sekiranya pesakit kronik itu kemudian didapati menghidap penyakit akut selepas menjalani telekonsultasi, dia akan disyorkan untuk hadir ke hospital bagi berjumpa sendiri dengan doktor secara bersemuka.

USAHA DIPERGIAT GALAK PENGGUNAAN APLIKASI ONENUHS

Sejak dilancarkan April tahun ini, sebanyak 100 sesi telekonsultasi sudahpun dilaksanakan melalui aplikasi yang dihasilkan bersama oleh NUHS dan Sistem Maklumat Kesihatan Bersepadu (IHiS).

Misalnya, para doktor, kakitangan dan duta-duta digital bekerjasama untuk menerangkan manfaat khidmat tersebut kepada warga emas sewaktu mereka membuat janji temu.

"Khidmat ini sangat berguna dalam tempoh COVID-19 juga kerana para pesakit tidak perlu datang ke hospital, terutama untuk janji temu berulang di mana doktor tahu keadaan mereka dan mereka stabil dan masih perlu memeriksa keadaan mereka secara rutin," kata Ketua Pegawai Operasi, Transformasi Khidmat Kumpulan dan Rekod Perubatan, NUHS, Cik Clara Sin.

Selain telekonsultasi, para pesakit juga boleh menggunakan aplikasi percuma itu untuk membuat janji temu bagi khidmat di Hospital Universiti Nasional (NUH) dan Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH) serta membuat tempahan ubat.

Sejauh ini, aplikasi OneNUHS App sudah dimuat turun sebanyak 176,884 kali melalui Apple Store dan Google Play Store.

NUHS bakal diperluaskan khidmat telekonsultasi dalam aplikasi tersebut kepada lebih banyak institusi jagaan kesihatan di bawah sistem kesihatan itu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan