Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NTWU gesa lebih banyak lorong bas sepanjang hari, perhentian bas lebih luas, sokongan penumpang lebih padu

Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) pada Rabu (16 Jan) mengumumkan saranan-saranannya bagi Pelan Induk Pengangkutan Darat 2040 yang akan membentuk masa depan sistem pengangkutan darat di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
NTWU gesa lebih banyak lorong bas sepanjang hari, perhentian bas lebih luas, sokongan penumpang lebih padu

(Gambar fail: Ngau Kai Yan)

Diterbitkan : 16 Jan 2019 05:38PM Dikemas Kini : 16 Jan 2019 05:41PM

SINGAPURA: Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) pada Rabu (16 Jan) mengumumkan saranan-saranannya bagi Pelan Induk Pengangkutan Darat 2040 yang akan membentuk masa depan sistem pengangkutan darat di Singapura.

Bermatlamat untuk melindungi kepentingan pekerja pengangkutan, saranan-saranan yang diusulkan oleh kesatuan itu turut memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan persekitaran kerja serta kesihatan dan keselamatan pekerja, selain mempersiapkan para pekerja terhadap industri yang kian berubah-ubah dan membangunkan sokongan lebih kukuh bagi para penumpang.

NTWU mengumpul maklum balas daripada para pekerja kereta api dan bas awam, sebelum mengadakan perbincangan kumpulan berfokus bersama kira-kira 30 pemimpin dan pekerja pengangkutan pada Rabu lalu.

Kesatuan itu kemudian menyerahkan saranan-saranannya kepada panel penasihat Pelan Induk Pengangkutan Darat 2040.

Antara lain, kesatuan itu turut menyarankan untuk meluaskan perhentian bas berpelindung untuk menangani masalah hujan "supaya pemandu bas (dan penumpang) tidak basah" ketika membantu penumpang berkerusi roda atau kereta sorong semasa hujan.

Kesatuan itu juga mencadangkan agar kerja-kerja jalan dihadkan kepada waktu tidak sibuk - terutamanya di lorong bas - dan lebih banyak lorong bas sepanjang hari serta laluan khas bagi para pengayuh basikal.

Ini akan membolehkan para pemandu untuk mengendalikan khidmat bas dengan "lancar, cekap dan mengikut jadual", menurut NTWU.

Kesatuan itu menambah bahawa para pengayuh basikal tidak sepatutnya mengayuh basikal mereka di lorong bas kerana lorong-lorong itu tidak cukup luas untuk memberikan jarak yang selamat antara bas dengan pengayuh basikal.

NTWU mencadangkan agar cara-cara lain diteroka untuk menambah jumlah ruang letak kenderaan di pusat pertukaran bas sedia ada dan memperkenalkan bas jarak dekat (yang berlepas dari depot) untuk menyokong lebih daripada 1,000 bas yang ditambah di bawah Program Peningkatan Khidmat Bas. Ini kerana tempat letak kenderaan yang tidak mencukupi di pusat pertukaran bas mengakibatkan pemandu bas perlu menunggu lebih lama untuk meletakkan bas mereka, lantas menyingkatkan waktu rehat mereka.

PERKUKUH SOKONGAN PENUMPANG

Kesatuan itu turut menyarankan sokongan lebih kukuh untuk para penumpang bagi menggalak "persekitaran perjalanan yang lebih baik untuk semua".

NTWU mencadangkan agar usaha dipergiat untuk memupuk rasa hormat terhadap pekerja pengangkutan awam dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang tugas mereka.

Ia juga menyarankan untuk menubuhkan sebuah masyarakat relawan yang boleh dilatih sebagai responden pertama untuk membantu pekerja barisan hadapan semasa berlaku gangguan perkhidmatan atau kecemasan.

KESIHATAN DAN KESELAMATAN, TRANSFORMASI PEKERJAAN

Kesatuan itu juga mencadangkan pelbagai saranan untuk menjaga keselamatan dan kesihatan para pekerja pengangkutan.

Ini termasuk menimbangkan "kesan terhadap beban kerja, tekanan dan tahap keletihan pekerja" apabila menetapkan dan menyemak piawaian perkhidmatan, menyelaraskan tahap keselamatan bagi semua pengendali pengangkutan awam dan memastikan pengaliran udara dan darjah penglihatan yang lebih baik di dalam terowong.

Selain itu, kesatuan itu juga menggesa agar langkah-langkah diambil untuk memastikan para pekerja bersedia untuk menjalani transformasi dalam industri lebih-lebih lagi setelah khidmat-khidmat baru diperkenalkan seperti khidmat ikut permintaan dan kenderaan tanpa pemandu.

Pada Ogos 2018, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mula mengumpul maklum balas awam bagi pelan induk berkenaan.

Panel Penasihat Pelan Induk Pengangkutan Darat 2040 akan membentangkan saranannya kepada Pemerintah menjelang pertengahan bulan depan.

Sumber : CNA/TQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan